IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-598: HUKUM MEMPERTARUHKAN MATA GANJARAN PERCUMA KEPADA BOOSTER YANG MEMBERI LEBIH BANYAK NASIB UNTUK MEMENANGI HADIAH

 booster.png

SOALAN

Apakah hukum peserta dalam satu platform pertandingan, cabutan bertuah ataupun promosi menukar / menebus mata ganjaran yang ditawarkan kepada mereka secara percuma kepada booster yang memberikan mereka lebih banyak peluang untuk memenangi hadiah

 

RINGKASAN JAWAPAN

Hukumnya adalah haram dan tidak sah untuk menukar / menebus mata ganjaran yang ditawarkan kepada mereka secara percuma kepada bentuk booster.

Booster tersebut akan memberikan lebih banyak peluang kepada peserta untuk memenangi hadiah dalam platform pertandingan, cabutan bertuah ataupun promosi kerana ia termasuk dalam salah satu bentuk perjudian. 

WaAllahu a’lam.

 

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Larangan Berjudi

Allah SWT telah melarang umat Islam dari melibatkan diri dalam sebarang unsur atau aktiviti perjudian di dalam al-Quran. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkorban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung.

(Surah al-Maidah : 90)

Perjudian membawa impak negatif dalam semua aspek kehidupan manusia samada dari sudut agama, moral, sosial, politik, ekonomi hinggalah budaya. Bahkan ia boleh meruntuh sesebuah negara mahupun tamadun. Ini kerana setiap perbuatan yang melawan perintah Allah SWT pasti akan mendatangkan kecelakaan. Allah SWT memperingatkan di dalam Al-Quran:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَنْ يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَنْ ذِكْرِ اللَّهِ وَعَنِ الصَّلَاةِ ۖ فَهَلْ أَنْتُمْ مُنْتَهُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu).

(Surah al-Maidah: 91)

Takrif Judi

Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak. (Lihat al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 7589)[1]. Seterusnya, Imam al-Maturidi ketika menafsirkan ayat 90 Surah al-Maidah menyatakan bahawa dalam perjudian terdapat satu pihak akan mendapat manfaat manakala satu pihak lagi akan menanggung kerugian.

(Lihat Tafsir al-Maturidi 117/2).

Dari segi istilah, antara istilah terkini adalah seperti berikut :

Gambling (qimar) literally : betting and wagering; technically: taking ownership by way of a wager. Some said: every game in which it is stipulated that the winner will take something from the loser. It is actually a wager on sheer risk and is forbidden by the Shariah

Judi menurut bahasa: pertaruhan harta ataupun penaruhan nilai; secara teknikal: mengambil hak milik melalui jalan pertaruhan. Setengah berpendapat: setiap permainan yang disyaratkan atau ditetapkan bahawa pemenang akan mengambil sesuatu dari pihak yang kalah. Ini sebenarnya merupakan pertaruhan atas risiko semata-mata dan dilarang oleh Syariah

(Lihat: ISRA, ISRA Compendium for Islamic Financial Terms, hlm 276)

Mata Ganjaran

Secara umumnya, mata ganjaran adalah pulangan yang diberikan atas perbelanjaan atau transaksi yang tertentu oleh sesebuah syarikat pengendali kepada pelanggannya. Syarikat-syarikat ini bersaing untuk mendapatkan pelanggan dan salah satu strategi mereka adalah dengan memperkenalkan program mata ganjaran. Melalui program ini, pelanggan yang melakukan perbelanjaan atau transaksi akan menerima mata ganjaran dan setelah dikumpul dalam jumlah tertentu mereka boleh menukarkannya dengan hadiah atau barangan tertentu.

Hukum Mata Ganjaran

Mata ganjaran dianggap sebagai hadiah yang diberikan oleh syarikat kepada pelanggan dan ia dibenarkan oleh Syariah selama mana mematuhi garis panduan berikut :-

Ulama kontemporari memandang mata ganjaran sama seperti hukumnya dengan pemberian kad diskaun di mana hukumnya adalah tertakluk seperti berikut :-

أولا: عدم جواز إصدار بطاقات التخفيض المذكورة أو شرائها إذا كانت مقابل ثمن مقطوع أو اشتراك سنوي لما فيها من الغرر، فإن مشتري البطاقة يدفع مالا ولا يعرف ما سيحصل عليه مقابل ذلك فالغرم فيها متحقق يقابله غنم محتمل، وقد نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن بيع الغرر كما في الحديث الذي أخرجه مسلم في صحيحه .

ثانيا: إذا كانت بطاقات التخفيض تصدر بالمجان من غير مقابل فإن إصدارها وقبولها جائز شرعا لأنه من باب الوعد بالتبرع أو الهبة[3]

Pertama: Tidak dibenarkan mengeluarkan atau membeli kad diskaun jika terpaksa membayar pada harga tetap atau langganan tahunan kerana jelas terdapat ketidak tentuan di dalamnya. Pembeli kad akan membayar wang harga kad tetapi dia tidak pasti apa yang akan dia dapatkan sebagai tukaran. Penipuan di sini jelas berbanding keuntungan yang kurang jelas. Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang penjualan yang ada unsur penipuan sebagaimana hadis yang dikeluarkan oleh Muslim dalam Sahihnya.

Kedua: Sekiranya kad diskaun dikeluarkan secara percuma, maka pemberian dan penerimaannya dibenarkan dari sudut Syarak kerana ia dianggap janji untuk menderma atau memberi hadiah.

Mata ganjaran juga – di atas sifat kebolehannya untuk ditukar dengan hadiah atau barangan tertentu – dianggap sesuatu yang bernilai (mutaqawwim), iaitu sebagaimana ditakrifkan oleh sebahagian ulama sebagai sesuatu yang mempunyai nilai wang atau material (Qimah Maliah).

(Lihat: ISRA, ISRA Compendium for Islamic Financial Terms, hlm 154)

Namun mata ganjaran tidak dianggap sebagai mata wang (nuqud)  walaupun ia boleh ditukar dengan wang tunai.

Booster

Booster adalah satu tawaran yang dikemukakan oleh syarikat pengendali kepada pelanggan agar mereka mempertaruh mata ganjaran yang diperolehi untuk ditukar dan ditebus dengan ‘peluang-peluang’ untuk mendapat hadiah pertandingan, cabutan bertuah ataupun promosi. Lebih banyak mata ganjaran yang ditukar, maka lebih besar ‘peluang’ untuk memperolehi kemenangan.

Secara teknikal, booster adalah peluang ataupun nasib dan bukannya barangan yang mempunyai nilai. Justeru, untuk menukar barangan yang ada nilai seperti mata ganjaran – di atas sifat kebolehannya untuk ditukar dengan hadiah atau barangan tertentu – dengan peluang yang bukan berbentuk barangan adalah ditegah oleh Syarak. Pertukaran sebegini ibarat satu perjudian kerana mempertaruhkan nasib kemenangan yang belum pasti. [4]

Dari sudut lain, tawaran booster sebegini dilihat sebagai salah satu penipuan syarikat pengendali untuk mengaburi mata pelanggan agar mempertaruhkan lebih banyak mata ganjaran dan mereka terlepas dari tanggungjawab menunaikan hadiah atau barangan kepada pelanggan.

KESIMPULAN

Hukumnya adalah haram dan tidak sah untuk menukar / menebus mata ganjaran yang ditawarkan kepada mereka secara percuma kepada booster yang memberi kepada peserta lebih banyak peluang untuk memenangi hadiah dalam satu platform pertandingan, cabutan bertuah ataupun promosi kerana ia termasuk dalam salah satu bentuk perjudian. 

WaAllahu a’lam.

Disediakan oleh,
Nik Abdul Rahman Bin Mustapha
Muhammad Syamil Bin Ibrahim
Abd Hakim Bin Abd Rasid
Muhammad Saiful Adlie Bin Misnan 

[1] https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/3619-bayan-linnas-siri-ke-207-bahaya-judi

[2] Piawaian Shari'ah AAOIFI No. 55 dan Fatwa Darul Ifta’ Jordan No. 2966

https://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2966#.YNRQ0egzZPY

[3] Fatwa Persidangan Akademi Fiqh Sedunia (OIC) ke 18

[4] https://www.islamweb.net/ar/fatwa/238504/

Print