IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-617 : HUKUM PERKAHWINAN SEPUPU

 

 

 

HUKUM PERKAHWINAN SEPUPU

SOALAN

Saya ingin bertanya, apa hukum kalau seseorang mengahwini anak kepada kazen sendiri, contoh Si A dan Si B ini kazen sama nenek, dan si B ini ingin kahwin dengan Anak si A ini. Mohon penjelasan. Kerana ada saudara yang bertanya takut salah dalam agama. Terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Perkahwinan di antara sepupu adalah harus di sisi syarak. Kerana sepupu tidak termasuk dikalangan mahram (haram bernikah). Namun, syarak menggalakkan supaya bernikah dengan wanita asing (selain kerabat) kerana zuriat dan keturunan yang dilahirkan lebih sihat dan kuat.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

 

Saudara sepupu merupakan kaum keluarga yang tidak termasuk dalam kategori mahram. Oleh kerana itu Allah SWT menghalalkan perkahwinan di antara mereka. Hal ini dinyatakan dalam firman Allah SWT:

 يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِيُّ إِنَّآ أَحۡلَلۡنَا لَكَ أَزۡوَٰجَكَ ٱلَّٰتِيٓ ءَاتَيۡتَ أُجُورَهُنَّ وَمَا مَلَكَتۡ يَمِينُكَ مِمَّآ أَفَآءَ ٱللَّهُ عَلَيۡكَ وَبَنَاتِ عَمِّكَ وَبَنَاتِ عَمَّٰتِكَ وَبَنَاتِ خَالِكَ وَبَنَاتِ خَٰلَٰتِكَ ٱلَّٰتِي هَاجَرۡنَ مَعَكَ

Maksudnya: “Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan maskahwinnya, dan hamba-hamba perempuan yang engkau miliki dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu sebagai tawanan perang; dan (Kami telah halalkan bagimu berkahwin dengan sepupu-sepupumu, iaitu): anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah bapa) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah bapa), dan anak-anak perempuan bapa saudaramu (dari sebelah ibu) serta anak-anak perempuan emak saudaramu (dari sebelah ibu) yang telah berhijrah bersama-sama denganmu.”

Surah al-Ahzab (50)

 

Tambahan pula, Syeikh Zainuddin menukilkan bahawa perkahwinan di antara saudara sepupu adalah diharuskan oleh syarak:

‌فيحرم ‌به آخر لآية: {حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ} نساء قرابة غير ما دخل في ولد عمومة وخؤولة

Maksudnya: “Haram berkahwin sebagaimana akhir bagi ayat (Diharam atas kamu menikahi) dengan wanita-wanita kerabat selain daripada yang berada dalam darjat saudara sepupu dari sebelah ayah dan sebelah ibu.”

(Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 455)

 

Selain itu, Dr. Wahbah al-Zuhaili juga menyatakan bahawa tidak haram perkahwinan dikalangan saudara sepupu[1]. Ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَأُحِلَّ لَكُم مَّا وَرَآءَ ذَٰلِكُمۡ

Maksudnya: “....Dan (sebaliknya) dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu.”

Surah an-Nisa’ (24) 

Bahkan juga, Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut bahawa meskipun perkahwinan di antara sepupu diharuskan, namun ianya tidak digalakkan. Ini kerana, hasil dari perkahwinan antara saudara sepupu, boleh memberi kesan  terhadap kesihatan anak-anak yang bakal dilahirkan  seperti kecacatan dan lemah tubuh badan.

(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 9/ 6626-6627) [3]

 

Kesimpulannya, keterangan di atas jelas menunjukkan bahawa perkahwinan di antara saudara sepupu adalah diharuskan oleh syarak. Namun, syarak menggalakkan berkahwin dengan wanita asing atau selain kerabatnya, dengan ini zuriat yang lahir dari mereka lebih kuat dari sudut kesihatan, keturunan dan seterusnya hubungan persaudaraan lebih terjamin dengan baik. Justeru diingatkan bahawa matlamat perkahwinan merupakan perkara yang perlu diutamakan, agar sesuatu hubungan perkahwinan itu mencapai keredaan Allah SWT. والله أعلم

 

[1] أما الطبقة الثانية أو غير المباشرة من هذه الفروع فلا تحرم، كبنات العمات والأعمام، وبنات الخال أو الخالة.

[2] ففيما وراء هذه المحرمات المذكورة فالنكاح حلال، وللراغبين فيه أن يبتغوا النساء.

[3] هذا فضلا عما يؤدي إليه الزواج بالقريبات من ضعف النسل والمرض، بعكس الزواج بالأباعد يأتي بنسل قوي، كما ثبت طبا وشرعا. وفي الأثر: «اغتربوا لا تضووا» أي تزوجوا البعيدة لئلا يأتي النسل ضاويا، أي هزيلا ضعيفا.