IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-627: KELEBIHAN PENIAGA MELEBIHKAN BARANG UNTUK PELANGGAN TANPA MENGHARAPKAN BAYARAN

627

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz, saya seorang peniaga buah-buahan. Kadang-kadang apabila ada orang beli buah daripada saya, saya akan beri lebih kepada dia dengan niat nak bersedekah. Soalan saya adalah, adakah perkara tersebut dikira sebagai sedekah dan adakah terdapat kelebihan tertentu untuk peniaga-peniaga? Terima kasih.

 

Jawapan Ringkas

Peniaga yang memberi barang lebih kepada pelanggan tanpa mengharapkan apa-apa balasan atau bayaran daripadanya adalah salah satu bentuk sedekah. Tambahan lagi, seorang peniaga disunatkan untuk memperbanyakkan amalan sedekah dalam perniagaan yang dijalankannya sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Peniaga yang mengamalkan sedekah dalam perniagaannya akan diberi ganjaran pahala serta dihapuskan dosa-dosanya. Moga-moga jawapan ini dapat menggalakkan lebih ramai peniaga untuk menerapkan adab-adab berniaga yang dianjurkan oleh Islam.

 

Huraian Jawapan

Amalan peniaga melebihkan barang untuk pelanggan tanpa mengharapkan bayaran mahupun balasan adalah salah satu bentuk sedekah. Memperbanyakkan sedekah dalam jual beli merupakan perkara yang dituntut untuk dilakukan. Hal ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Qais bin Gharazah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يا ‌معشر ‌التجار، إن الشيطان، والإثم يحضران البيع، فشوبوا بيعكم بالصدقة

Maksudnya: Wahai para peniaga! Sesungguhnya syaitan dan dosa akan hadir dalam jual beli. Oleh itu, campurkanlah sedekah dalam jual beli kamu.

Riwayat Tirmizi (1208)

 

Selain itu, dalam hadis yang lain yang diriwayatkan Qais Ibn Abi Gharazah, Rasulullah SAW bersabda:

‌يا ‌معشر ‌التجار، إن البيع يحضره الحلف واللغو، فشوبوه بالصدقة

Maksudnya: Wahai para peniaga! Sesungguhnya dalam jual beli akan melibatkan sumpah palsu dan perbuatan yang lagha. Oleh itu, campurkanlah jual beli kamu dengan sedekah.

Riwayat Ibn Majah (2145)

 

Hadis-hadis di atas menjelaskan bahawa amalan sumpah palsu dalam jual beli, perbuatan yang lagha yang menyebabkan seseorang lalai daripada mengingati Allah SWT kerana sibuk dengan perniagaan dan perkara-perkara yang dilarang dalam agama akan berlaku dalam aktiviti perniagaan. Oleh kerana itu, Rasulullah SAW menyeru para peniaga untuk memperbanyakkan sedekah dalam aktiviti perniagaan mereka kerana sedekah akan meredakan kemurkaan Tuhan dan menghapuskan dosa-dosa. (Rujuk al-Mafatih fi Syarh al-Masabih 405/3[1])

 

Sehubungan dengan itu, bersedekah akan menyebabkan terhapusnya dosa-dosa kecil yang dilakukan. Hal ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT berikut:

إِنَّ الْحَسَنَاتِ يُذْهِبْنَ السَّيِّئَاتِ ۚ

Maksudnya: Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan.

Surah Hud (114)

 

Perniagaan merupakan satu pekerjaan yang mulia di sisi Islam. Namun begitu, dalam masa yang sama seorang peniaga perlu sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu berkaitan jual beli seperti halal dan haram, adab-adab jual beli dan sebagainya.

 

Kesimpulan

Peniaga yang memberi barang lebih kepada pelanggan tanpa mengharapkan apa-apa balasan atau bayaran daripadanya adalah salah satu bentuk sedekah. Tambahan lagi, seorang peniaga disunatkan untuk memperbanyakkan amalan sedekah dalam perniagaan yang dijalankannya sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah SAW. Peniaga yang mengamalkan sedekah dalam perniagaannya akan diberi ganjaran pahala serta dihapuskan dosa-dosanya. Moga-moga jawapan ini dapat menggalakkan lebih ramai peniaga untuk menerapkan adab-adab berniaga yang dianjurkan oleh Islam.

 

Wallahualam.

[1] "فشوبوه"؛ أي: فاخلطوا ذلك اللغو والحلف بالصدقة؛ فإن الصدقة تطفئ غضب الرب،