IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-634: HUKUM MENGGUNAKAN SIHIR UNTUK PAKSA PENJUAL REFUND DUIT

if634

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Maaf menganggu ustaz. Saya ada satu persoalan. Baru-baru ini saya ada baca tentang satu hantaran di Facebook. Dalam hantaran itu ada diletakkan screenshot perbualan whatsapp. Ada seorang lelaki ini dia gunakan sihir untuk paksa penjual refund semula duit yang dia ambil dari lelaki itu. Penjual itu sampai merayu-rayu suruh lelaki tu berhenti hantar santau. Sekiranya lelaki itu benar sekalipun, bolehkah buat begitu ustaz?. Saya ada bagi pada ustaz screenshot tersebut. Mohon penjelasan dan pencerahan dari ustaz. Terima kasih ustaz.

RE

Ringkasan jawapan :

Menggunakan sihir atau khidmat sihir untuk memaksa penjual refund semula duit yang telah diambil adalah perbuatan yang haram. Apa alasan sekalipun tidak boleh menggunakan sihir untuk tujuan tersebut. Gunakan ruang budi bicara dan perbincangan untuk menyelesaikan perkara tersebut. Kepada penjual, bersikap jujur dalam perniagaan yang dijalankan. Jangan menzalimi atau mengambil hak orang lain dengan cara yang tidak betul. Semoga Allah memberikan kita kefahaman dan menjauhkan kita dari kesesatan.  Wallahu’alam.

 

Huraian jawapan :

Sihir adalah perbuatan maksiat dan ia merupakan antara dosa besar yang disebutkan oleh Nabi SAW. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda :

‌اجْتَنِبُوا ‌السَّبْعَ المُوبِقَاتِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللَّهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلَاتِ

Maksudnya : “Jauhilah tujuh perkara yang boleh membinasakan (dosa besar). Para sahabat bertanya : Apakah tujuh perkara tersebut wahai Rasulullah? Nabi SAW bersabda : Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang yang Allah haramkan darahnya melainkan dengan cara yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, berpaling pada hari peperangan dan menuduh wanita beriman yang terpelihara kehormatannya dan tidak terlintas untuk melakukan kejahatan.”[1]

Berdasarkan hadis di atas, Imam al-Nawawi (m. 676 H) menjelaskan bahawa perbuatan sihir adalah haram dan para ulama bersepakat ia adalah dosa besar. Bahkan beliau menjelaskan sihir juga adalah maksiat terbesar[2].

Sheikh Zakariya al-Ansari (m.926 H), seorang tokoh besar dalam mazhab Syafie menyatakan perbuatan sihir adalah haram. Jika dia beriktikad bahawa perbuatan sihir adalah harus, maka jelas dia telah kufur. Jika dia sengaja belajar, mengajar dan melakukan sihir, maka perbuatannya itu adalah perbuatan yang dianggap dosa. Beliau menjelaskan lagi, setiap perkara berkaitan sihir adalah dosa kerana boleh mendatangkan fitnah dan mendatangkan kemudaratan kepada orang lain[3].

Tambahan lagi, sebahagian para ulama menyatakan bahawa jika sihir tersebut boleh membawa mudarat sehingga membunuh orang lain, orang yang melakukan sihir boleh dikenakan hukum kisas. Perkara ini dinukilkan oleh Ibn Hajar al-Asqalani  (m. 852 H) di dalam Fath al-Bari[4]. Ini adalah petunjuk bahawa perbuatan sihir bukan perbuatan yang boleh dipandang enteng akan tetapi ia adalah perbuatan dosa yang boleh memberi mudarat kepada orang lain walaupun dengan apa alasan sekalipun.

Justeru apa sahaja perkara yang berkaitan dengan sihir, ia diharamkan. Hal ini berdasarkan kaedah :

‌ما ‌أدى ‌إلى ‌الحرام فهو حرام

“ Apa sahaja perkara yang membawa kepada perkara haram, maka ia adalah haram.”

Termasuk dalam kaedah ini, adalah meminta bantuan dukun, bomoh dan sebagainya untuk mencapai apa yang dia mahu. Rasululllah SAW memberikan peringatan terhadap orang yang pergi meminta bantuan tukang sihir, dukun, bomoh atau yang seumpama dengannya. Sebahagian isteri Nabi SAW meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:

‌مَنْ ‌أَتَى ‌عَرَّافًا ‌فَسَأَلَهُ ‌عَنْ ‌شَيْءٍ، لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً

Maksudnya: “Sesiapa yang pergi berjumpa tukang ramal (dukun), lalu dia bertanya kepada dukun tersebut tentang sesuatu, maka solatnya tidak akan diterima selama empat puluh malam.”[5]

Dalam riwayat hadis yang lain menyebut :

‌مَنْ ‌أَتَى ‌كَاهِنًا، ‌أَوْ ‌عَرَّافًا، ‌فَصَدَّقَهُ ‌بِمَا ‌يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang pergi bertemu dukun atau tukang ramal, kemudian dia mempercayai apa yang dukun atau tukang ramal sebut, sesungguhnya dia telah ingkar (kufur) terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad.”[6]

Kesimpulannya, menggunakan sihir atau khidmat sihir untuk memaksa penjual refund semula duit yang telah diambil adalah perbuatan yang haram. Apa alasan sekalipun tidak boleh menggunakan sihir untuk tujuan tersebut. Gunakan ruang budi bicara dan perbincangan untuk menyelesaikan perkara tersebut. Kepada penjual, bersikap jujur dalam perniagaan yang dijalankan. Jangan menzalimi atau mengambil hak orang lain dengan cara yang tidak betul. Wallahu’alam.

NOTA HUJUNG:

[1] Riwayat al-Bukhari, no.2766, Abu Abdullah al-Bukhari, Muhammad bin Ismail (2001), Sahih al-Bukhari, Beirut: Tuq al-Najah, j.4 h.10. Riwayat Muslim, no. 145, Abu al-Husain, Muslim bin al-Hajjaj (t.t), Sahih Muslim, Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabiyah, j.1 h.92.

[2] Abu Zakariya al-Nawawo, Yahya bin Syarf (1972), Syarh Sahih Muslim, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, j.14 h.174. Beliau menyebut : وَأَمَّا مَا يَتَعَلَّقُ بِالْمَسْأَلَةِ مِنْ فُرُوعِ الْفِقْهِ فَعَمَلُ السِّحْرِ حَرَامٌ وَهُوَ مِنَ الْكَبَائِرِ بِالْإِجْمَاعِ

[3] Abu Yahya al-Ansari, Zakariya bin Muhammad (t.t), Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, Beirut: Dar al-Kitab al-Islamiy, j.4 h.82. Beliau menyebut : وَيَحْرُمُ فِعْلُهُ بِالْإِجْمَاعِ (، وَيَكْفُرُ مُعْتَقِدُ إبَاحَتِهِ فَإِنْ تَعَمَّدَهُ) تَعْلِيمًا أَوْ تَعَلُّمًا أَوْ فِعْلًا، وَفِي نُسْخَةٍ فَإِنْ تَعَلَّمَهُ (أَثِمَ) فَكُلٌّ مِنْهُمَا حَرَامٌ لِخَوْفِ الِافْتِتَانِ وَالْإِضْرَارِ بِالنَّاسِ

[4] Ibn Hajar al-Asqalani, Ahmad bin Hajar (1960), Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, ed. Muhibuddin al-Khatib, Beirut: Dar al-Ma’rifah, j.10 h.236. Beliau menukilkan ucapan Imam al-Syafie : وَقَالَ الشَّافِعِيُّ لَا يُقْتَلُ إِلَّا إِنِ اعْترف أَنه قتل بِسِحْرِهِ فَيُقْتَلُ بِهِ فَإِنْ اعْتَرَفَ أَنَّ سِحْرَهُ قَدْ يَقْتُلُ

[5] Riwayat Muslim, no. 2230. Ibid.

[6] Riwayat Ahmad, no. 9536, Abu Abdullah Al-Syaibani, Ahmad bin Hanbal (2001), al-Musnad, ed. Syu’aib al-Arnaut, Adil Mursyid, Beirut: Muassasah al-Risalah, j.15 h.331.