IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-642 : ADAKAH MEMBERI MAKAN ORANG YANG BERPUASA SUNAT AKAN MENDAPAT PAHALA PUASA TERSEBUT?

 

if642

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya tentang hadis orang yang memberi makan orang yang berbuka puasa maka dia akan mendapat sama seperti pahala orang yang berpuasa tersebut. Adakah memberi makan kepada orang yang berpuasa sunat atau qada turut akan mendapat pahala sama seperti yang disebutkan di dalam hadis?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Orang yang memberi makan kepada orang yang berpuasa walaupun hanya dengan sebiji tamar atau segelas air kepada seorang yang berpuasa sunat, maka dia mendapat pahala sama seperti pahala orang yang berpuasa tersebut. Ini kerana lafaz hadis tersebut bersifat umum yang merangkumi semua orang yang berpuasa sama ada puasa wajib, sunat atau qada’.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Hukum menjemput dan menjamu hidangan kepada orang yang berpuasa adalah sunat dan dituntut di dalam Islam. Perkara ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Zaid Ibn Khalid al-Juhani bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka dia mendapat pahala seumpamanya tanpa kurang sedikitpun daripada pahala orang yang berpuasa tersebut.[1]

Riwayat al-Tirmidzi: 807

Hal ini seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya al-Majmu’, bahawa beliau berkata:

يُسْتَحَبُّ أَنْ يَدْعُوَ الصَّائِمَ وَيُفَطِّرَهُ فِي وَقْتِ الْفِطْرِ وَهَذَا لَا خِلَافَ فِي اسْتِحْبَابِهِ لِلْحَدِيثِ

Maksudnya: Disunatkan untuk menjemput dan memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa ketika masuknya waktu berbuka. Tiada khilaf dalam hukum sunat ini berdasarkan hadis yang telah disebutkan.[2] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6:362)

Selain itu, Imam al-Sindi menyebutkan bahawa lafaz (مِثْلُ أَجْرِهِمْ) dalam hadis tersebut menunjukkan makna yang umum bagi orang-orang yang berpuasa. Kata beliau:

(مِثْلُ أَجْرِهِمْ) أَيْ أَجْرِ الصَّائِمِينَ الَّذِينَ فَطَّرَهُمْ وَجُمِعَ لِعُمُومِ النَّكِرَةِ فِي حَيِّزِ الشَّرْطِ

Maksudnya: Sabda Rasulullah SAW, ‘sama seperti pahala mereka (orang yang berpuasa)’ bermaksud pahala orang-orang berpuasa yang diberikan makanan untuk berbuka puasa. Disebutkan dengan jamak disini (أَجْرِهِمْ)  kerana termasuk dalam makna keumuman lafaz nakirah bagi syarat tersebut.[3] (Rujuk Kifayat al-Hajah, 1:531)

Oleh itu dapat difahami bahawa lafaz hadis yang umum tersebut turut merangkumi sesiapa sahaja yang berpuasa sama ada puasa wajib, sunat atau qada’. Ini juga merangkumi apa sahaja makanan atau minuman yang diberikan kepada orang-orang yang berpuasa tersebut walaupun hanya sebiji tamar atau segelas air.

Berkaitan hal ini, Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmu’ menukilkan kata-kata al-Mutawalli bahawa jika seseorang tidak mampu untuk memberi makanan yang berat seperti makan malam, maka disunatkan juga untuk memberi makan walaupun hanya sebiji tamar, segelas air atau susu. Ini kerana, Imam al-Mawardi menyebutkan bahawa para sahabat RAnhum bertanya kepada Rasulullah SAW bahawa mereka tidak mempunyai makanan untuk diberi kepada orang berbuka puasa untuk berbuka. Lalu Rasulullah SAW menerangkan bahawa Allah SWT turut memberi pahala tersebut walau hanya dengan sebiji tamar atau segelas air.[4] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6:362)

Ini bertepatan dengan ayat al-Quran yang menjelaskan bahawa Allah SWT tidak akan mensia-siakan amal kebaikan dengan niat yang ikhlas yang dilakukan oleh seseorang. Firman-Nya:

إِنَّ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ إِنَّا لَا نُضِيعُ أَجْرَ مَنْ أَحْسَنَ عَمَلًا

Maksudnya: Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh sudah tetap Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya.

Surah al-Kahfi: 30

Imam al-Tabari dalam menafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan rasul-Nya serta mengikut perintah dan meninggalkan larangan-Nya, maka Allah SWT tidak mensia-siakan orang yang memperelokkan amalannya dengan membalas mereka dengan nikmat Syurga.[5]

Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa orang yang memberi makan orang yang berpuasa sunat walaupun hanya dengan sebiji tamar atau segelas air, maka dia akan mendapat pahala sama seperti pahala orang yang berpuasa tersebut.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Tirmidzi, Abu Isa, Sunan al-Tirmidzi, 1975, Kaherah, Maktabah Mustafa al-Bab al-Halabi, jld. 3, hlmn. 162.

[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Beirut, Dar al-Fikr, jld. 6, hlmn. 362.

[3] Al-Sindi, Nuruddin, t.t, Kifayat al-Hajah Syarh Sunan Ibn Majah, Beirut, Dar al-Jil, jld. 1, hlmn. 531.

[4] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Beirut, Dar al-Fikr, jld. 6, hlmn. 362.

يُسْتَحَبُّ أَنْ يَدْعُوَ الصَّائِمَ وَيُفَطِّرَهُ فِي وَقْتِ الْفِطْرِ وَهَذَا لَا خِلَافَ فِي اسْتِحْبَابِهِ لِلْحَدِيثِ قَالَ الْمُتَوَلِّي فَإِنْ لَمْ يَقْدِرْ عَلَى عَشَائِهِ فَطَّرَهُ عَلَى تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ أَوْ لَبَنٍ قَالَ الْمَاوَرْدِيُّ إنَّ بعض الصحابة قال " يارسول اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعْطِي اللَّهُ تَعَالَى هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ أَوْ مزقة لبن "

[5] Al-Tabari, Abu Jaafar, 2000, Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, Beirut, Muassasah Risalah, jld. 18, hlmn. 16.

يقول تعالى ذكره: إن الذين صدقوا الله ورسوله، وعملوا بطاعة الله، وانتهوا إلى أمره ونهيه، إنا لا نضيع ثواب من أحسن عملا فأطاع الله، واتبع أمره ونهيه، بل نجازيه بطاعته وعمله الحسن جنات عدن تجري من تحتها الأنهار.