IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-652: HUKUM PAWAH BINATANG

652

 

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apakah hukum pawah binatang dalam Islam? Contoh: Anak pertama lembu dapat kepada penjaga lembu. Anak ke-2 dapat kepada tuan lembu. Adakah terdapat gharar dalam amalan pawah? Amalan ini sudah menjadi amalan kebiasaan orang kampung.

 

Jawapan Ringkas

Pawah binatang yang diamalkan masyarakat Melayu pada hari ini adalah sama dengan konsep akad musaqah yang diharuskan syarak. Untuk memastikan aktiviti tersebut bebas daripada unsur gharar, tuan lembu perlu menentukan secara jelas lembu yang mana untuk dijaga dan juga giliran anak yang akan diperolehinya dan penjaga lembu mestilah jelas.

 

Huraian Jawapan

Sistem pawah binatang merupakan bentuk upah atas memelihara binatang tradisional Melayu yang masih lagi diamalkan oleh sebahagian masyarakat di Malaysia sehingga kini. Kamus pelajar Edisi Kedua mentakrifkan pawah adalah suatu sistem membahagi dua hasil yang diperoleh (dari tanah sawah, binatang ternakan dll) antara tuan punya dengan orang yang mengusahakannya. Manakala istilah ‘memawahkan’ merujuk kepada perbuatan menyuruh orang lain mengusahakan sawah (memelihara binatang dll) dengan membahagi dua hasilnya. Orang yang mengusahakan ternakan tersebut akan bertanggungjawab untuk menjaga serta memberi makan dan minum kepada haiwan ternakan.

 

Dari segi pembahagian dalam sistem pawah binatang ini, anak haiwan ternakan pemilik akan dibahagi sama rata antara pemilik dengan penternak. Sebagai contoh, pemilik ternakan membeli seekor lembu, kemudian dia melakukan perjanjian dengan penternak sebagaimana berikut:

 

Perjanjian atau akad yang dinyatakan adalah sama seperti akad musaqah yang diharuskan syarak. Musaqah adalah upah yang diberikan kepada pekerja atau pengusaha dan seumpamanya daripada hasil yang diperolehi. Tambahan lagi, akad musaqah menurut perbincangan ulama fiqh merujuk kepada seorang pekerja yang ditugaskan untuk menjaga dan menyiram tanaman, apabila Allah SWT memberikan rezeki kepada mereka untuk menuai hasilnya. Kemudian pemilik tanaman dan pekerja membuat perjanjian bahawa pekerja akan mendapat sebahagian daripada hasil tuaian sebagai upah. (Rujuk al-Fiqh al-Manhaji 25/7[1]; Fathul Aziz bi Syarh al-Wajiz 50/6[2])

 

Dr Muhammad Zuhayli menceritakan bahawa ada ramai orang yang memiliki tanaman tetapi mereka tidak mampu mengusahakannya sama ada tiada kemahiran atau kekangan tertentu. Namun, dalam masa yang sama ada orang yang mempunyai kemahiran dan kemampuan untuk mengusahakan tanaman sehingga dapat menuai hasil, tetapi mereka tidak memiliki tanaman. Oleh itu, pemilik tanaman dan orang yang mempunyai kemampuan untuk mengusahakan memerlukan antara satu sama lain. Justeru, akad musaqah ini diharuskan bagi memenuhi keperluan urusan manusia. (Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 246/3)

 

Tambahan lagi, perkongsian daripada hasil tanaman ini juga telah dilakukan pada zaman Rasulullah SAW. Ibn Umar telah meriwayatkan bahawa:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَامَلَ أَهْلَ خَيْبَرَ بِشَطْرِ مَا يَخْرُجُ مِنْهَا مِنْ ثَمَرٍ أَوْ زَرْعٍ

Maksudnya: Rasulullah SAW telah membuat perjanjian dengan penduduk Khaibar dengan membahagikan apa yang terhasil dari buah-buahan dan tanaman.

Riwayat Muslim (1551)

 

Rukun dan Syarat Akad Musaqah:

(Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 247-250/3)

 

Tambahan lagi, untuk memastikan akad musaqah ini tidak mengandungi unsur-unsur gharar, pihak yang berakad perlu memenuhi syarat berikut:

(Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie 250-251/3)

 

Oleh kerana sistem pawah tradisional yang diamalkan ini mempunyai persamaan dengan akad musaqah yang dibincangkan di atas. Maka pihak yang terlibat iaitu pemilik lembu dan tukang jaga lembu/penternak perlu mematuhi rukun-rukun serta syarat-syarat musaqah yang dinyatakan.

 

Kesimpulan

Pawah binatang yang diamalkan masyarakat Melayu pada hari ini adalah sama dengan konsep akad musaqah yang diharuskan syarak. Untuk memastikan aktiviti tersebut bebas daripada unsur gharar, tuan lembu perlu menentukan secara jelas lembu yang mana untuk dijaga dan juga giliran anak yang akan diperolehinya dan penjaga lembu mestilah jelas.

 

Wallahualam.

[1] هي ان يتعاقد صاحب الشجر مع غيره، على ان يقوم بإصلاحه وتعهده وما يحتاج إليه من عمل، ويأخذ جزءا معينا مما يخرج منه من ثمر

[2] صورة المُسَاقاة أن يعامل إنساناً على نخلة ليتعهَّدها بالسَّقْى والتربية، على أن ما رزق الله -تعالى- من ثمرة تكون بينهما