IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-658: HUKUM BELI BARANG SIHIR

658

 

SOALAN

Assalamualaikum.. Saya ada soalan, apakah hukum beli barang-barang sihir yang dijual dalam Shopee dan sebagainya?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Hukum jual beli barangan sihir adalah haram dan akad jual beli tersebut terbatal. Ini adalah kerana barangan sihir adalah barang yang tidak sah untuk dijual beli. Sekiranya sudah dibeli, barang tersebut perlu dibuang dan dihapuskan. Umat Islam dinasihatkan untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT iaitu sihir sekalipun ia dijual secara terbuka.

 

Huraian Jawapan

Sihir adalah salah satu perkara yang diharamkan dalam Islam. Umat Islam dituntut untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengannya. Hal ini dapat dilihat melalui sabda Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa sihir adalah salah satu dosa besar. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

اجْتَنِبُوا ‌السَّبْعَ ‌الْمُوبِقَاتِ قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ وَمَا هُنَّ قَالَ: الشِّرْكُ بِاللهِ وَالسِّحْرُ وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَأَكْلُ الرِّبَا وَأَكْلُ مَالِ الْيَتِيمِ وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَقَذْفُ الْمُحْصَنَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ الْغَافِلَاتِ

Maksudnya: “Jauhilah tujuh dosa besar”, Mereka bertanya: “Apakah dosa-dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh orang yang diharamkan Allah kecuali dengan cara yang dibenarkan syarak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari perang serta menuduh wanita beriman yang muhsan berzina”.

Riwayat al-Bukhari (2766)

 

Hukum asal dalam jual beli adalah harus sehingga ada dalil-dalil yang menjadikannya haram. Ini adalah berdasarkan kaedah fiqh berikut:

الأصل في المعاملات الإباحة

Maksudnya: Hukum asal dalam muamalat adalah harus. (Rujuk Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 4/553)

 

Sesuatu jual beli dianggap sah sekiranya menepati syarat dan rukun jual beli seperti pembeli, penjual, ijab dan kabul serta barang yang diniagakan. Dalam konteks permasalahan ini, ulama menyatakan bahawa barang yang dijual mestilah suci, boleh dimanfaatkan, diketahui, boleh diterima dan dimiliki oleh pembeli. Tambahan lagi, ada ulama menyatakan bahawa barang yang diniagakan itu mestilah barang yang diharuskan syarak. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 9/149[1]; - 3/140[2])

 

Oleh itu, segala barang yang digunakan untuk tujuan mensyirikkan Allah adalah haram dan tidak sah untuk dijual beli. Bahkan hasil yang diperoleh penjualan barang tersebut tidak boleh digunakan dan perlu disucikan. Sekiranya sudah dibeli, maka barang tersebut perlu dibuang dan dihapuskan. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 8/11[3]; Mawsu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 139[4])

 

Kesimpulan

Hukum jual beli barangan sihir adalah haram dan akad jual beli tersebut terbatal. Ini adalah kerana barangan sihir adalah barang yang tidak sah untuk dijual beli. Sekiranya sudah dibeli, barang tersebut perlu dibuang dan dihapuskan. Umat Islam dinasihatkan untuk menjauhkan diri daripada terlibat dengan perkara yang diharamkan oleh Allah SWT iaitu sihir sekalipun ia dijual secara terbuka.

Wallahualam.

[1] وَشُرُوطُ الْمَبِيعِ خَمْسَةٌ أَنْ يَكُونَ طَاهِرًا مُنْتَفَعًا بِهِ مَعْلُومًا ومقدورا عَلَى تَسْلِيمِهِ مَمْلُوكًا لِمَنْ يَقَعُ الْعَقْدُ لَهُ

[2] مِنْ شُرُوطِ الْبَيْعِ، كَمَا يَقُول الْفُقَهَاءُ: أَنْ يَكُونَ الْمَبِيعُ غَيْرَ مَنْهِيٍّ عَنْهُ

[3] أن مالا يَحِلُّ أَكْلُهُ وَالِانْتِفَاعُ بِهِ لَا يَجُوزُ بَيْعُهُ وَلَا يَحِلُّ أَكْلُ ثَمَنِهِ

[4] يُسْتَفَادُ مِنْ هَذَا الْحَدِيثِ تَحْرِيمُ بَيْعِ كُل آلَةٍ مُتَّخَذَةٍ لِلشِّرْكِ، عَلَى أَيِّ وَجْهٍ كَانَتْ، وَمِنْ أَيِّ نَوْعٍ كَانَتْ، صَنَمًا أَوْ وَثَنًا أَوْ صَلِيبًا، فَهَذِهِ كُلُّهَا يَجِبُ إِزَالَتُهَا وَإِعْدَامُهَا