IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-670: ADAKAH LARANGAN MAKAN DAGING BURUNG MERAK KERANA SIFATNYA YANG SOMBONG

IF 670

Soalan

Assalamualaikum. Saya ada persoalan, adakah haram makan daging burung Merak kerana dikatakan bahawa burung Merak memiliki sifat sombong kerana kecantikan dirinya. Mohon

pencerahan Pejabat Mufti wilayah. Terima Kasih

Ringkasan Jawapan

Hukum makan daging burung merak adalah haram menurut pandangan yang paling sahih di dalam mazhab al-Syafie. Pengharaman memakannya bukan kerana sifat semula jadi burung merak yang sombong dan suka berbangga diri kerana kecantikannya akan tetapi disebabkan ia adalah binatang yang jijik menurut pandangan masyarakat arab di zaman salaf.

Huraian Jawapan

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka burung Merak merupakan burung yang besar dan bulunya berwarna-warni dianugerahkan ekor seperti kipas apabila mengembang. Selain itu, burung merak juga disebut sebagai Pavo muticus; biru, Pavo cristatus; pongsu sejenis burung kuang cermin, kuang pongsu, Polyplectron mala-cense.[1]

Al Damiri dalam Hayat al Hayawan al Kubra menyatakan di antara sifat yang dimiliki oleh burung merak jantan adalah sifat bangga dan sombong pada dirinya sendiri atas kecantikan bulu dan warnanya. Burung merak jantan akan mengembangkan ekornya supaya dapat menarik perhatian burung merak betina. Teks asalnya adalah seperti berikut:

وفي طبعه العفة وحب الزهو بنفسه والخيلاء والاعجاب بريشه وعقده لذنبه كالطاق، لا سيما إذا كانت الأنثى ناظرة إليه

Maksudnya: Tabiatnya yang suka mempamerkan kesucian dan kecantikan dirinya, dan berbangga dan kagum dengan bulunya dan susunan pelepah pada ekornya seperti lingkaran (yang indah) lebih-lebih lagi apabila burung merak betina melihatnya.[1]

Para ulama berbeza pandangan berkenaan dengan memakan daging burung merak. Pendapat yang paling sahih di dalam mazhab al-Syafi’e memakan daging burung merak adalah haram. Perkara ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi di dalam kitabnya:

وُفِي الْبَغْبَغَاءِ وَالطَّاوُوسِ، وَجْهَانِ: قَالَ فِي «التَّهْذِيبِ» : أَصَحُّهُمَا: التَّحْرِيمُ.

Maksudnya: Pada hukum makan burung nuri dan burung merak, terdapat dua pandangan: Menurut pandangan pengarang al-Tahzib berpendapat: Menurut pandangan yang Asoh(lebih tepat): Diharamkan[1]

Pengharaman ini adalah kerana istikhbas atau menjijikkan. Perkara ini sepertimana yang disebut oleh Imam al-Damiri di dalam kitabnya:

يحرم أكل لحم الطاوس لخبث لحمه

Maksudnya: Diharamkan makan daging burung merak kerana dagingnya jijik [1]

Istitabah dan Istikhbas Dalam Pemakanan Berdasarkan Pandangan Masyarakat Arab

Penentuan halal dan haram dalam pemakanan atau haiwan yang hendak dimakan menurut konteks syariah, terutamanya ketika tiada nas dan dalil yang jelas berdasarkan al-Quran, Hadis dan Ijmak, maka para ulama telah menetapkan beberapa garis panduan di antaranya dengan mengambil pandangan masyarakat arab dari segi dianggap baik (Istitabah) atau jijik (Istikhbas).

Setiap haiwan yang dipandang elok dan baik di sisi masyarakat Arab maka halal dimakan dan sebaliknya jika haiwan yang dianggap buruk dan jijik oleh masyarakat arab maka haram dimakan. Perkara ini sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri di dalam karyanya:

أي كالحل في قوله: وكل حيوان استطابته العرب فهو حلال, والحرمة في قوله: وكل حيوان استخبثته العرب فهو حرام

Maksudnya: Iaitu perkara yang halal menurut Ibnu Qassim al-Ghazzi: Setiap haiwan yang baik disisi masyarakat arab maka ia halal, Dan perkara yang haram menurut Ibnu Qassim al-Ghazzi: Setiap haiwan yang jijik bagi masyarakat arab maka ia adalah haram.[2]

Imam Khatib al-Syirbini memperincikan hal ini di dalam kitabnya dengan membawa pandangan Imam al-Zarkashi yang menyatakan bahawa konsep makanan yang baik (istitabah) atau jijik (istikhbas) hendaklah berpandukan pandangan orang arab yang adil, jika baik maka halal dan jika jijik maka haram. Namun, sekiranya tidak terdapat pandangan mereka mengenai sesuatu haiwan atau makanan pada zaman Baginda Nabi SAW maka hendaklah merujuk pandangan masyarakat arab pada zaman selepasnya[1].

Begitu juga jika terdapat perselisihan pandangan berkaitan baik atau jijiknya sesuatu haiwan dan makanan itu dalam kalangan mereka, maka hendaklah mengambil pandangan yang majoriti terutamanya pandangan daripada kalangan masyarakat arab Quraisy. Hal ini kerana masyarakat Quraisy merupakan tunjang utama masyarakat arab. Namun sebaliknya jika masih lagi tidak dapat menentukan status haiwan tersebut, maka hendaklah dikiaskan dengan haiwan lain yang seumpama atau yang hampir serupa sifatnya, sama ada dari segi rupa bentuk, tabiat atau pemakanannya. Jika masih lagi tidak dapat menentukannya maka haiwan tersebut halal dimakan. Perkara ini berdasarkan zahir nas [2]daripada Firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ ۚ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-An’am: 145)

Di antara sebab pengambilan hukum berdasarkan pandangan masyarakat arab sebagai penentuan halal dan haram dalam pemakanan kerana mereka merupakan umat yang mula-mula menerima syariat yang disampaikan oleh Baginda Nabi SAW. Perkara ini seperti yang dinyatakan oleh Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya:

وإنما اعتبر عُرْف العرب في هذا التحليل والتحريم، لأنهم الذين خوطبوا بالشرع أولاً، وفيهم بعث النبي - صلى الله عليه وسلم -، ونزل القرآن الكريم

Maksudnya: Mempertimbangkan uruf masyarakat arab dalam perkara halal dan haram, kerana mereka yang terawal menerima pensyariatan hukum syarak. begitu juga dalam kalangan mereka diutuskan Baginda Nabi SAW dan diturunkan al-Quran al-Karim.[3]

Oleh itu Pengharaman memakan burung merak sebagaimana dalam pandangan mazhab Shafie bukan kerana sifat semula jadi burung merak yang sombong dan suka berbangga diri atas kecantikan dirinya, akan tetapi disebabkan dagingnya yang jijik (istikhbas) menurut pandangan masyarakat arab.

[1] Shamsuddin Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1415H) 6/155  

[2] Ibid

قَالَ الزَّرْكَشِيُّ الِاكْتِفَاءُ بِخَبَرِ عَدْلَيْنِ وَيُرْجَعُ فِي كُلِّ زَمَانٍ إلَى الْعَرَبِ الْمَوْجُودِينَ فِيهِ، فَإِنْ اسْتَطَابَتْهُ فَحَلَالٌ أَوْ اسْتَخْبَثَتْهُ فَحَرَامٌ، وَالْمُرَادُ بِهِ مَا لَمْ يَسْبِقْ فِيهِ كَلَامُ الْعَرَبِ الَّذِينَ كَانُوا فِي عَهْدِهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَمَنْ بَعْدَهُمْ، فَإِنَّ ذَلِكَ قَدْ عُرِفَ حَالُهُ وَاسْتَقَرَّ أَمْرُهُ، فَإِنْ اخْتَلَفُوا فِي اسْتِطَابَتِهِ اُتُّبِعَ الْأَكْثَرُ، فَإِنْ اسْتَوَوْا فَقُرَيْشٌ لِأَنَّهُمْ قُطْبُ الْعَرَبِ، فَإِنْ اخْتَلَفَتْ وَلَا تَرْجِيحَ أَوْ شَكُّوا أَوْ لَمْ نَجِدْهُمْ وَلَا غَيْرَهُمْ مِنْ الْعَرَبِ اعْتَبَرْنَا قُرْبَ الْحَيَوَانِ شَبَهًا بِهِ صُورَةً أَوْ طَبْعًا أَوْ طَعْمًا، فَإِنْ اسْتَوَى الشَّبَهَانِ أَوْ لَمْ يُوجَدْ مَا يُشْبِهُهُ فَحَلَالٌ لِآيَةِ {قُلْ لا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا} [الأنعام: 145] وَلَا يُعْتَمَدُ فِيهِ شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا؛ لِأَنَّهُ لَيْسَ شَرْعًا لَنَا فَاعْتِمَادُ ظَاهِرِ الْآيَةِ الْمُقْتَضِيَةِ لِلْحِلِّ أَوْلَى مِنْ اسْتِصْحَابِ الشَّرَائِعِ السَّالِفَةِ

[3] al-Fiqh al-Manhaji 3/69

[1] Muhammad bin Musa bin Isa al-Damiri, Hayat al-Hayawan al-Kubra (Bairut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1424H) 2:124

[2] Ibrahim Baijuri, Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri ala Fath al-Qarib al-Mujib (Jakarta: Dar al-Kutb al-Islamiyyah, 1428H) 2/571

[1] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi, ed. Zuhair al-Syawish (Bairut: al-Maktabah al-Islamiyy 1412H) 2:273

[1] Muhammad bin Musa bin Isa al-Damiri, Hayat al-Hayawan al-Kubra (Bairut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1424H) 2:121

[1] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=merak