IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-680 : PEMBAYARAN FIDYAH DARI HARTA SIAPA? SUAMI ATAU ISTERI?

 

PEMBAYARAN FIDYAH DARI HARTA SIAPA SUAMI ATAU ISTERI

 

SOALAN

Salam Dato’. Isteri tinggal puasa di bulan Ramadan kerana dia dalam keadaan hamil dan menyusukan anak. Adakah dia wajib qada sahaja atau perlu bayar fidyah sekali.? Dan siapakah yang wajib membayar fidyah tersebut, suami atau isteri atau wanita yang membayar upah menyusukan anaknya.?

 

RINGKASAN JAWAPAN

Syarak menetapkan pembayaran fidyah dari harta isteri iaitu wanita yang berbuka puasa tersebut.  Syarak juga menetapkan beberapa keadaan yang diwajibkan dia membayar fidyah iaitu sekiranya wanita hamil atau menyusukan anak bimbang tentang keselamatan dan kesihatan dirinya dan kesihatan anak mereka, dibolehkan berbuka puasa dan wajib mengqadakan puasa sahaja. Manakala, sekiranya mereka bimbang terhadap kesihatan dan keselamatan anak mereka sahaja, maka dibolehkan untuk berbuka puasa dan diwajibkan qada puasa tersebut serta wajib membayar fidyah.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Sepakat para ulama bahawa wajib mengqadakan puasa sahaja tanpa membayar fidyah sekiranya wanita hamil atau yang menyusukan anak tersebut berbuka puasa kerana bimbang kesihatan diri sendiri atau bimbang kesihatan diri serta anak mereka.

(Rujuk: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyah, 32/69)[1]

 

Dalam hal ini, Sheikh Hasan al-Kaf menjelaskan perbezaan mereka yang diwajibkan qada dan membayar fidyah adalah wanita yang berbuka puasa kerana bimbangkan kesihatan dan keselamatan orang lain (anak mereka). Manakala, yang diwajibkan qada puasa sahaja tanpa membayar fidyah adalah mereka yang bimbang terhadap kesihatan diri sendiri dan orang lain (anak mereka).  

الإفطار لخوف على غيره، كفطر الحامل لخوفها على جنينها والمرضع لخوفها على رضيعها. أما إذا أفطرتا خوفا على أنفسهما وعلى طفلهما فليس عليهما إلا القضاء فقط

Maksudnya: “(Wajib mengqada dan membayar fidyah) berbuka puasa kerana bimbang orang lain seperti orang yang mengandung berbuka (puasa) kerana bimbang terhadap janinnya, dan wanita yang menyusu bimbang terhadap anak susuannya. Manakala, kedua-duanya (wanita mengandung dan menyusu) berbuka puasa  kerana bimbangkan dirinya sendiri dan bimbang terhadap anak mereka, wajib mengqadakan puasa sahaja tanpa membayar fidyah.”

(Rujuk: Taqrirat al-Sadidat, hlm 455)

 

Selain itu, Imam al-Khatib al-Syirbini menyebut bahawa pembayaran fidyah tersebut adalah daripada harta wanita yang hamil dan wanita yang menyusukan anak bukan harta suami atau orang yang membayar upah dengan sebab menyusukan anaknya.

(Rujuk: Mugni al-Muhtaj, 2/174)[2]

 

Jelas dari keterangan di atas menunjukkan bahawa pembayaran fidyah wajib diambil dari harta wanita tersebut. Namun, jika wanita hamil dan wanita yang menyusukan anak tidak memiliki harta untuk membayar fidyah kerana tidak memiliki harta untuk membayar fidyah kerana tidak memiliki apa-apa pekerjaan dan seumpamanya, maka kewajipan itu digantikan kepada suaminya sepertimana yang dinyatakan dalam kaedah fiqh:

إذا بطل الأصل يصار إلى البدل

Maksudnya: “Apabila terbatal hukum yang asal, maka beralih kepada penggantinya.”

(Rujuk: al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 2/449)

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, pembayaran fidyah wajib diambil dari harta isteri atau wanita yang menyusukan anak tersebut. Walau bagaimanapun sekiranya isteri tidak memiliki harta kerana tidak bekerja atau seumpamanya, maka suami bertanggungjawab untuk membayar fidyah tersebut dari harta suami.

 

[1] اتَّفَقَ الْفُقَهَاءُ عَلَى أَنَّ الْحَامِل وَالْمُرْضِعَ إِذَا أَفْطَرَتَا خَوْفًا مِنَ الصَّوْمِ عَلَى أَنْفُسِهِمَا فَعَلَيْهِمَا الْقَضَاءُ وَلَا فِدْيَةَ عَلَيْهِمَا كَالْمَرِيضِ  وَكَذَا إِنْ خَافَتَا عَلَى أَنْفُسِهِمَا وَوَلَدَيْهِمَا

[2] خَافَتَا (عَلَى الْوَلَدِ) وَحْدَهُ بِأَنْ تَخَافَ الْحَامِلُ مِنْ إسْقَاطِهِ أَوْ الْمُرْضِعُ بِأَنْ يَقِلَّ اللَّبَنُ فَيَهْلَكَ الْوَلَدُ (لَزِمَتْهُمَا) مِنْ مَالِهِمَا مَعَ الْقَضَاءِ (الْفِدْيَةُ فِي الْأَظْهَرِ)