IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-681 : HUKUM MEMBUAT ULANGAN BACAAN PADA AYAT SURAH AL-FATIHAH KETIKA SEDANG SOLAT

 

HUKUM MEMBUAT ULANGAN BACAAN PADA AYAT SURAH AL FATIHAH KETIKA SEDANG SOLAT

 

SOALAN

Assalamualaikum ust. nak tanya satu soalan ini berkenaan bacaan al-Fatihah ketika solat. Adakah al-Fatihah saya sah skiranya saya mengulang balik bacaan dia ayat yang saya rasa tersilap baca atau sebutan saya tak betul.?  Contoh, saya rasa bacaan huruf ‘ro’ saya di ayat ‘Ih dinassirotalmustaqim’ tadi macam tak berapa betul, rasa saya sebut ‘ra’. Tapi bila saya sedar pada ketika itu, saya sudah mula baca ayat ‘Sirotal lazi na an am’. Saya stop dekat an am tu, pas tu saya ulang balik baca ‘Ih dinassirotalmustaqim’.  Satu lagi contoh, ketika saya sedar sebutan tak betul di ayat ke 3 AL fatihah, saya pun sudah habis baca ayat ke 4. Saya ulang balik baca ayat ke 3 dan ke 4, dan meneruskan bacaan al fatihah saya. Soalan, adakah sah bacaan al fatihah saya di kedua2 contoh itu? Kadang2 ia berlaku jugak di bacaan tahhiyat akhir. Mohon pencerahan ustaz.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Mengulang bacaan pada ayat atau kalimat dalam surah al-Fatihah ketika sedang melaksanakan solat hukumnya adalah diharuskan dan tidak membatalkan solat. Sama ada ia diulang atas sebab-sebab tertentu seperti merasakan sebutan huruf kurang tepat atau tanpa apa-apa sebab. Namun, dengan syarat tidak berlaku berhenti yang lama atau tidak berlaku muaalat iaitu sambungan antara suatu ayat dengan ayat yang lain tidak terputus dalam tempoh yang lama, iaitu melebihi kadar satu kali henti bernafas.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Sheikh Zainuddin menjelaskan bahawa seseorang yang membuat pengulangan ayat dalam surah al-Fatihah dianggap sempurna bacaannya dengan syarat tidak berlaku terputus yang lama dalam bacaannya. Kata beliau: 

إن ‌أعاده الصواب قبل طول الفصل كمل عليها

Maksudnya: “Jika dia mengulang bacaan yang betul sebelum selang yang lama, maka sempurnalah bacaannya.”

(Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 99)

 

Syeikh Abu Bakar Syatto dalam menghuraikan kenyataan sheikh Zainuddin di atas menyebut bahawa membuat ulangan itu adalah kerana membetulkan kesalahan pada bacaannnya.

(إن أعاده) أي ما قرأه باللحن أو الإبدال

Maksudnya: “Kalau ia membuat ulangan iaitu apa yang dia bacakannya (ayat surah al-Fatihah) dengan kesalahan atau pertukaran.”

(Rujuk: I’anah al-Tolibin, 1/164)

Begitu juga, Imam al-Nawawi menukilkan perkataan Imam Haramain di dalam karyanya iaitu diharuskan seseorang yang mengerjakan solat mengulangi bacaan surah al-Fatihah atau satu ayat dari surah tersebut dalam keadaan sangkaannya bahawa kalimat yang dibacanya tepat sebagaimana yang dikehendaki atau kurang tepat. Namun, disyaratkan tidak berlaku muaalat iaitu sabungan antara suatu ayat dengan ayat yang lain tidak terputus dalam tempoh yang lama.

(Rujuk: al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 3/358)[1]

 

Dr Muhammad al-Zuhaili meletakkan syarat membaca surah al-Fatihah secara betul dalam solat adalah perlu menjaga baris agar tidak membawa kepada perubahan makna. Sekiranya dia secara sengaja membaca dengan bacaan baris yang salah sehingga merubah makna, batal salatnya. Manakala, jika dia membaca secara tidak sengaja wajib dia mengulangi bacaannya. Namun, sekiranya dia membuat suatu kesilapan bacaan yang tidak membawa kepada perubahan makna secara tidak sengaja, maka tidak membatalkan solat.

(Rujuk: al-Muktamad, 1/255)[2]

 

Daripada kenyataan-kenyataan yang didatangkan di atas jelas menunjukkan bahawa membuat ulangan bacaan pada ayat dalam surah al-Fatihah adalah dikira sah dan diharuskan di sisi syarak.

 

KESIMPULAN

Kesimpulannya, diharuskan seseorang membuat bacaan ulangan pada ayat surah al-Fatihah ketika sedang melaksanakan solat, sama ada dengan sebab-sebab tertentu atau tanpa sebab. Namun disyaratkan kesalahan tersebut bukan secara sengaja sehingga menyebabkan perubahan makna. Sekiranya kesalahan bacaan yang dibuat dengan sengaja dan menyebabkan perubahan makna boleh membatalkan solat. Manakala, ulangan yang dibuat tidak berlaku terputus yang lama. Hal ini kerana, di antara syarat bacaan surah al-Fatihah adalah bacaannya mesti dalam keadaan muaalat iaitu sambungan antara suatu ayat dengan ayat yang lain tidak terputus dalam tempoh yang lama. والله أعلم

 

[1] قَالَ إمَامُ الْحَرَمَيْنِ ‌إذَا ‌كَرَّرَ ‌الْفَاتِحَةَ ‌أَوْ ‌آيَةً ‌مِنْهَا كَانَ شَيْخِي يَقُولُ لَا بَأْسَ بِذَلِكَ إنْ كَانَ ذَلِكَ لِتَشَكُّكِهِ فِي أَنَّ الْكَلِمَةَ قَرَأَهَا جَيِّدًا كَمَا يَنْبَغِي أَمْ لَا لِأَنَّهُ مَعْذُورٌ وَإِنْ كَرَّرَ كَلِمَةً مِنْهَا بِلَا سَبَبٍ كَانَ شَيْخِي يَتَرَدَّدُ فِي إلْحَاقِهِ بِمَا لَوْ أَدْرَجَ فِي اثناء الفاتحة ذكر آخَرَ قَالَ الْإِمَامُ وَاَلَّذِي أَرَاهُ أَنَّهُ لَا تَنْقَطِعُ مُوَالَاتُهُ بِتَكْرِيرِ كَلِمَةٍ مِنْهَا كَيْفَ كَانَ

[2] يشترط في قراءة الفاتحة أن يقرأها قرأءة صحيحة ، وأن يراعى إعرابها الذي يخل تغييره بالمعنى ، فلا يلحق فيها لحنا بغير المعنى ، مثل ( أنعمتُ) بضم التاء أو كسرها ، (وإياكِ) بكسر الكاف ، فإن فعل ذلك عامدا بطلت صلاته ، وإن فعله سهوا تجب الإعادة . وإن لحن لحنا لا يؤثر على المعنى فلا تبطل.