IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-688: HUKUM SOLAT SUNAT TAHIYAT AL-MASJID KETIKA KHUTBAH JUMAAT

IF688

 

SOALAN

Assalamualaikum, Datuk Mufti, saya ada persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Datuk mengenai solat tahiyat al-masjid?. Jika saya datang ke masjid pada hari jumaat dan mendapati imam sedang berkhutbah, adakah saya masih boleh menunaikan solat sunat dua rakaat sebelum duduk mendengar khutbah atau tidak boleh?

Sekian terima kasih.

 

RINGKASAN JAWAPAN

Seseorang yang memasuki masjid disunatkan untuk melakukan solat sunat tahiyat al-masjid sebagai mengagungkan rumah Allah SWT. Begitu juga jika seseorang yang datang ke masjid dan imam sedang berkhutbah di atas mimbar, maka dia masih dituntut menunaikan solat sunat tersebut dan duduk mendengar khutbah setelah menunaikannya. Sementara itu, bagi yang datang pada akhir khutbah dan menyangka bahawa solat Jumaat akan didirikan sebentar lagi maka dia tidak perlu untuk melakukan solat sunat tahiyat al-masjid. Bahkan sunat bagi dia berdiri menunggu solat Jumaat didirikan supaya tidak duduk dalam masjid sebelum dia melakukan solat sunat tahiyat al-masjid.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Secara asasnya, seseorang yang masuk masjid disunatkan untuk menunaikan solat sunat tahiyat al-masjid. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah:

إِذَا ‌جَاءَ ‌أَحَدُكُمُ ‌الْمَسْجِدَ ‌فَلْيُصَلِّ ‌سَجْدَتَيْنِ ‌مِنْ ‌قَبْلِ ‌أَنْ ‌يَجْلِسَ

Bermaksud: Sekiranya setiap seorang di antara kamu datang ke masjid maka solatlah sebanyak dua rakaat sebelum dia duduk.

Riwayat Abu Daud (467)

Menurut Syeikh Mahmud Muhammad al-Subki menjelaskan dua kali sujud yang terdapat dalam hadis ini bermaksud dua rakaat yang dilakukan sebagai mengagungkan masjid.[1]

(Rujuk: Al-Manhal al-Azbu al-Maurud Syarh Sunan Abi Daud, 4/77)

Sementara itu, jika seseorang datang ke masjid pada hari Jumaat dan imam sedang menyampaikan khutbah, dia disunatkan (dituntut) menunaikan solat sunat tahiyat al-masjid sebanyak dua rakaat dan hendaklah meringkaskannya. Hal ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah:

إِذَا ‌جَاءَ ‌أَحَدُكُمْ ‌يَوْمَ ‌الْجُمُعَةِ، ‌وَالْإِمَامُ ‌يَخْطُبُ، ‌فَلْيَرْكَعْ ‌رَكْعَتَيْنِ، ‌وَلْيَتَجَوَّزْ ‌فِيهِمَا

Bermaksud: Sekiranya seseorang datang ke (masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah maka solatlah dua rakaat dan hendaklah meringkaskan kedua-dua rakaat.

Riwayat Muslim (59)

Hal ini juga terdapat dalam kenyataan Imam Ibnu Hajar al-Haitami yang menyebut:

التحية لداخل المسجد ‌والخطيب ‌على ‌المنبر فيسن له فعلها ويخففها وجوبا

Bermaksud: (Solat) Tahiyat bagi orang yang memasuki masjid ketika imam sedang berkhutbah di atas mimbar maka dia disunatkan untuk menunaikan dan wajib meringkaskannya.

(Rujuk: Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/455)

Namun sekiranya dia datang ketika imam hendak selesai menyampaikan khutbah dan dia bersangka dengan sangkaan yang kuat bahawa sekiranya dia menunaikan solat sunat tersebut maka dia akan terlepas takbiratul ihram bersama-sama imam maka sunat bagi dia untuk tidak solat sunat tersebut dan hendaklah dia berdiri menunggu solat Jumaat diririkan dan tidak duduk supaya tidak menjadi orang yang duduk sebelum melakukan solat sunat tahiyat al-Masjid.[2]

Sebagai tambahan, penjelasan mengenai keringanan ketika melaksanakan solat sunat tersebut dengan melakukan perbuatan solat yang wajib sahaja.[3]

 (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/554)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa seseorang yang memasuki masjid disunatkan untuk melakukan solat sunat tahiyat al-masjid sebagai mengagungkan rumah Allah SWT. Begitu juga jika seseorang yang datang ke masjid dan imam sedang berkhutbah di atas mimbar, maka dia masih dituntut menunaikan solat sunat tersebut dan duduk mendengar khutbah setelah menunaikannya. Sementara itu, bagi yang datang pada akhir khutbah dan menyangka bahawa solat Jumaat akan didirikan sebentar lagi maka dia tidak perlu untuk melakukan solat sunat tahiyat al-masjid. Bahkan sunat bagi dia berdiri menunggu solat Jumaat didirikan supaya tidak duduk dalam masjid sebelum dia melakukan solat sunat tahiyat al-masjid.

 [1] أى ركعتين تعظيما للمسجد

[2]أما الداخل في آخر الخطبة فإن غلب على ظنه أنه إن صلاها فاتته تكبيرة الإحرام مع الإمام لم يصل التحية بل يقف حتى تقام الصلاة ولا يقعد لئلا يكون جالسا في المسجد قبل التحية

 [3]والمراد بالتخفيف فيما ذكر الاقتصار على الواجبات