IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-690: LARANGAN MEMELIHARA ANJING DI RUMAH DAN HIKMAH DI SEBALIKNYA

 

Irsyad Fatwa 690

Soalan:

Assalamualaikum Datuk dan asatizah. Saya lihat di media sosial ada segelintir artis dan golongan berpengaruh yang memelihara anjing di rumah sebagai binatang haiwan peliharaan. Mohon pandangan Datuk sejauh mana umat Islam dibenarkan memelihara anjing ini, kerana saya yakin ramai di luar sana yang masih keliru. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan:

Islam pada asasnya menganjurkan kita bersikap prihatin terhadap makhluk Allah termasuk binatang seperti anjing, mengikut hukum dan batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Memelihara anjing tanpa tujuan yang dibenarkan oleh syarak hukumnya adalah haram, boleh mengurangkan pahala ibadah serta menjauhkan seseorang itu daripada rahmat Allah SWT.

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah syukur ke hadrat ilahi tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini telah menerbitkan beberapa isu yang berkait dengan anjing seperti yang berikut:

  1. Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-539 : Adakah Menjaga Kebajikan Anjing Dikira Berbuat Baik Kepada Binatang? (https://muftiwp.gov.my/en/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum-cat/4643-irsyad-al-fatwa-siri-ke-539-adakah-menjaga-kebajikan-anjing-dikira-berbuat-baik-kepada-binatang)
  2. Al-Kafi # 886: Memegang Anjing Ketika Dalam Lakonan (https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2744-al-kafi-886-memegang-anjing-ketika-dalam-lakonan)

Berkenaan isu ini terdapat banyak nas dan dalil yang melarang umat Islam membela anjing tanpa sebab yang diharuskan oleh syarak. Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ اقْتَنَى كَلْبًا، إِلَّا كَلْبَ صَيْدٍ، أَوْ مَاشِيَةٍ، نَقَصَ مِنْ أَجْرِهِ كُلَّ يَوْمٍ قِيرَاطَانِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membela anjing selain dari anjing memburu, atau anjing yang menjaga tanaman, berkurang pahalanya setiap hari sebanyak dua qirat”.[1]

(Riwayat Muslim: 1574)

Hadis ini secara jelas menyebut dikurangkan pahala mereka yang memelihara anjing selain dari kegunaan untuk tujuan pemburuan dan menjaga tanaman. Imam Nawawi menjelaskan hadis tersebut bahawa hukum memelihara anjing tanpa hajat yang dibenarkan oleh syarak adalah haram.[2]

Ulama dalam mazhab Syafi’i telah menetapkan keharusan untuk membela anjing ini hanya untuk beberapa keadaan sahaja iaitu[3]:

  1. Untuk tujuan pemburuan
  2. Menjaga tanaman
  3. Melindungi ternakan

Selain itu, terdapat riwayat hadis yang lain menyatakan kesan buruk memelihara anjing di dalam rumah menjadi penyebab terhalangnya rahmat Allah SWT ke dalam. Hadis yang diriwayat oleh Abi Thalhah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَدْخُلُ المَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ، وَلاَ صُورَةُ تَمَاثِيلَ

Maksudnya: “Malaikat tidak masuk ke dalami rumah yang terdapat anjing, dan patung untuk disembah”.[4]

(Riwayat Bukhari: 3225)

Merujuk kepada riwayat tersebut, mana-mana rumah atau kediaman yang mempunyai anjing dan gambar patung atau haiwan tidak akan dimasuki oleh malaikat. Sheikh Badruddin al-Aini menjelaskan lagi maksud ‘malaikat’ pada hadis tersebut ialah merujuk kepada malaikat yang membawa rahmat dan keampunan bukan malaikat penjaga.[5]

(Rujuk Umdat al-Qari Syarh Sohih al-Bukhari: 11/224)

Justeru itu, haram membela anjing tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak. Ia bukanlah semata-mata kerana kenajisan haiwan itu bahkan melibatkan implikasi amalan dalam kehidupan seperti berkurangnya pahala dan dijauhi dari rahmat Allah SWT seperti yang dinyatakan di dalam hadis-hadis sahih yang telah dinyatakan.

Walaubagaimanapun hukum hakam berkaitan anjing ini tidak sekali-kali bermaksud bahawa Islam memandang rendah atau hina terhadap anjing. Terdapat banyak sekali kisah dan riwayat termasuk dalam kalangan para sahabat sendiri yang memuliakan anjing. Malah ada ulama Islam yang mengarang kitab khusus yang mengangkat kualiti atau sifat mulia anjing yang melebihi manusia dan patut dijadikan iktibar seperti kitab “ فضل الكلاب على كثير ممن لبس الثياب” (Kelebihan Anjing Atas Kebanyakan Yang Memakai Baju) karangan seorang pemikir dan ahli fizik Islam kurun ke-10, Ibn Marzuban. Walau bagaimanapun terdapat tatacara khusus ‘pergaulan’ dengan anjing yang mesti diberi perhatian supaya kita dapat memelihara batas-batas syarak.

Kesimpulan:

Islam menggalakkan umatnya bersikap prihatin dan berbuat baik kepada haiwan termasuk anjing. Dalam masa yang sama kita perlu sentiasa mengutamakan hukum dan batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak. Justeru memelihara anjing tanpa tujuan yang dibenarkan oleh syarak adalah haram, boleh menyebabkan dikurangkan pahala serta dijauhi daripada rahmat Allah SWT. Umat Islam perlu peka dengan hukum hakam berkaitan ‘pergaulan’ dengan anjing ini bagi mengelakkan sebarang perbuatan yang menyalahi syarak dan seterusnya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

 

[1] An-Naisaburi, Muslim bin al-Hajaj Abu al-Hasan al-Qusyairi. T.T. Sohih Muslim. Tahqiq: Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. J3 h1201.

[2] An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf. 1392H. Al-Minhaj Syarah Sohih Muslim. Cetakan 2, Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-Arabiy. J10 h236. Teks asal:

يَحْرُمُ اقْتِنَاءُ الْكَلْبِ بِغَيْرِ حَاجَةٍ وَيَجُوزُ اقْتِنَاؤُهُ لِلصَّيْدِ وَلِلزَّرْعِ

[3] An-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Sharaf. Al-Majmuk Syarh Al-Muhazzab. Dar al-fikr. Jilid 9 hlm 234. Teks Asal:

قال الشافعي والأصحاب ويجوز اقتناء الكلب للصيد أو الزرع أو الماشية بلا خلاف

[4] Al-Bukhari, Muhammad bin Ismail Abu ‘Abdullah. 1422H. Sohih Bukhari. Tahqiq: Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir. Cetakan 1, Dar Tuq al-Najah. J4 h114 no:3225.

[5] Al-‘Aini, Abu Muhammad Mahmud bin Ahmad bin Musa bin ahmad bin Hussain al-Ghitabi. T.T Umdat Al-Qari Syarh Sohih al-Bukhari. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. J11 h224. Teks asal:

أَن الْمَلَائِكَة لَا تدخل بَيْتا فِيهِ صُورَة، وَقد مر عَن قريب أَن المُرَاد من الْمَلَائِكَة غير الْحفظَة