IRSYAD AL-FATWA SIRI KE - 715: TEMPOH IDAH WANITA MENGANDUNG YANG KEMATIAN SUAMI

kematian min

 

SOALAN

Assalamualaikum, Saya keliru menentukan tempoh idah kerana saya berada dalam 2 situasi iaitu idah kematian suami dan idah wanita yang mengandung. Persoalannya, tempoh idah saya perlu ikut yang mana, tunggu habis idah 4 bulan 10 hari atau selepas bersalin walaupun belum cukup 4 bulan 10 hari. Saya keliru, mohon pencerahan Datuk Mufti. Terima Kasih.

Ringkasan Jawapan:

Tempoh idah bagi situasi wanita mengandung yang kematian suami ialah mengikut tempoh selepas melahirkan anak tidak kira sama ada tempoh idahnya pendek atau tempoh idahnya panjang. Sebagai contoh isteri melahirkan anak selepas kematian suami ataupun isteri melahirkan anak setelah 9 bulan kematian suami.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat

Idah bagi wanita yang kematian suami adalah empat bulan 10 hari berdasarkan firman-Nya:


وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

MaksudnyaDan mereka yang meninggal dunia dari kalangan kalian serta meninggalkan isteri-isteri hendaklah mereka itu (para isteri) menahan diri mereka (beriddah) selama empat bulan sepuluh hari.

Surah al-Baqarah (234)

Ayat di atas menjelaskan tempoh idah selama 4 bulan 10 hari bagi wanita yang kematian suami. al-Baghawī mentafsirkan tempoh tersebut termasuk wanita yang masih mempunyai haid mahupun wanita menopause (putus haid).

Sementara itu, tempoh idah wanita yang mengandung ialah setelah melahirkan anak sama disebabkan cerai hidup mahupun bercerai mati berdasarkan dalil berikut:  [1]

Firman Allah SWT

وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَن يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

MaksudnyaWanita-wanita yang hamil, waktu iddah mereka adalah sehingga mereka melahirkan kandungan mereka.

Surah al-Thalaq (4)

Dalil di atas diturunkan selepas surah al-Baqarah (234) dan telah mansukh (dipindahkan/ diangkat) bagi ayat untuk tempoh idah selama 4 bulan 10 hari bagi wanita yang kematian suami   ke atas tempoh idah wanita mengandung bagi surah al-Thalaq (4). Sementara itu, majoriti fuqaha mengkhususkan (takhsis) ayat surah al-Baqarah (234) yang menyatakan tempoh idah kematian suami iaitu 4 bulan 10 hari  dengan hadis berikut:[2]

Hadis yang diriwayatkan daripada al-Miswar bin Makhramah :

أَنَّ سُبَيْعَةَ نَفَسَتْ بَعْدَ وَفَاةِ زَوْجِهَا بِلَيَالٍ فَجَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاسْتَأْذَنَتْهُ أَنْ تَنْكِحَ، فَأَذِنَ لَهَا، فَنَكَحَتْ.

Maksudnya:Subai’ah al-Aslamiyah RA anha telah melahirkan anak pada malam selepas kematian suaminya. Subai’ah menemui Nabi SAW dan meminta izin untuk berkahwin, Baginda SAW membenarkannya lalu berkahwin.

Sahih al-Bukhari (5320)

Hadis tersebut menjelaskan wanita dibenarkan berkahwin setelah melahirkan anak walaupun baru kematian suami. Ini bermakna situasi wanita tersebut telah selesai tempoh iddah.

Al-Syirbini   menyatakan idah kematian suami bagi wanita yang hamil adalah selepas melahirkan anak, mahupun selepas sempurna melahirkan anak kembar yang kedua.  Hal ini berdasarkan hujah idah wanita mengandung ialah melahirkan anak pada dalil surah al-Thalaq (4) merupakan muqayyad (membataskan /terhad) bagi dalil surah al-Baqarah (234) berkaitan tempoh idah wanita yang kematian suami ialah 4 bulan 10 hari.  [3]  Oleh yang demikian, tempoh idah wanita yang mengandung ialah selepas melahirkan anak sama ada bercerai mati atau  hidup  dengan talak raj’ie ataupun talak ba’in. [4]

Penutup

Setelah meneliti dalil yang dikemukakan, berikut ringkasan iddah bagi tempoh wanita yang mengandung kematian suami:

  1. Iddah wanita yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari sama ada masih haid mahupun menopause (putus haid).
  2. Iddah wanita yang mengandung ialah selepas melahirkan anak sama ada bercerai hidup mahupun mahupun bercerai mati. Iddah wanita mengandung yang kematian suami   bergantung pada tempoh selepas kelahiran anaknya sama ada tempohnya panjang mahupun pendek.

 

RUJUKAN

[1] Husayn b. Mas'ūd al-Baghawī ,(t.th) Ma‘ālim al-Tanzīl fi Tafsir al-Quran,  Tafsir al-Baghawi,  Beirut: Dar al-Turath, cet : 1

تفسير البغوي - طيبة (8/ 153)

أَمَّا الْمُتَوَفَّى عَنْهَا زَوْجُهَا فَعِدَّتُهَا أَرْبَعَةُ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا سَوَاءٌ كَانَتْ مِمَّنْ تَحِيضُ أَوْ لَا تَحِيضُ

مَّا الْحَامِلُ فَعِدَّتُهَا بِوَضْعِ الْحَمْلِ سَوَاءٌ طَلَّقَهَا زَوْجُهَا أَوْ مَاتَ عَنْهَا لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {وَأُولَاتُ الْأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

[2]

تفسير البغوي - إحياء التراث (1/ 316)

 سُورَةُ الطَّلَاقِ وَأُولاتُ الْأَحْمالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ [الطَّلَاقِ: 4] ، نَزَلَتْ بَعْدَ قَوْلِهِ تَعَالَى: يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْراً، [وبالطولى] [8] في سورة البقرة فحمل عَلَى النَّسْخِ، وَعَامَّةُ الْفُقَهَاءِ خَصُّوا الْآيَةَ بِحَدِيثِ سُبَيْعَةَ:. 

[3]Al-Khatib As-Syirbini,  Iqna’ fi Hal al-fazd Abu Syuja’ , Bayrut :  Dar Fiqh  J: 2 P :  465

(فالمتوفى عَنْهَا) حرَّة كَانَت أَو أمة (إِن كَانَت حَامِلا) بِولد يلْحق الْمَيِّت

(فعدتها بِوَضْع الْحمل) أَي انْفِصَال كُله حَتَّى ثَانِي توأمين وَلَو بعد الْوَفَاة

لقَوْله تَعَالَى {وَأولَات الْأَحْمَال أَجلهنَّ أَن يَضعن حَملهنَّ} هُوَ مُقَيّد لقَوْله تَعَالَى {وَالَّذين يتوفون مِنْكُم ويذرون أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ أَرْبَعَة أشهر وَعشرا} وَلقَوْله صلى الله عَلَيْهِ وَسلم لسبيعة الأسْلَمِيَّة وَقد وضعت بعد موت زَوجهَا بِنصْف شهر قد حللت فَانْكِحِي من شِئْت مُتَّفق عَلَيْهِ

[4] Al-Khatib As-Syirbini, 1994, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd al-Minhaj . Dar kitab Ilmiah    (5/ 84)

[فَصْلٌ الْعِدَّة بِوَضْعِ الْحَمْلِ]

(فَصْلٌ) فِي الْعِدَّةِ بِوَضْعِ الْحَمْلِ (عِدَّةُ الْحَامِلِ) مِنْ حُرَّةٍ وَأَمَةٍ عَنْ فِرَاقِ حَيٍّ أَوْ مَيِّتٍ بِطَلَاقٍ رَجْعِيٍّ أَوْ بَائِنٍ (بِوَضْعِهِ) أَيْ الْحَمْلِ لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {وَأُولاتُ الأَحْمَالِ أَجَلُهُنَّ أَنْ يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ} [الطلاق: 4]