IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-727: HUKUM UMAT ISLAM MELIBATKAN DIRI DALAM PERARAKAN SAMBUTAN “SUN WU KONG FESTIVAL PARADE”

if_727.JPG

Soalan

Assalamualaikum, apakah pandangan SS Mufti terhadap isu pasukan kompang melibatkan diri dalam perarakan sambutan Sun Wu Kong Festival Parade? Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Penglibatan umat Islam dalam perarakan sambutan “SUN WU KONG FESTIVAL PARADE” adalah dilarang menurut syarak. Hal ini kerana sambutan tersebut melibatkan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa cakna dan peka terhadap sesuatu perkara terutama apabila melibatkan perkara-perkara akidah.

Huraian Jawapan

Baru-baru ini pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerima suatu pertanyaan berkenaan keterlibatan orang Islam dalam perarakan sambutan “Sun Wu Kong Festival Parade”. Sebelum mengulas lebih lanjut adalah baik untuk terlebih dahulu meneliti latar belakang sejarah Sun Wu Kong ini.

Umumnya, Sun Wu Kong merupakan lagenda monyet yang sering diceritakan dalam kebanyakan karya Hikayat Klasik Cina.[1] Sun Wu Kong lahir pada hari ke-16 bulan ke-8 mengikut kalendar Lunar iaitu sehari selepas sambutan Perayaan Kuih Bulan. Nama Sun Wu Kong ini diberikan oleh gurunya iaitu Xuan Zang. Xuan Zang ini mempunyai seorang mentor yang bernama Guan Yin yang telah memberikannya kuasa untuk mengawal monyet. Sun Wu Kong pernah menemani gurunya Xuan Zang bersama dua orang rakannya iaitu Pigsy dan Sandy ke India untuk mengambil kitab suci agama Buddha. [2]

Menurut Journey to The West Research, Sun Wu Kong disembah di Selatan Cina, Taiwan dan beberapa kawasan sekitar Asia Tenggara termasuk Malaysia, Singapura, Thailand dan Vietnam sebagai “Great Sage Equaling Heaven”. Dia juga mempunyai gelaran seperti “Patriark Buddha” dan “Victorious Fighting Buddha”. [3]

Etika Berinteraksi Umat Islam Dengan Golongan Non-Muslim Dalam Hal Keagamaan

Islam meraikan kehidupan masyarakat yang harmoni tanpa mendiskriminasikan sesuatu kaum dan agama. Islam juga menganjurkan umatnya menghormati dan saling berkenalan antara sesama manusia. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا

Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).

(Surah al-Hujurat: 13)

Namun dalam masa yang sama, Islam meletakkan batasan dan garis panduan dalam bertoleransi dengan penganut agama yang lain agar tidak melangkaui batasan syariat agama. Perkara ini demi menjaga kemaslahatan akidah umat Islam daripada terjebak dalam perkara yang dimurkai oleh Allah SWT seperti perbuatan mensyirikkan Allah. Dalam isu ini, Islam amat tegas melarang umatnya untuk terlibat dalam segala bentuk ritual keagamaan lain. Firman Allah SWT:

لَنَا أَعْمَالُنَا وَلَكُمْ أَعْمَالُكُمْ

Maksudnya: Bagi kami amal (ibadat) kami dan bagi kamu amal (ibadat) kamu.” Yang bermakna kami berlepas diri daripada (ibadat) kamu.

(Surah al-Syura: 15)

Penglibatan umat Islam dalam perarakan atau majlis keagamaan adalah dilarang dalam syarak. Hal ini berpandukan kepada hadis daripada Ibnu Umar R.Anhuma bahawa Baginda Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ‏

Maksudnya: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dalam kalangan mereka

Riwayat Abu Daud (4031)

Menurut Imam al-San’ani hadis ini menunjukkan ke atas mereka yang menyerupai golongan fasiq, kafir atau pembuat bidaah pada setiap sesuatu yang dikhususkan dengan mereka seperti pakaian (syiar agama mereka), tunggangan atau perilaku mereka maka dia adalah termasuk dari kalangan mereka.[4]

Tambahan pula, penglibatan secara khusus dalam meraikan majlis keagamaan oleh umat Islam adalah diharamkan kerana penglibatan tersebut boleh diumpamakan sebagai reda dengan kemaksiatan yang dilakukan oleh mereka. Ibn Qayyim al-Jauziyyah menukilkan pandangan Imam Hibbatullah al-Lalaka’i iaitu ulama dalam kalangan mazhab al-Syafie menyatakan bahawa:

وَلَا يَجُوزُ لِلْمُسْلِمِينَ أَن يَحْضُرُوا أَعْيَادَهُمْ لِأَنَّهُمْ عَلَى مُنْكَرٍ وَزُورٍ, وَإِذَا خَالَطَ أَهْلُ الْمَعْرُوفِ أَهْلَ المًنْكَرِ بِغَيْرِ الْإِنْكَارِ عَلَيْهِمْ كَانُوا كَالرَّاضِينَ بِهِ وَالْمُؤَثِّرِينَ لَهُ، فَنَخْشَى مِنْ نُزُولِ سَخَطِ اللهِ عَلَى جمَاَعَتِهِم فَيَعُمَّ الْجَمِيعَ، نَعُوذُ بِاللهِ مِن سَخَطِهِ

Maksudnya: “Umat Islam tidak dibenarkan untuk menghadiri perayaan-perayaan mereka (golongan bukan Islam) kerana mereka berada dalam kemungkaran dan kebatilan. Apabila golongan yang baik bercampur dengan golongan mungkar (dengan) tanpa mengingkari mereka, maka mereka seperti redha dan terpengaruh dengan ahli mungkar tersebut. Kami bimbang kemurkaan Allah turun ke atas ke atas kelompok mereka, lalu terkena pada semua. Kami memohon kepada Allah daripada kemurkaan-Nya”[5]

Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 April 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam telah memutuskan;

Beberapa ketetapan kriteria perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam adalah sebagaimana berikut:

  1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.
  2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.
  3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh "menyentuh sensitiviti masyarakat Islam"

Kesimpulannya, penglibatan umat Islam dalam perarakan sambutan “SUN WU KONG FESTIVAL PARADE” adalah dilarang menurut syarak. Hal ini kerana sambutan tersebut melibatkan upacara yang bertentangan dengan akidah Islam, iaitu meraikan perayaan yang melibatkan sembahan orang bukan Islam terhadap tuhan selain Allah. Oleh itu, umat Islam hendaklah sentiasa cakna dan peka terhadap sesuatu perkara terutama apabila melibatkan perkara-perkara akidah.

Wallahua’lam

 

[1] Ping-I Mao, Isabelle. (1997). Essays on Monkey: A Classic Chinese Novel. Critical and Creative Thinking Capstones Collection. 1.

http://scholarworks.umb.edu/cct_capstone/238.

[2] Rujuk pautan berikut: https://chinatownology.com/monkey_god.html.

Xuan Zang became the Monkey God’s teacher and gave him the name Sun Wu Kong, 孙悟空. But knowing how playful and willful the Monkey God can be, Guan Yin (观音) became his mentor and gave Xuan Zang powers to control the monkey if necessary.

Sun Wu Kong along with his fellow disciples, Pigsy (猪八戒) and Sandy (沙悟浄) successfully escorted Xuan Zang to India and returned to China with important Buddhist scriptures.

His birthday is celebrated on 16th day of 8th lunar month, a day after the Mid Autumn Festival.

[3] Sun Wukong is worshiped in southern China, Taiwan, and areas of Southeast Asia, including Malaysia, Singapore, and even Thailand and Vietnam, as the “Great Sage Equaling Heaven” (Qitian dasheng, 齊天大聖) (fig. 1). Variations of this title often include “Lord” (ye, 爺) or “Buddha Patriarch” (fozu, 佛祖) (e.g. Dasheng ye, 大聖爺; Dasheng fozu, 大聖佛祖). He is very rarely addressed as the “Victorious Fighting Buddha” (Dou zhansheng fo, 鬥戰勝佛), which is taken from the end of Journey to the West (1592).

[4] Muhammad bin Ismail al-San’ani, Subul al-Salam. (Dar Hadis, t.t) 2/646

وَالْحَدِيثُ دَالٌّ عَلَى أَنَّ مَنْ تَشَبَّهَ بِالْفُسَّاقِ كَانَ مِنْهُمْ أَوْ بِالْكُفَّارِ أَوْ بِالْمُبْتَدِعَةِ فِي أَيِّ شَيْءٍ مِمَّا يَخْتَصُّونَ بِهِ مِنْ مَلْبُوسٍ أَوْ مَرْكُوبٍ أَوْ هَيْئَةٍ

[5] Ibn al-Qayyim, Muhammad bin Abi Bakr, Ahkam Ahl al-Zimmah, (al-Damam: Ramadi li al-Nashr, 1997), 3/1245