IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-734: ADAKAH WANITA YANG MEMAKAI INAI PERLU MEMAKAI SARUNG TANGAN KETIKA KELUAR RUMAH

Screenshot 2022 12 12 at 2.20.57 PM

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Datuk, Semalam saya ada mendengar seorang ustazah ini katanya haram bilamana perempuan sudah berkahwin keluar rumah tanpa memakai sarung tangan jika dia berinai. Saya ingin bertanya apa pendapat datuk mufti mengenai hal ini?

Ringkasan Jawapan:

Wanita yang sudah berkahwin disunatkan untuk memakai inai. Menurut pandangan kedua dalam mazhab Syafii tangan wanita bukan aurat apabila berada di hadapan lelaki bukan mahram selagi mana tidak menimbulkan fitnah, maka hukum wanita mempamerkan tangan yang terdapat inai adalah harus dan tidak haram. Keharusan ini berdasarkan kepada pandangan sebahagian salaf seperti Ibn Abas dan sebahagian ulama seperti al-Mawardi dalam tafsirnya yang berpendapat bahawa inai di tangan adalah termasuk dalam perhiasan zahir yang boleh dilihat oleh lelaki yang bukan mahram.

 

Huraian Jawapan:

Hukum asal penggunaan inai adalah disunatkan bagi wanita yang telah berkahwin. Manakala bagi wanita yang belum berkahwin hukumnya adalah makruh di sisi mazhab Syafii. Penggunaan inai bagi lelaki pula ialah haram kecuali jika ada tujuan tertentu seperti untuk perubatan. Seorang wanita sunat untuk memakai inai berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:

أَوْمأتِ امرأةٌ من وراءِ سِترٍ بيَدِها كتابٌ إلى رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ، فقبَضَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَدَه، فقال: ما أدري أيَدُ رجُلٍ، أم يَدُ امرأةٍ؟ قالت: بل امرأةٌ، قال: لو كنتِ امرأةً لغيَّرتِ أظفارَكِ. يعني: بالحِنَّاءِ

Maksudnya:Seorang wanita memberikan isyarat dari belakang tabir menunjukkan pada tangannya ada buku untuk diberikan kepada Rasulullah SAW. Maka Nabi SAW menggenggam tangannya seraya bersabda: “Aku tidak tahu adakah ini tangan lelaki ataupun tangan perempuan?”. Jawab perempuan tersebut: “Bahkan perempuan”. Lalu Baginda bersabda: “Jikalau kamu ini perempuan, nescaya kamu akan mengubah kuku kamu (dengan inai)".

(Riwayat Abu Daud[1])

Syeikh al-Azib Abadi menjelaskan, hadis ini hadis ini menunjukkan bahawa wanita sangat digalakkan untuk memakai inai[2]. Imam al-Ramli pula ketika menjelaskan mengenai hukum memakai inai menyebutkan bahawa:

وَيُسَنُّ خَضْبُهُ بِالْحِنَّاءِ وَنَحْوِهِ. وَيُسَنُّ لِلْمَرْأَةِ الْمُزَوَّجَةِ أَوْ الْمَمْلُوكَةِ خَضْبُ كَفِّهَا وَقَدَمِهَا بِذَلِكَ تَعْمِيمًا؛ لِأَنَّهُ زِينَةٌ، وَهِيَ مَطْلُوبَةٌ مِنْهَا لِحَلِيلِهَا، أَمَّا النَّقْشُ وَالتَّطْرِيفُ فَلَا، وَخَرَجَ بِالْمُزَوَّجَةِ وَالْمَمْلُوكَةِ غَيْرُهُمَا فَيُكْرَهُ لَهُ، وَبِالْمَرْأَةِ الرَّجُلُ وَالْخُنْثَى فَيَحْرُمُ الْخِضَابُ عَلَيْهِمَا إلَّا لِعُذْرٍ.

Maksudnya: “Disunatkan bagai wanita  yang sudah berkahwin atau hamba sahaya untuk memakai inai di tapak tangan dan kakinya secara meratai kerana ia dianggap sebagai perhiasan dan perhiasan itu suatu yang dituntut bagi dilakukan untuk suaminya adapun mengukir atau menghiasi kuku tidak dibenarkan.  Sementara itu, selain golongan wanita yang berkahwin dan  hamba sahaya, maka makruh untuk berinai. Begitu juga lelaki dan khunsa, haram untuk mereka memakai inai melainkan jika ada keperluan[3].”

Adapun bagi lelaki haram untuk memakai inai kerana dianggap menyerupai wanita. Penjelasan lebih lanjut berkenaan hukum lelaki memakai inai boleh dirujuk pada artikel Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk: Hukum Lelaki Memakai Inai[4].

 

Makna perhiasan yang zahir dalam al-Quran

Mengenai persoalan yang ditanyakan, wanita yang memakai inai adakah mereka perlu memakai sarung tangan atau tidak ketika keluar dari rumah bagi mengelakkan dari dilihat oleh lelaki ajnabi? Dalam al-Quran Allah SWT mengharamkan dari wanita untuk memperlihatkan dari perhiasannya melainkan perhiasan yang zahir. Terdapat perbezaan pendapat dikalangan ulama tafsir sama ada inai di tangan termasuk dalam perhiasan yang zahir dan boleh dilihat oleh lelaki ajnabi atau tidak. Para ulama tafsir berbeza pandangan mengenai makna perhiasan zahir yang boleh dilihat oleh lelaki bukan mahram. Firman Allah SWT:

وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ

Maksudnya: “Janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.”

Imam Ibn Kathir menyebutkan dalam tafsirnya bahawa Ibn Masud berkata:

الزينة زينتان : فزينة لا يراها إلا الزوج : الخاتم والسوار ، وزينة يراها الأجانب ، وهي الظاهر من الثياب

Maksudnya: “Perhiasan terbahagi kepada dua; Perhiasan yang tidak boleh dilihat melainkan suami iaitu cincin dan gelang tangan, dan perhiasan yang boleh dilihat oleh lelaki ajnabi iaitu bahagian yang zahir dari pakaian[5].

Berdasarkan perkataan Ibn Masud ini sebahagian ulama berpandangan inai juga termasuk dalam perhiasan yang tidak boleh dilihat melainkan bagi suami[6]. Manakala menurut al-Mawardi inai yang dipakai ditangan dianggap sebagai perhiasan yang zahir manakala inai yang berada di kaki dianggap perhiasan batin yang tidak boleh dilihat oleh lelaki yang bukan mahram[7].

Ibn Abas dalam sebahagian riwayat seperti yang disebutkan oleh Imam al-Tabari berpendapat:

والزينة الظاهرة: الوجه، وكحل العين، وخضاب الكفّ، والخاتم

Maksudnya:Perhiasan yang zahir ialah; wajah, celak mata, inai tapak tangan dan cincin[8].”

 

Had aurat bagi wanita

Had aurat wanita di sisi pendapat muktamad dalam mazhab Syafii ialah seluruh tubuh. Walau bagaimanapun terdapat pendapat yang kedua yang menyatakan bahawa aurat bagi wanita itu ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan kedua tapak tangan selagi mana tidak menimbulkan fitnah apabila dilihat lelaki yang bukan mahram. Pandangan kedua ini telah diguna pakai dan diamalkan oleh masyarakat Nusantara sejak zaman berzaman dan tidak menjadi masalah untuk diteruskan selagi tidak keterlaluan seperti tabarruj(berhias secara berlebihan) di bahagian muka, tangan dan tapak tangan. Pandangan kedua ini berdasarkan pandangan yang mentafsirkan makna perhiasan zahir dalam surah al-Nur di atas sebagai wajah dan muka[9].

 

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, wanita yang sudah berkahwin disunatkan untuk memakai inai. Menurut pandangan kedua dalam mazhab Syafii tangan wanita bukan aurat apabila berada di hadapan lelaki bukan mahram selagi mana tidak menimbulkan fitnah, maka hukum wanita mempamerkan tangan yang terdapat inai adalah harus dan tidak haram. Keharusan ini berdasarkan kepada pandangan sebahagian salaf seperti Ibn Abas dan sebahagian ulama seperti al-Mawardi dalam tafsirnya yang berpendapat bahawa inai di tangan adalah termasuk dalam perhiasan zahir yang boleh dilihat oleh lelaki yang bukan mahram.

 

[1] Syeikh Syuaib al-Arnaut menilai hadis ini sebagai daif (Rujuk Tahqiq kepada kitab Sunan Abi Daud, Beirut: Dar al-Risalah al-Alamiyyah, 2009, jld. 6, hlm. 246)

[2] Al-Azim Abadi, Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (1415H), jld. 11, hlm. 149. 

وَفِي الْحَدِيثِ شِدَّةُ اسْتِحْبَابِ الْخِضَابِ بِالْحِنَّاءِ لِلنِّسَاءِ

[3] Imam al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj, Beirut:  Dar al-Kutub al-Ilmiah (2003), jld. 2, hlm. 25.

[4] https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1043-irsyad-al-fatwa-ke-157-hukum-lelaki-memakai-inai

[5] Imam Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim, Saudi: Dar al-Toibah (1999), jld. 6, hlm. 45.

[6] Rujuk Fatawa Nur ala al-Darb, jld. 7, hlm. 2 & jld. 2, hlm. 272. https://islamqa.info/ar/answers/223251/%D8%AD%D9%83%D9%85-%D8%B1%D8%B3%D9%85-%D8%AD%D9%86%D8%A7%D8%A1-%D8%A7%D9%84%D9%83%D9%81-%D9%84%D9%85%D9%86-%D9%84%D8%A7-%D8%AA%D8%B3%D8%AA%D8%B1-%D9%8A%D8%AF%D9%8A%D9%87%D8%A7

[7] Al-Mawardi, al-Nukat wa al-Uyun, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (t.t), jld. 4, hlm. 91.

فأما الخضاب فإن كان في الكفين فهو من الزينة الظاهرة، وإن كان في القدمين فهو من الباطنة، وهذا الزينة الباطنة يجب سترها عن الأجانب ويحرم عليهم تعمد النظر إليها، فأما ذوو المحارم، فالزوج منهم يجوز له النظر والالتذاذ، وغيره من الآباء والأبناء والإخوة يجوز لهم النظر ويحرم عليهم الالتذاذ

[8] Imam al-Tobari, Tafsir al-Tabari, Riyadh: Dar al-Hijr (2001), jld. 17, hlm. 259.

[9] Imam al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri, Beirut: Dar al-Minhaj (2016), jld. 2, hlm. 141.

وقيل لا يحرم لقوله تعالى: (وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ) وهو مفسر بالوجه والكفين والمعتمد الأول ولا بأس بتقليد الثاني لا سيما في هذا الزمان الذي كثر فيه خروج النساء في الطرق والأسواق.