IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-738 : KEDUDUKAN MAKMUM SAMA DENGAN IMAM, ADAKAH SAH SOLAT MAKMUM?

 

IF 738

SOALAN

Assalamualaikum. Saya pernah solat berjemaah di surau sebuah pusat membeli belah. Oleh kerana surau itu agak sempit dan ramai orang, saya dan seorang lagi kawan solat berjemaah dalam keadaan berdiri dalam satu saf yang sama secara bersebelahan.

Persoalan saya, adakah sah solat saya sebagai makmum dalam keadaan kedudukan saya sama dengan kedudukan imam? Mohon penjelasan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Sah solat makmum yang kedudukannya sama dengan kedudukan imam. Kedudukan makmum dan imam itu dikira dengan kedudukan tumit seseorang. Jika keadaan tidak membolehkan seseorang berada di belakang imam sepertimana yang disebutkan dalam soalan, maka tidak mengapa makmum berdiri sama kedudukan dengan imam dan perbuatan tersebut tidak dikira  sebagai makruh.

WaAllahu a’lam.

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Antara syarat sah mengikuti imam (qudwah) ialah kedudukan makmum mestilah tidak mendahului  kedudukan imam. Jika kedudukan makmum melebihi kedudukan imam, maka batal solatnya. Imam al-Nawawi menjelaskan bahawa:

لا يتقدم على إمامه في الموقف فإن تقدم بطلت في الجديد

Maksudnya: (Antara syarat sah mengikut imam) Hendaklah kedudukan makmum tidak mendahului imam. Jika kedudukan makmum berada di hadapan imam, maka batal solatnya mengikut qaul jadid.[1] (Rujuk Minhaj al-Talibin, 1:40)

Oleh yang demikian, seseorang makmum perlu berdiri di belakang imam atau sekurang-kurangnya sama dengan kedudukan imam. Syeikh Nawawi al-Jawi menyebutkan hal ini:

(و) الثَّانِي (عدم تقدم على إِمَام) فِي الْموقف بِأَن يتَأَخَّر عَنهُ أَو يُسَاوِيه

Maksudnya: Syarat Kedua (qudwah): Tidak mendahului kedudukan imam iaitu dengan berada di belakangnya atau sama dengan kedudukannya.[2] (Rujuk Nihayat al-Zain, 1:120)

Kedudukan tersebut diambil kira berdasarkan kepada kedudukan tumit dan bukan kepada tapak atau jari kaki seseorang. Oleh sebab itu, jika kedudukan tumit makmum sama dengan tumit imam, maka tidak mengapa jika jari makmum terlebih daripada kaki imam. Namun begitu, jika sebaliknya dengan tumit makmum melebihi tumit imam tetapi jari kakinya di belakang jari kaki imam, maka tidak sah solat makmum tersebut. Imam Zakaria al-Ansari menjelaskan perkara ini bahawa:

وَلَا تَضُرُّ مُسَاوَاتُهُ لَهُ (وَالِاعْتِبَارُ) فِي التَّقَدُّمِ وَغَيْرِهِ لِلْقَائِمِ (بِالْعَقِبِ) ، وَهُوَ مُؤَخَّرُ الْقَدَمِ (لَا الْكَعْبِ) فَلَوْ تَسَاوَيَا فِي الْعَقِبِ وَتَقَدَّمَتْ أَصَابِعُ الْمَأْمُومِ لَمْ يَضُرَّ وَلَوْ تَقَدَّمَتْ عَقِبُهُ وَتَأَخَّرَتْ أَصَابِعُهُ ضَرَّ؛ لِأَنَّ تَقَدُّمَ الْعَقِبِ يَسْتَلْزِمُ تَقَدُّمَ الْمَنْكِبِ.

Maksudnya: Tidak menjejaskan sahnya solat jika kedudukan makmum sama dengan imam. Apa yang diambil kita bagi kedudukan ini dan selainnya ialah berdasarkan kedudukan tumit iaitu bahagian belakang kaki seseorang, bukan buku lali. Jika tumit imam dan makmum pada kedudukan yang sama tetapi jari kaki makmum mendahului imam, maka tidak menjejaskan sahnya solat seseorang. Namun jika kedudukan tumit makmum mendahului tumit imam tetapi jarinya di belakang jari imam, maka tidak mengapa. Hal ini kerana apabila tumit mendahului seseorang maka bahu juga turut mendahuluinya. [3] (Rujuk Asna al-Matalib, 1:222)

Oleh itu, jelaslah bahawa jika tumit seseorang makmum sama kedudukannya dengan tumit imam, maka ia tidak menjejaskan sahnya solat makmum tersebut.  Namun begitu, hukumnya adalah makruh. Selain itu, jika dia syak sama ada tumitnya mendahului imam ataupun tidak, maka hukum solatnya sah kerana asalnya tidak berlaku tersebut. Hal ini juga dijelaskan oleh Imam Zakaria al-Ansari bahawa:

وَلَا تضر مساواته لَكِنَّهَا تُكْرَهُ كَمَا فِي الْمَجْمُوعِ وَغَيْرِهِ وَلَوْ شَكَّ فِي تَقَدُّمِهِ صَحَّتْ صَلَاتُهُ لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْمُفْسِدِ.

Maksudnya: Tidak menjejaskan sahnya solat seseorang jika kedudukan tumitnya sama dengan imam, namun begitu hukumnya makruh seperti yang disebut dalam kitab al-Majmuk dan selainnya. Jika seseorang makmum syak kedudukan tumitnya melebihi tumit imam ataupun tidak, maka solatnya dikira sah kerana hukum asal tidak berlaku perkara yang membatal solat tersebut.[4] (Rujuk Fath al-Wahhab, 1:75)

Walau bagaimanapun, jika keadaan tidak membolehkan seseorang berada di belakang imam sepertimana situasi yang disebutkan dalam soalan, maka tidak mengapa dan tidak dikira sebagai perbuatan makruh.

Kesimpulan

Kesimpulannya, solat seseorang makmum yang kedudukannya sama dengan kedudukan imam adalah sah. Kedudukan imam dan makmum dalam solat berjemaah tersebut diambil kira daripada kedudukan tumit mereka. Jika seseorang syak sama ada kedudukannya melebihi imam ataupun tidak, maka solatnya sah kerana hukum asal tidak berlaku perkara yang membatalkan solat tersebut.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, 2005, Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin, Beirut, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 40.

[2] Al-Jawi, Muhammad Ibn Umar Nawawi, t.t, Nihayat al-Zain Fi Irsyad al-Mubtadi’in, Beirut: Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 120.

[3] Al-Ansari, Zakaria, t.t, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, Beirut, Dar al-Kitab al-Islami, jld. 1, hlmn. 222.

[4] Al-Ansari, Zakaria, 1994, Fath al-Wahhab bi Syarh Manhaj al-Tullab, Beirut: Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn. 75.