IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-64: PERANAN USUL FIQH DALAM METODOLOGI MENGELUARKAN HUKUM

 

IUF64

 

SOALAN

Assalamualaikum Tuan Mufti, saya mempunyai persoalan yang ingin diajukan kepada pihak Tuan Mufti mengenai fungsi atau kepentingan ilmu Usul Fiqh dalam metodologi hukum, memandangkan masyarakat kurang terdedah mengenainya serta peranan ilmu tersebut. Mohon pencerahan, terima kasih.

 

RINNGKASAN JAWAPAN

Usul Fiqh adalah ilmu yang berperanan dalam penentuan sesuatu hukum oleh para mujtahid dan fuqaha. Proses istinbat sesuatu hukum dari nas juga melibatkan ilmu Usul Fiqh.  Ilmu Usul fiqh akan memandu seseorang mujtahid atau faqih dalam proses menentukan sesuatu hukum sama ada yang berasaskan nas atau ijtihad semasa yang melibatkan isu-isu baru yang dihadapi oleh manusia.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Peranan ilmu Usul Fiqh

Usul Fiqh merupakan satu ilmu alat (wasail) yang terpenting bagi memahami al-Quran dan Sunnah. Tanpa ilmu Usul Fiqh, seseorang itu tidak dapat mengeluarkan sesuatu hukum daripada al-Quran dan al-Sunnah. Maka, ia merupakan antara ilmu yang penting sebaris dengan ilmu-ilmu alat yang lain. Oleh itu, ilmu Usul Fiqh ini tidak boleh dipandang sepi malah perlu dipelajari dan ditekuni bagi mendapatkan manfaatnya. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Abdul Karim al-Khudair berkenaan mabadi asyarah (10 asas-asas ilmu) bagi ilmu ini, antaranya:

.وفضله: كفضل غيره من علوم الشرعية التي جاء الحث على تعلمها وتعليمها في الكتاب والسنة؛ لأن الوسائل لها أحكام المقاصد

Maksudnya: Kelebihannya (Usul Fiqh): Sama seperti kelebihan ilmu-ilmu syarak yang lain yang digalakkan untuk mempelajari dan mengajarkannya di dalam al-Quran dan Sunnah. Ini kerana wasilah (alat) mengambil hukum maqasid hukum hakamnya (ilmu-ilmu syarak). 

(Rujuk Syarh Matan Waraqat fi Usul al-Fiqh, 1/8)

Antara kepentingan ilmu Usul Fiqh adalah membantu seorang faqih untuk mengeluarkan hukum bagi sesuatu permasalahan. Seorang ahli fiqh sentiasa berinteraksi dengan pelbagai jenis sumber dalil terutamanya al-Quran dan al-Sunnah. Sementara itu, ilmu Usul Fiqh akan membantunya dalam memahami nas Al-Quran dan Al-Sunnah ketika mengeluarkan hukum terhadap sesuatu permasalahan. Syeikh Ali Jumuah ada menyatakan berkenaan ilmu Usul Fiqh:

إِنَّ أصول الفقه هو الأساس الذى يستطيع به الفقيه أن يستنبط الأحكام الشرعية من أدلّتها التفصيليّة. ففضله كفضل الفقه فأكثر, وهو من العلوم النقلية الشرعية العقلية حيث يستعمل العقل في الفهم والنقل في معرفة اللغة التى هي إحدى امداداته

Maksudnya: Sesungguhnya Usul Fiqh ialah asas yang membolehkan seorang faqih untuk mengeluarkan (istinbat) hukum syarak daripada dalil-dalil yang terperinci. Oleh itu, kelebihannya (Usul Fiqh) sama seperti kelebihan ilmu Fiqh, bahkan lebih besar lagi. Ini kerana ia adalah sebahagian daripada ilmu naqliah (wahyu) dan akliah (akal), iaitu digunakan akal untuk memahaminya dan juga digunakan wahyu untuk mengetahui bahasa yang menjadi salah satu daripada sumber-sumbernya. 

(Rujuk Tarikh Usul al-Fiqh, 34)

Tujuannya adalah bagi mencapai maksud sebenar dalil-dalil tersebut dan diaplikasikan dalam permasalahan fiqh yang timbul. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Baydawi melalui definisi ilmu Usul Fiqh:

معرفة دلائل الفقه اجمالا وكيفية الاستفادة منها أو حال المستفيد

Maksudnya: (Ilmu bagi) mengetahui dalil-dalil fiqh secara ijmal (umum), cara untuk mengeluarkan (istinbath hukum) daripadanya dan kriteria mujtahid. 

(Rujuk Minhaj al-Wusul ila Ilmi al-Usul, 1)

Dalam memperincikan hal ini, Imam al-Ghazali di dalam kitabnya al-Mustasfa Min Ilmi al-Usul menyebut:

فإن الأحكام ثمرات وكل ثمرة فلها صفة وحقيقة في نفسها ولها مثمر ومستثمر وطريق في الاستثمار . والثمرة هي الأحكام, أعني الوجوب والحظر والندب والكراهة والإباحة والحسن والقبح والقضاء والأداء والصحة والفساد وغيرها والمثمر هي الأدلة, وهي ثلاثة الكتاب والسنة والإجماع فقط . وطرق الاستثمار هي وجوه دلالة الأدلة... والمستثمر هو المجتهد , ولا بد من معرفة صفاته وشروطه وأحكامه

Maksudnya: Sesungguhnya hukum-hukum tersebut ialah buah (hasil) dan setiap buah tersebut mempunyai sifat dan hakikatnya. Ia juga ada pohon (yang mengeluarkan buah), orang yang menghasilkan buah tersebut dan cara penghasilannya tersendiri. Justeru, buah itu ialah hukum-hakam seperti wajib, haram, sunat, makruh, harus, husn (baik) dan qubh (buruk), qada’ dan ada’ (tunai), sah dan fasid (batal). Manakala pohon (yang mengeluarkan buah) ialah dalil-dalil iaitu tiga perkara sahaja, al-Quran, Sunnah dan ijma’ ulama. Cara penghasilan buah itu pula ialah wajh istidlal (kaedah pendalilan). orang yang menghasilkan buah tersebut pula ialah mujtahid, maka perlu untuk mengetahui sifat, syarat dan hukumnya. 

(Rujuk al-Mustasfa Min Ilmi al-Usul, 1/8)

Selain itu, Usul Fiqh juga bertindak dengan memelihara pensyariatan hukum-hukum syarak. Hal ini kerana ilmu Usul Fiqh memelihara segala dalil pensyariatan daripada disalahguna oleh orang ramai. Sebagaimana ia juga turut menjaga hujah-hujah dan juga sandaran bagi hukum-hakam. Perkara ini dapat menghalang daripada berlakunya pentafsiran nas-nas al-Quran dan juga al-Sunnah hanya semata-mata berpandukan akal dan juga hawa nafsu.

Ia adalah panduan dalam menentukan sesuatu hukum terhadap sebarang bentuk permasalahan atau isu fiqh yang berlaku. Para ilmuwan Usul Fiqh telah menyusun atur sumber-sumber hukum dan kaedah istinbat yang digunakan dalam menentukan hukum yang bersesuaian sebelum hukum tersebut dikeluarkan.

 

KESIMPULAN

Usul Fiqh adalah ilmu yang berperanan dalam penentuan sesuatu hukum oleh para mujtahid dan fuqaha. Proses istinbat sesuatu hukum dari nas juga adalah melibatkan ilmu Usul Fiqh.  Ilmu Usul fiqh akan memandu seseorang mujtahid atau faqih dalam proses menentukan sesuatu hukum sama ada yang berasaskan nas atau ijtihad semasa yang melibatkan isu-isu baru yang dihadapi oleh manusia.

Print