TASHIH AL-MAFAHIM #10: KUAT BERIBADAT TAPI PENGGANAS

 kuat ibadat pengganas.JPG

Salah faham

Bagaimana sesetengah orang menyifatkan kelompok yang digelar pengganas Islam itu sebagai Khawarij, sedangkan kita melihat mereka sebagai golongan yang amat kuat berpegang dengan agama. Mereka dilihat kuat beribadat, tiada kalangan mereka yang merokok atau meninggalkan solat di samping sangat bersemangat untuk pergi ke medan jihad. Sifat-sifat ini sudah tentu tidak akan terbit kecuali daripada seorang yang bertaqwa. Bukankah ini semua menunjukkan benarnya manhaj yang dibawa oleh mereka?

 

Pencerahan

Perbahasan mengenai Khawarij[1] kami telah bahaskan sebelum ini dalam Tashih al-Mafahim #8: Masih Wujudkah Khawarij? Ringkasnya, kita mengatakan bahawa Khawarij adalah kumpulan yang benar-benar wujud dan ia masih wujud dengan ciri-cirinya biarpun tiada sesiapa pun pada hari ini yang mengaku dirinya sebagai Khawarij. Kaedah mengatakan:

العِبْرَةُ بِالْمُسَمَّيَاتِ لَا بِالْأَسْمَاءِ

Maksudnya: “Penilaian adalah pada apa yang dinamakan bukan pada nama-nama.”

 

Justeru, bagi menjawab kekeliruan yang ditimbulkan dalam kenyataan di atas, kami pertegaskan seperti berikut: 

Pertama: Kita tidak menafikan wujud keiltizaman terhadap agama pada diri sebahagian mereka yang dikatakan Khawarij seperti taat beragama dan rajin beramal ibadat. Begitu juga terserlah sifat-sifat luaran seorang Muslim yang soleh seperti berjanggut, sentiasa menunaikan solat lima waktu di masjid dan tidak merokok. Walau bagaimanapun, semua ini lebih tertumpu kepada hubungannya dengan Tuhan. Namun, hubungannya dengan manusia tidak semestinya selari dengan hubungannya dengan Tuhan. Dengan kata lain, sekalipun amal ibadat zahirnya baik, namun jika pemikirannya ekstrem, ia tidak akan menghalangnya daripada bermudah-mudahan dalam kafir mengkafir, menghalalkan darah bahkan membunuh orang yang didakwa murtad.

Dengan itu, keiltizaman yang ditunjukkan oleh golongan ini hanya bersifat separuh matang dan tidak menyeluruh. Ia menepati firman Allah SWT terhadap golongan yang gemar mengambil agama ini sebahagiannya, dan meninggalkan sebahagian yang lain. Firman-Nya:

أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ ۚ فَمَا جَزَاءُ مَن يَفْعَلُ ذَٰلِكَ مِنكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَىٰ أَشَدِّ الْعَذَابِ ۗ وَمَا اللَّـهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ 

Maksudnya: “Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”

Surah al-Baqarah (85)

Tercatat dalam riwayat, bagaimana golongan Khawarij amat mengambil berat mengenai isu-isu kesucian dalam ibadat, sedangkan pada masa yang sama mereka memandang ringan terhadap nyawa umat Islam. Antaranya seperti yang dinukilkan daripada Ibn Abu Nu’m:  

كُنْتُ شَاهِدًا لِابْنِ عُمَرَ، وَسَأَلَهُ رَجُلٌ عَنْ دَمِ البَعُوضِ، فَقَالَ: مِمَّنْ أَنْتَ؟ فَقَالَ: مِنْ أَهْلِ العِرَاقِ، قَالَ: انْظُرُوا إِلَى هَذَا، يَسْأَلُنِي عَنْ دَمِ البَعُوضِ، وَقَدْ قَتَلُوا ابْنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Aku telah menjadi saksi kepada Ibn ‘Umar, seorang lelaki telah bertanya kepadanya tentang darah nyamuk (yang terkena tubuh). Lalu Ibn ‘Umar bertanya: Siapakah kamu? Dia menjawab: Daripada penduduk Iraq. Dia berkata: Perhatikan orang ini! Dia bertanya kepadaku tentang darah nyamuk, sedangkan mereka telah membunuh anak Nabi (yakni al-Husain bin Ali R.Anhuma.”

Riwayat al-Bukhari (5994)

Kedua: Sekiranya keiltizaman beragama tidak menegah seseorang itu menghalalkan darah orang Islam dan harta benda mereka, ini menunjukkan ia tidak memberi nilai kepada sifat istiqamah mereka dalam beribadah. Ia juga menjelaskan kepada kita akan kebatilan manhaj dan penyimpangan pemikiran aqidah yang dianut. Malah bukan suatu yang mustahil untuk berhimpunnya sifat kuat beribadat dengan kesesatan beraqidah. Ia sebagaimana yang dirakamkan dalam sejarah Khawarij sepanjang keberadaan mereka. Sementelahan Rasulullah SAW sendiri telah memberi amaran kepada kita agar tidak tertipu dengan golongan yang kuat beribadat tetapi memperlecehkan ibadat orang lain. Sifat-sifat golongan ini telah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis Zu al-Khuwaisirah. Abi Sa’id al-Khudri berkata: Ketika kami bersama Rasulullah SAW sedang Baginda membahagi-bahagikan beberapa pembahagian. Datanglah kepada Baginda, Zu al-Khuwaisirah dari Bani Tamim lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ اعْدِلْ، فَقَالَ: «وَيْلَكَ، وَمَنْ يَعْدِلُ إِذَا لَمْ أَعْدِلْ، قَدْ خِبْتَ وَخَسِرْتَ إِنْ لَمْ أَكُنْ أَعْدِلُ». فَقَالَ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ائْذَنْ لِي فِيهِ فَأَضْرِبَ عُنُقَهُ؟ فَقَالَ: «دَعْهُ، فَإِنَّ لَهُ أَصْحَابًا يَحْقِرُ أَحَدُكُمْ صَلاَتَهُ مَعَ صَلاَتِهِمْ، وَصِيَامَهُ مَعَ صِيَامِهِمْ، يَقْرَءُونَ القُرْآنَ لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الدِّينِ كَمَا يَمْرُقُ السَّهْمُ مِنَ الرَّمِيَّةِ

Maksudnya:  “Wahai Rasulullah berlaku adillah!” Baginda SAW bersabda: “Celakalah engkau! Siapakah yang akan berlaku adil jika aku tidak adil, sungguh merugilah engkau jika aku tidak berlaku adil.” Maka Umar al-Khattab berkata: “Wahai Rasulullah! Izinkan aku untuk memenggal lehernya.” Baginda bersabda: “Biarkan dia, kerana dia mempunyai teman-teman yang salah seorang antara kamu akan diremehkan solatnya jika dibandingkan dengan solat mereka, dan puasanya jika dibandingkan dengan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran tetapi tidak melebihi kerongkong mereka, mereka terlepas dari Islam sebagaimana terlepasnya anak panah dari busurnya.

Riwayat al-Bukhari (3610)

Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata: “(Golongan Khawarij) itu dahulu digelar al-Qurra’ disebabkan oleh kerajinan mereka dalam membaca al-Qur’an dan beribadah. Kecuali mereka mentakwilkan al-Qur’an dengan apa yang tidak dimaksudkan dengannya. Taksub dengan pemikiran mereka dan berlebih-lebihan dalam zuhud, khusyuk dan selainnya.” (Lihat Fath al-Bari, 12/283)

Selain itu, mendakwa keterlibatan seseorang dalam “jihad” atau meletup diri itu sebagai dalil atas kebenaran manhaj juga adalah tersasar. Ini kerana, kelompok Khawarij sememangnya terkenal sebagai kelompok yang berani dan tegar dalam berperang. Lihat bagaimana hampir kesemua mereka terkorban dalam perang Nahrawan[2] menentang tentera Khalifah ‘Ali sehingga tiada yang tinggal kecuali sepuluh orang. (Lihat Ansab al-Asyraf, 2/374)

Walau bagaimanapun, menjadikan keberanian berperang semata-mata sebagai bukti kebenaran adalah tidak tepat. Jika itu dijadikan hujah, sudah tentu peperangan yang melibatkan penganut agama lain demi mempertahankan pegangan agama mereka juga akan dianggap benar. Sedangkan perjuangan mereka itu tidak memberi apa-apa nilai di sisi Allah SWT. Oleh yang demikian, kekuatan, keberanian dan pengorbanan seseorang tidak semestinya menjadi petunjuk bahawa aqidah dan amalannya diterima oleh Allah SWT.

 

Ketiga: Tidak boleh sekadar menerima slogan-slogan yang dilaungkan oleh pihak yang berkenaan untuk mengatakan mereka di atas manhaj yang benar. Antaranya dakwaan mereka berjuang demi menentang Syiah, memerangi taghut[3], menegakkan Khilafah Islam dan sebagainya. Semua ini tidak semestinya menjamin kesucian pegangan mereka. Lebih-lebih lagi Rasulullah SAW berpesan agar kita sentiasa berjaga-jaga dengan mereka yang pandai bermain kata-kata tetapi munafiq. Sabda Baginda SAW:

إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَى أُمَّتِي كُلُّ مُنَافِقٍ عَلِيمِ اللِّسَانِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setakut-takut apa yang aku takuti ke atas umatku adalah setiap munafiq yang pandai berkata-kata.”

Riwayat Ahmad (143), Ibn Hibban (80), al-Tabarani dalam al-Kabir
(18/227) dan al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman (1641)

Al-Munawi dalam mensyarahkan makna “عَلِيمِ اللِّسَانِ”, berkata: Mereka yang petah berbicara memberi maksud mereka yang mengetahui dan alim serta bijak dalam berbicara pada hujung lidah tetapi hatinya penuh kejahilan, rosak akidahnya, dan mampu memperdayakan manusia dengan lidahnya tersebut. Ini menyebabkan mereka dapat mempengaruhi manusia dan mengumpul pengikut yang ramai sedangkan mereka telah tergelincir. (Lihat Faidh al-Qadir, 1/221)

Dalam hadith lain, Baginda SAW menjelaskan mengenai keadaan akhir zaman yang akan menyaksikan kemunculan golongan pendusta. Ia berdasarkan sabda Baginda SAW:

سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ» ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: «الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang benar dikatakan pendusta, pengkhianat dikatakan amanah sedangkan orang yang amanah dikatakan sebagai pengkhianat. Pada ketika itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?” Baginda menjawab, “Orang taaffah (bodoh, akal pendek, lalai, celaru) yang turut campur dalam urusan manusia.

Riwayat Ibn Majah (4036)

Para ulama’ telah menafsirkan beberapa makna bagi al-Ruwaibidhah, antaranya ialah:

Dalam hadis lain, Baginda SAW bersabda:

سَيَكُونُ فِي أُمَّتِي اخْتِلَافٌ وَفُرْقَةٌ، قَوْمٌ يُحْسِنُونَ الْقِيلَ، وَيُسِيئُونَ الْفِعْلَ، يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ لَا يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ"

Maksudnya: “Akan ada di kalangan umatku perselisihan dan perpecahan. Iaitu satu kaum yang bagus dalam perkataannya, namun jelek dan keji dalam perbuatannya. Mereka membaca al-Qur’an namun tidak melewati tenggorok mereka.”

Riwayat Ahmad (13338)

 Al-Sindi mengatakan, golongan Khawarij gemar menggunakan slogan-slogan yang biasa digunakan oleh orang ramai seperti, “Tiada hukum kecuali hukum Allah” (لا حكم إلا الله) dan seumpamanya, “Kembali kepada Kitabullah.” (Lihat Hasyiyah al-Sindi ‘ala Sunan al-Nasa’i, 1/72)

Ini yang berlaku kepada Khawarij pada zaman Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A. Mereka berjanji untuk berhukum dengan al-Qur’an, menuntut kebenaran dan mengingkari kezaliman, berjihad menentang golongan zalim, tidak tunduk kepada dunia, memerintah kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, kemudian mereka jualah yang mengkafirkan dan memerangi sekalian para sahabat.

 

Keempat: Dakwaan yang mengatakan bahawa golongan tersebut berakhlak sesama muslim juga boleh dipertikaikan. Ia benar, kerana didapati wujud individu-individu dalam kumpulan sedemikian yang bersikap sombong, takbur dan merendah-rendahkan orang yang tidak sealiran dengan mereka. Bahkan sekiranya berakhlak baik menjadi hujah kebenaran manhaj mereka, maka sudah tentu orang kafir yang berakhlak baik juga boleh dikatakan beraqidah benar. Hal ini tertolak sama sekali. Disebabkan itu, berakhlak mulia bukan semestinya hanya ada pada Khawarij tetap juga golongan lain yang aqidahnya mungkin tertolak sama sekali seperti penganut agama lain. Justeru, kesahihan sesuatu amalan itu tertakluk kepada dua syarat. Pertama, niat yang ikhlas kerana Allah SWT. Kedua, mengikuti syariat yang ditetapkan.

Fudhail bin ’Iyadh mentafsirkan firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 2 ” لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا” (Untuk Dia menguji kamu siapa dalam kalangan kamu yang terbaik amalannya), dengan mengatakan ia bermaksud amalan yang paling ikhlas dan paling benar. Bila ditanya kepadanya apakah maksud yang paling ikhlas dan paling benar? Beliau menjawab: Sesuatu amalan jika ia ikhlas tetapi tidak benar maka ia tertolak. Jika benar tetapi tidak ikhlas ia juga tertolak. Sehinggalah sesuatu amalan itu ikhlas dan benar. Ikhlas hendaklah kerana Allah dan benar hendaklah dengan mengikut syariat. (Lihat Hilyah al-Awliya’, 8/95)

 

Kesimpulan

Berdasarkan pembentangan di atas, dapat difahami bahawa kekuatan beribadat dan keberanian berperang semata-mata tidak boleh menjadi ukuran terhadap manhaj yang diperjuang. Perkhabaran Rasulullah SAW dan rakaman sejarah membuktikan ia sifat yang wujud pada golongan Khawarij. Mereka terkenal sebagai ahli ibadat yang kuat dan tegar memerangi musuh, namun mereka terjebak dalam memerangi dan menghalalkan darah umat Islam secara membuta tuli. Sekaligus menunjukkan ia tidak boleh menjadi petunjuk terhadap kesahihan pegangan, malah ia jelas suatu penyimpangan pemikiran hasil daripada sikap ekstrem dan melampau. Akhirnya moga Allah SWT mengurniakan taufiq dan hidayah-Nya agar kita diselamatkan daripada sebarang salah faham terhadap agama yang suci ini. Wallahu a’lam.    

 

Artikel Berkaitan:

Tashih al-Mafahim #8: Masih Wujudkah Khawarij? 

 

Nota Hujung:

[1] Secara umum, ajaran utama golongan Khawarij adalah:

Amalan mengkafirkan orang Islam lain ini dipanggil takfir. Mengikut tafsiran konvensional, hukum bagi mereka yang menjadi kafir (murtad) adalah bunuh. Melalui tafsiran inilah golongan Khawarij menghalalkan darah Ali dan Muawiyah untuk dibunuh. Pada zaman moden ini, terdapat kumpulan ekstrimis Islam yang menggunapakai hukum takfir untuk membunuh mereka yang tidak berdosa termasuk orang Islam.

[2] Perang ini meletus setelah perang Siffin. Peristiwa Hakamiyah yang berlaku pada bulan Safar tahun 38 H merupakan peristiwa yang melatarbelakangi peperangan ini.

Perang Nahrawan meninggalkan luka yang sangat dalam di hati orang-orang Khawarij. Daripada seribu tentera pasukan yang mereka miliki, tidak ada yang berbaki kecuali hanya sekitar 10 orang yang lari dari medan perang. Sementara dari pihak Khalifah Ali R.A, yang terkorban sekitar 12 orang. (Lihat Ali ibn Abi Talib, oleh al-Salabi, 2/351-356)

[3] Thaghut (طاغوت) berasal dari asal perkataan “thagha” (طغى) ertinya melampaui dan naik dari batasan yang dihad, diterima dan sikap seimbang. Al-Raghib al-Isfahani berkata, melampaui batas dalam kemaksiatan. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 520)