"Pentingnya Nikmat Bersyukur" - Sinar Harian - Jumaat 27/7/2018

 

 

SHAH ALAM - Penghayatan Surah An-Naml sebagai tema dalam Malaysia #QuranHour yang akan diadakan 30 Ogos ini mampu menyemarakkan rasa syukur dalam kalangan rakyat.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, ia bertepatan dengan doa Nabi Sulaiman yang turut terkandung dalam surah tersebut memberikan gambaran sifat syukur yang patut ada bagi memastikan setiap umat Islam tergolong dalam kalangan orang beriman.  

 

“Doa tersebut berdasarkan kisah dalam surah An-Naml, bagaimana semut yang telah mengarahkan rakyat jelatanya masuk ke dalam lubang kerana dibimbangi dipijak oleh tentera Nabi Sulaiman.

“Ia menyebabkan Nabi Sulaiman suka dan ketawa lalu berdoa agar ALLAH memberikannya sifat beryukur supaya dapat beramal dengan amalan soleh yang diredhai ALLAH dan supaya tergolong dalam rahmat bersama orang yang soleh,” katanya.

Surah An-Naml adalah surah pilihan yang akan ditadabbur pada Malaysia #QuranHour yang akan berlangsung pada 30 Ogos ini, bermula jam 10.30 pagi hingga 1 petang di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Mengulas lanjut, kata Zulkifli , doa yang dipanjatkan Nabi Sulaiman itu menunjukkan di saat berada di persada kejayaan, Nabi Sulaiman masih lagi menganggap apa yang diperolehnya perlu disyukuri bagi mengelakkan menjadi kufur kepada ALLAH.

“Sifat syukur adalah sifat kemuncak kehambaan kepada ALLAH. Justeru dalam hal ini , amat perlu kita zahirkan rasa kesyukuran dan rasa penghambaan dengan mengabdikan diri kepada ALLAH.

“Atas sebab apa kita perlu bersyukur? Kerana dengan nikmat yang banyak seperti keluarga dan kehidupan. Kita juga perlu bersyukur kerana kita dalam golongan orang yang mampu beribadah kepada ALLAH. Tidak lupa kita minta kepada ALLAH supaya masukkan kita dalam golongan hamba yang soleh.

“Benarlah kata Nabi Sulaiman, semua kurniaan ALLAH ini untuk menguji sama ada kita bersyukur atau kufur,” katanya.

Jelasnya lagi, apabila selalu bersyukur, seseorang itu akan sentiasa terpimpin, berada dalam golongan yang baik.

“Dengan cara sebegini, diharapkan dapat tebarkan kepada masyarakat, mengambil semangat doa Nabi Sulaiman supaya mensyukuri nikmat ALLAH, dapat membina keluarga yang baik sekali gus merealisasikan rumahku syurga ku.

“Selain itu, sifat syukur ini juga dapat merealisasikan hasrat melahirkan negara yang baik dan mendapat keampunan ALLAH sekiranya dihayati,” katanya.

Justeru, Zulkifli mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyertai Malaysia #QuranHour 30 Ogos ini.

“Marilah sama-sama kita mentadabbur al-Quran agar dapat menyemai rasa sayang, cinta kepada al-Quran kerana al-Quran merupakan pedoman kepada kita sebagai manusia di bumi ALLAH ini,” katanya.