BAYAN LINNAS SIRI KE-37: ISU PELARIAN SYRIA… SEMOGA ALLAH GANJARI PAHALA

Mukadimah

Alhamdulillah kami rafa’kan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT dengan izin-Nya, dapat diteruskan lagi penerbitan Bayan Linnas di mana ia bersifat mengupas isu semasa dan pada saat yang sama memberi kefahaman kepada khalayak masyarakat berkenaan dengan isu yang dibincangkan.

Baru-baru ini YAB Perdana Menteri Malaysia Dato’ Sri  Mohd. Najib Bin Tun Haji Abdul Razak telah memberi ucapan yang menunjukkan kesungguhan dan perihatin Malaysia terhadap pelarian Syria. Justeru, tajuk Bayan Linnas pada kali ini, ‘Isu Pelarian Syria... Semoga Allah Ganjari Pahala’ kami angkat untuk diteliti dengan lebih mendalam lagi. Semoga mauqif dan sikap seperti ini sentiasa menjadi agenda utama negara dalam meringankan beban mereka yang berada dalam kesempitan hidup.

 

Syria & Konflik

Bermula pada Mac 2011, peristiwa berdarah yang menimpa warga Syria berlarutan hingga hampir menuju ke penghujung 2015. Bayangkan betapa lamanya mereka mengalami penderitaan dalam hidup. Jumlah dan angka setepatnya tidak diketahui namun sehingga kini:

 

Jumlah ini kian meningkat dari semasa ke semasa. Krisis ini seolah-olah tiada kesudahannya. Bahkan kini, keadaan menjadi lebih teruk dengan campur tangan dari pihak luar dan tidak dilupakan juga ancaman dari pihak ISIS/ISIL.

 

Kenyataan YAB Perdana Menteri[1]

Memetik ucapan YAB Perdana Menteri yang berucap ketika di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York baru-baru ini, YAB Dato’ Sri menyatakan kesudian pihak kerajaan Malaysia untuk menerima 3000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.

Perdana Menteri berkata negara-negara Islam sebahagiannya bertanggungjawab memastikan kesejahteraan orang Syria yang terpinggir melarikan diri dari negara mereka dengan jumlah yang besar sehingga mengakibatkan tekanan ekonomi dan sosial di Eropah. Antara lainnya, beliau menyebut:

"Sebab itu Malaysia selama ini telah mengambil banyak orang yang melarikan diri daripada peperangan, kebuluran dan penganiayaan. Kini kami mempunyai ratusan ribu migran dan kami mengambil lebih ramai awal tahun ini apabila terdapat krisis kemanusiaan di Laut Andaman."

Pengumuman oleh Perdana Menteri berhubung kesediaan untuk menerima pelarian Syria itu disambut tepukan gemuruh audien. Adalah dilaporkan sejak empat tahun lepas, kira-kira empat juta pelarian Syira telah melarikan diri ke negara-negara jiran dan bergelumang dalam kancah kemiskinan. Tambah beliau, penyelesaian antarabangsa yang baharu diperlukan bagi menangani krisis migrasi.

"Hanya apabila kita melangkaui batas bangsa dan anutan, hanya apabila kita melihat gambar-gambar migran yang terdesak, mangsa ekstremis dan mereka yang hidup diselubungi kebuluran dan kemiskinan - dan melihat mereka bukan sebagai orang asing tetapi sebagai saudara kita. Apabila kita melihat gambar memilukan jasad Aylan Kurdi berusia tiga tahun yang terdampar di pantai dan merasakan seolah-olah anak kita sendiri dalam wajah kanak-kanak lelaki tidak berdosa itu maka kita akan bertindak untuk berbuat lebih baik. Orang di seluruh dunia merayu bantuan kita. Kita tidak boleh membiarkannya sahaja."

Demikian memetik ucapan Perdana Menteri kita, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib dan ini jelas menunjukkan akan keterbukaan kerajaan Malaysia dalam membantu mengurangkan bebanan pelarian Syria.

 

Amanat & Resolusi Muktamar Syria[2]

Kami terpanggil untuk menyiarkan sebuah resolusi hasil persidangan para ulama berkenaan dengan isu Syria yang perlu ditangani bersama sama ada pada peringkat negara, pimpinan, ulama serta umat Islam sejagat.

Dalam suasana dialog bagi membina rasa kebertanggungjawaban sebagai umat yang satu, telah dirumuskan di dalam muktamar ini perkara-perkara berikut dan ingin kami nyatakan sebahagian daripada resolusi tersebut:

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kesanggupan kerajaan Malaysia untuk menerima 3000 orang pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun ini menunjukkan satu sikap yang mulia dengan mengambil peduli terhadap krisis yang menimpa saudara seagama kita di Syria. Konflik yang berlaku di Syria yang telah banyak mengorbankan nyawa di samping menjadikan sebahagian besar dari mereka pelarian haruslah ditangani dengan sebaiknya. Selaku negara Islam, selayaknya kita menghulurkan bantuan dan bukannya membiarkan konflik ini berpanjangan tanpa ada resolusinya. Selain itu, beberapa cadangan lain juga boleh diketengahkan, antaranya:

 

Amat wajar diberikan keutamaan kepada rakyat Syria yang sedang dan sudah berada di Malaysia kerana mereka memerlukan sokongan dan dorongan dari kita sebagai rakyat Malaysia.

Saya juga memikirkan keterlibatan NGO dan badan-badan berkanun serta orang perseorangan yang mampu untuk tampil kehadapan memberikan bantuan serta mewujudkan pasukan penyelaras agar proses perolehan bantuan berada dalam keadaan teratur dan tertib.

Seluruh dunia bersepakat wajib mempertahan dan membela hak asasi manusia yang juga menyentuh hak majoriti dan hak minoriti seperti mana dalam Universal Declaration of Human Rights (United Nations) di Paris pada tahun 1948 dan Cairo Declaration on Human Rights in Islam (OIC) pada tahun 1990.

Walaupun kedua-dua deklarasi ini ada perbezaan teras tertentu, tetapi semua negara-negara yang menandatanganinya telah bersetuju bahawa tiada lagi mana-mana pihak yang boleh dizalimi, tidak boleh dinafikan haknya sebagai manusia, bahkan ada yang berfikir lebih melampau sehingga mempertahankan hak binatang lebih daripada hak manusia.

Tetapi semuanya ini tidak diambil peduli apabila menangani isu besar dan mendesak yang menyentuh hak rakyat Syria, kerana pihak yang menjuarai hak asasi ini sibuk menjaga kepentingan negara masing-masing dan mempertahankan hak keselamatan negara haram Israel, sama ada secara sedar atau tidak sedar. Begitulah rupanya apabila pengaruh Zionis dan agendanya masuk ke dalam kepala para pemimpin negara Arab dan pemimpin negara umat Islam.

Dengan kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia untuk menerima penduduk Syria. Kami merasakan ianya satu usaha yang amat murni dan perlu disokong kerana isu Syria merupakan krisis kemanusiaan hidup atau mati yang bergenang dengan air mata, trauma, kebuluran, kesengsaraan, kekejaman dan penderitaan. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu. Malaysia yang sanggup memberikan perlindungan mengingatkan saya kepada firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا (8) إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لَا نُرِيدُ مِنكُمْ جَزَاءً وَلَا شُكُورًا (9) إِنَّا نَخَافُ مِن رَّبِّنَا يَوْمًا عَبُوسًا قَمْطَرِيرًا (10)

Maksudnya: Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,[9](Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih, [10]"Kami sebenarnya takutkan Tuhan kami, takut Ia kenakan kami azab hari yang padanya muka orang-orang yang bersalah: masam berkerut-kerut".  (Al-Insaan: 8-10)

Al-Imam Ibn Kathir[3] mengatakan bahawa mereka memberi makan kepada orang miskin, anak yatim serta orang tawanan dengan hanya mengharapkan keredhaan dari Allah SWT. Mereka tidak mengharapkan balasan serta ucapan terima kasih dari manusia. Bahkan perbuatan mereka itu tidak lain dan tidak bukan untuk mengharapkan rahmat dan kelembutan Allah di mana nanti pada hari kiamat hari di mana kesempitannya berpanjangan. [Tafsir al-Quran al-‘Azim. Dar al-Taybah, 2/289]

Lantas dalam ayat yang ke-11 dan yang ke-12, Allah SWT mengganjari mereka serta kurniakan permeliharaan buat mereka dan juga syurga beserta persalinan dari sutera Firman Allah SWT:

 (12) فَوَقَاهُمُ اللَّهُ شَرَّ ذَٰلِكَ الْيَوْمِ وَلَقَّاهُمْ نَضْرَةً وَسُرُورًا (11) وَجَزَاهُم بِمَا صَبَرُوا جَنَّةً وَحَرِيرًا 

Maksudnya: Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka dari kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka), dan perasaan ria gembira (di hati). [12] Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan laranganNya), mereka dibalas oleh Allah dengan Syurga dan (persalinan dari) sutera. (Al-Insaan: 11-12)

Kami nyatakan di sini bahawa amat penting untuk diberi perihatin dan bantuan dengan bersungguh-sungguh kerana ianya termasuk di dalam amal kebaikan dan kebajikan. Ini sesuai dengan perintah Allah SWT dalam firman-Nya:

 

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ 

 

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya). (Al-Maidah: 2)

Begitu juga keyakinan kita kepada Allah SWT yang mana kita meyakini bahawa Allah SWT pasti akan membantu kita tatkala kita membantu saudara-saudara kita yang lain. Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ[4]

Maksudnya: “Dan Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama mana hamba-Nya itu menolong saudaranya”

 

Semoga Alllah SWT memberkati usaha pemimpin Malaysia yang bermurah hati untuk memberi layanan kepada pelarian Syria. Begitu juga dengan badan-badan berkanun, NGO dan rakyat Malaysia. Jazakumullah Khairan Jaza’.

 

Penutup

Hakikatnya, para ulama begitu sedih dengan apa yang berlaku di Syria sekarang ini. Rasulullah SAW telah bersabda:

مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ[5]

Maksudnya: “Siapa yang tidak perihatin terhadap urusan orang Islam, maka ia bukan dari kalangan mereka..”

Kami teringat kepada kisah seorang wanita yang dimalukan oleh orang kafir yang akhirnya seorang lelaki membunuh dan menyebabkan dia dibunuh. Hal ini dilihat oleh seorang lelaki tua yang akhirnya menghadap Khalifah al-Mu’tasim sehingga khalifah menyerang negeri tersebut.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi[6] menyatakan: “Kita lihat pahlawan-pahlawan Muslim pada masa sekarang mulai daripada Ibn Abdul Wahab, al-Mahdi, Khairuddin al-Tunisi, al-Amir al-Qadir, Jamaluddin al-Afghani sehingga al-Kawakibi, Muhammad Abduh, Amir Syakib Arsalan, Rasyid Reda, Hasan al-Banna di Mesir, Ibn Badis dan sahabat-sahabatnya di Algeria, Alal al-Fasi di Maghribi, al-Maududi di Pakistan dan sebagainya. Mereka sepakat bahawa syariat Islam merangkumi akidah dan syariat, dakwah dan daulah, serta agama dan politik. Mereka merasakan pahit dan kejamnya politik, bahkan mereka menjadi mangsa korban kekerasan kerana mempertahankan konsep ini.

Bahkan beliau turut menyebut bahawa sepanjang sejarah, umat Islam tidak mengenali adanya pemisahan antara agama dan dunia, agama dan politik atau agama dan negara seperti sekarang ini. Dahulu, Rasulullah SAW adalah pemegang tampuk kekuasaan sama ada agama atau dunia.

Kebebasan yang diberikan melalui amalan demokrasi wajib dimanfaatkan dalam segala lapangan kehidupan. Dengan memanfaatkan demokrasi hari ini, sekurang-kurangnya mampu menyelamatkan akidah umat Islam daripada menganut ajaran-ajaran sesat dan penyelewengan akidah yang mengancam umat Islam. Seterusnya mereka dapat memperjuangkan pelaksanaan syariat Allah SWT di Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen yang merupakan medan menggubal undang-undang dan gelanggang yang diiktiraf bagi membentuk sesebuah negara. Termasuk juga di forum-forum utama dan pentas antarabangsa seperti di PBB, OIC dan lain-lain.

Dinyatakan di sini, kelebihan bersedekah pada jalan Allah SWT, antaranya adalah:

 

Cukuplah dengan firman Allah SWT:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya. (Al-Baqarah: 261)

Kami mengajak umat Islam untuk melihat sejarah betapa gemilangnya umat Islam pada zaman dahulu tatkala mereka berpegang dengan ajaran Islam. Persaudaraan mereka merentasi sempadan geografi, ras, bangsa, warna kulit dan juga bahasa. Mereka berpayung di bawah kalimah tauhid dan bersatu hati dalam menegakkan syiar agama Allah dan mengasihi sesama Islam.

 

Akhukum fillah,

  1. S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

12 Oktober 2015 bersamaan 28 Zul Hijjah 1436

 

[1] Teks penuh kenyataan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd. Najib pada debat umum sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) boleh didapati melalui Bernama News. Lihat: http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1175947

[2] Muktamar ini berlangsung di Istanbul pada 1-3 Julai 2012.

[3] Al-Imam Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Kathir al-Dimasyqi. Antara gelaran yang telah diberikan kepadanya adalah al-Hafiz (gelaran khas bagi mereka yang mempunyai pengetahuan luas dan mendalam di dalam ilmu hadith), al-Muarrikh (ahli sejarah) dan juga al-Mufassir (ahli tafsir). Beliau juga digelar dengan gelaran ‘Imad al-Din (tiang agama) dan beliau bermazhab Syafi’e. Merupakan salah seorang dari anak murid Ibn Taimiyyah dan al-Zahabi. Wafat pada tahun 774 Hijrah dan antara karya agungnya ialah Tafsir al-Quran al-‘Azim dan juga Al-Bidayah wa Al-Nihayah.

[4]  Sahih Muslim (2699)

[5] Diriwayatkan oleh al-Imam al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsat (7473). Hadith dhoif (lemah) dan al-Tabarani sendiri yang mengisyaratkannya. Namun, makna hadith ini adalah benar.

[6] Syeikh Yusuf Al-Qaradhawi merupakan ulama’ besar dalam dunia Islam masa kini. Beliau merupakan Presiden Kesatuan Ulama’ Sedunia sekarang. Dilahirkan pada thun 1926 di sebuah perkampungan yang bernama Saft Turab. Semenjak kecil lagi Syeikh Yusuf al-Qaradhawi telah menunjukkan kecerdasannya dalam menuntut ilmu. Beliau telah menghafal keseluruhan al-Quran ketika umurnya 9 tahun. Beliau memperoleh pendidikan diperingkat tertinggi di Universiti Al-Azhar di mana pada tahun 1973 beliau telah memperoleh PhD dari universiti yang sama. Disertasinya yang mengkaji secara mendalam tentang zakat (Fiqh al-Zakah) telah mendapat kepujian tertinggi dan seterusnya telah dicetak dan digunakan sebagai rujukan di kebanyakan universiti Islam di dunia.

Print