BAYAN LINNAS SIRI KE-76: MONOPOLI BARANG: HUKUM & PENYELESAIAN

Alhamdulillah segala puji bagi-Nya selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, keluarga dan sahabat serta yang mengikuti jejak langkah hingga ke hari kesudahan.

Mutaakhir ini, kita mendengar isu sorok barangan tertentu dengan pelbagai alasan dan salah satunya supaya harga barang akan melambung tinggi. Antara barangan yang disorok seperti gula, minyak masak dan lain-lain yang ghalibnya menjadi keperluan utama sesebuah masyarakat. Justeru, pada ruangan Bayan Linnas kali ini kami namakannya Bayan Linnas: Monopoli Barang: Hukum & Penyelesaiannya. Semoga kita semua sentiasa hidup dalam masyarakat yang inginkan keamanan.

Pengertian Monopoli Barang dan Tujuannya

Monopoli ialah membeli barangan yang disenaraikan sebagai makanan asasi daripada pasaran, apatah lagi jika dilakukan ketika barangan tersebut amat diperlukan oleh pengguna. Barangan tersebut dihimpun dan disorok dengan tujuan menaikkan harganya berlipat kali ganda dan kemudian dijual sedikit demi sedikit dengan mengeksploitasi keperluan orang ramai.

Para ulama’ daripada semua mazhab tidak berbeza dalam mendefinisikan maksud monopoli barang (al-ihtikar). Di sini disenaraikan beberapa definisi al-ihtikar di sisi para ulama’ pelbagai mazhab.

1. Imam al-Nawawi mendefinisikan monopoli barang (al-ihtikar) sebagai: “Seseorang membeli makanan ketika harganya tinggi untuk dijualbelikan, tetapi dia tidak menjualnya pada waktu itu, malah disorokkannya agar dapat menjualkan barang dengan harga yang lebih tinggi.” (Lihat Syarah Nawawi ‘ala Muslim, 11/43)

2. Menurut Imam al-Syairazi, monopoli barang (al-ihtikar) adalah: “Seseorang membeli barang pada waktu harganya tinggi dan menahannya bagi tujuan menaikkan harganya.” (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafie, 2/64)

3. Imam al-Ghazali menyatakan bahawa monopoli barang (al-ihtikar) adalah: “Penjual barangan menyimpan barangan (kerana) menunggu harga dinaikan.” (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/24)

4. Menurut Imam al-Haskafi, monopoli barang (al-ihtikar) adalah: “Membeli makanan atau selainnya dan menahannya sehingga tinggi harganya selama 40 hari. (Lihat Majma’ al-Anhar fi Syarh Multaqa al-Abhar wa Ma’ahu al-Durr al-Muntaqa, 2/547)

5. Imam al-Babarati menyebutkan bahawa monopoli barang (al-ihtikar) adalah: “Menahan makanan dengan tujuan menunggu masa yang sesuai yang menaikkan harganya.” (Lihat al-‘Inayah Syarh al-Bidayah, 8/126)

6. Menurut Imam al-Baji, monopoli barang adalah: “Menyimpan barang yang dibeli dan meminta untung dengan turun naik harga pasaran.” (Lihat al-Muntaqa, 5/15)

Faktor-Faktor Utama Yang Menyebabkan Kenaikan Harga Barang

Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah ada menyatakan bahawa kenaikan harga tidak semuanya disebabkan ketidakadilan. Ada faktor lain yang mempengaruhinya iaitu kekuatan pasaran antara penawaran (supply) dan permintaan (demand). Berikut dinyatakan beberapa faktor yang mempengaruhi permintaan serta implikasinya terhadap harga barang:

1. Keinginan masyarakat (al-raghbah) terhadap pelbagai jenis barang yang berbeza dan sentiasa berubah-ubah. Perubahan ini sesuai dengan keadaannya yang nadir atau tidak barang-barang yang diminta. Semakin sedikit jumlah suatu barang yang tersedia, semakin diminati barang tersebut oleh masyarakat.

2. Jumlah para peminat (al-tullah) terhadap suatu barang. Jika jumlah masyarakat yang menginginkan barang tersebut semakin banyak, harga barang tersebut akan semakin meningkat, dan begitu pula sebaliknya.

3. Lemah atau kuatnya permintaan terhadap sesuatu barang dan besar atau kecilnya ukuran permintaan. Apabila permintaan besar, harga akan naik. Sebaliknya, jika permintaan kecil dan lemah, harga akan turun.

4. Kualiti pembeli. Jika pembeli adalah seseorang yang kaya dan diyakini mampu membayar hutang, harga yang diberikan lebih rendah. Sebaliknya, harga yang diberikan lebih tinggi jika pembeli adalah seorang yang muflis, suka melambatkan pembayaran hutang dan tidak memandang serius akan hutangnya.

5. Jenis wang yang digunakan dalam transaksi jual beli. Harga akan lebih rendah jika pembayaran dilakukan dengan menggunakan wang yang umum dipakai (naqd raj’i) daripada wang yang jarang dipakai.

6. Tujuan transaksi yang mengkehendaki adanya kepemilikan timbal balik antara kedua belah pihak. Harga suatu barang yang telah tersedia di pasaran lebih rendah daripada harga suatu barang yang belum ada di pasaran. Begitu pula halnya harga akan lebih rendah jika pembayaran dilakukan secara tunai daripada pembayaran dilakukan secara ansuran.

7. Besar kecilnya biaya yang harus dikeluarkan oleh pengeluar atau penjual. Semakin besar biaya yang diperlukan oleh pengeluar atau penjual untuk menghasilkan atau memperoleh barang akan semakin tinggi pula harga yang diberikan, dan begitu pula sebaliknya.

Implikasi Kenaikan Harga Barang

Kenaikan harga barangan secara bertali arus bukan sahaja membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana bahkan dibimbangi akan meningkatkan lagi kadar lagi jenayah dalam masyarakat.

Kenaikan harga barang yang tidak terkawal mengakibatkan tekanan emosi dalam kalangan masyarakat kerana terhimpit dengan kenaikan kos sara hidup dan boleh mengundang kegiatan jenayah termasuk ragut, rompakan, keruntuhan rumah tangga dan masalah sosial.

Hukum Monopoli Barang

Perbuatan seperti ini adalah haram berpandukan hadith Nabi SAW:

لاَ يَحتَكِرُ إِلاَّ خَاطِئٌ
Maksudnya: “Monopoli hanya dilakukan oleh orang yang bersalah.”

Riwayat Muslim (1605)

Imam Al-Kasani menyatakan pengharaman monopoli barang adalah kerana dilihat kepada kemudaratan yang boleh berlaku kepada pihak masyarakat ramai (Lihat al-Bada’i al-Sana’i, 7/129). Jika orang ramai amat memerlukan makanan asasi tersebut atau keadaan menjadi dharurat, orang yang memonopoli tadi boleh dipaksa menjual barangan tersebut dengan harga yang munasabah. Jika dia ingkar, hakim boleh menjual barangan tersebut bagi pihaknya dan hasil jualan diserahkan kepadanya.

Perlu difahami di sini, membeli barangan keperluan asasi ini ketika musimnya dan dalam keadaan barangan tersebut masih banyak di pasaran dengan tujuan menyimpan dan menjual semula pada masa yang diperlukan, seperti mana yang diamalkan hari ini oleh kebanyakan peniaga, contohnya apabila mereka membeli keju. Atau pun kilang-kilang yang membuat beberapa bahagian makanan dan mereka menyimpan untuk mengelakkan sebarang kerosakan kepada makanan tersebut dengan tujuan supaya orang ramai boleh memperolehinya ketika diperlukan, amalan ini tidak termasuk dalam erti kata monopoli.

Sebaliknya cara perniagaan ini dibenarkan oleh syarak malah ia suatu tindakan yang baik. Mungkin tindakan ini boleh membawa kebaikan kepada rakyat dan negara. Mereka yang menyimpan hasil yang berlebihan ketika musimnya supaya mudah diperolehi pada waktu lain akan mendapat pahala. Kaedah ini amat diperlukan terutama bagi mereka yang tidak mampu menyimpan lama makanan mereka. Pada sesetengah negara, amalan ini dikenali sebagai stok makanan.

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

Kami begitu prihatin dengan isu monopoli dan menyorok barangan yang menjadi keperluan asasi seperti minyak masak dan lain-lain kerana natijah daripada perbuatan tersebut boleh mengundang pelbagai perkara negatif dan perasaan ketidaktenteraman dalam masyarakat.

Ini disebabkan barang keperluan utama mereka sudah tiada dalam pasaran untuk mereka dapatinya dengan mudah. Ingatlah bahasa yang digunakan oleh Rasulullah SAW kepada yang memonopoli sebagai khati’ iaitu satu kesalahan yang amat perlu seseorang itu menjauhkannya.

Sabda Nabi SAW:
إِنَّ التُجَّارَ يُبعَثُونَ يَومَ القِيَامَةِ فُجَّارًا ، إِلَّا مَن اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ
“Sesungguhnya para peniaga dibangkitkan pada hari Kiamat sebagai orang jahat kecuali mereka yang bertaqwa, berbuat kebaikan dan benar”.

(Riwayat al-Tirmizi, no. 1210)

Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi untuk membentuk masyarakat yang sentiasa dalam keharmonian, ketenangan dan selamat daripada sebarang bentuk kerisauan dan kebimbangan. Saya berdoa kepada Allah SWT smeoga negara kita ini sentiasa aman, harmoni, tenteram seterusnya dikurniakan keberkatan rezeki dan kemewahan yang akhirnya menatijahnya negara yang disebutkan sebagai Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Ghafur.