BAYAN LINNAS SIRI KE-141 : PERKAHWINAN KANAK-KANAK MENGIKUT PERSPEKTIF SYARIAH

 

Muqaddimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kesudahan.

Isu seorang kanak-kanak perempuan yang berusia 11 tahun berkahwin dengan seorang lelaki yang berusia 41 tahun telah mendapat liputan hangat di media massa. Menurut data yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada tahun 2016, sebanyak 6268 permohonan perkahwinan bawah umur yang diluluskan oleh mahkamah Syariah di seluruh negara dalam tempoh 2010-2015.[1] Ramai pengkaji menganggap jumlah ini adalah satu hal yang membimbangkan kerana tiada garis panduan khusus bagi Hakim Syarie untuk mempertimbangkan; sama ada menolak atau meluluskan suatu permohonan perkahwinan bawah umur ini.[2]

Ramai tokoh politik utama negara, agamawan[3], cendekiawan, tokoh undang-undang dan lain-lain juga memberi pelbagai pendapat dan hujah sama ada boleh atau tidak dan juga kewajarannya. Hal ini menjadikan seolah-olah perbahasan ini tiada titik penghujungnya. Kepada yang menyokong, maka mereka mendatangkan pelbagai hujah untuk mengharuskan bahkan mewajarkannya. Begitulah sebaliknya, ramai juga yang menentang dengan hujah dan alasan masing-masing.

Kami mengambil cakna dan prihatin berkaitan isu ini dan sedaya upaya cuba memberikan ulasan menurut perspektif Syarak dengan mengambil kira pelbagai pandangan yang dikemukakan oleh para fuqaha silam dan kontemporari, pakar-pakar perubatan, pengamal undang-undang, serta beberapa tokoh yang lain.

Ini berasaskan sebuah kaedah yang masyhur:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيء فَرْعٌ عَن تَصَوُّرِهِ

Maksudnya : Memberikan hukum ke atas sesuatu perkara adalah cabang dari proses mendapatkan gambaran yang menyeluruh terhadapnya.

Justeru kami merasa terpanggil untuk mengemukakan sebuah jawapan melalui Bayan Linnas pada kali ini yang kami tajukkan Perkahwinan Kanak-Kanak Mengikut Perspektif Syariah. Insya Allah kami cuba mengupas bukan hanya daripada perspektif fiqh yang teknikal sahaja tetapi juga cuba memahami aspek yang lebih kontekstual seperti sosiologi dan undang-undang.

Kami juga cuba membawa perbahasan isu ini agar tidak terikat kepada mana-mana kes tertentu, sebaliknya cuba memandu perbahasan agar isu ini dikupas secara ilmiah dan rasional dengan melihat pandangan syarak secara keseluruhan di samping mengambil kira soal ‘uruf, timbang tara maslahah, fiqh ma’alaat al-af’aal (implikasi perbuatan pada masa mendatang), dan selainnya.

Semoga pencerahan kali ini memberi manfaat kepada kita semua dan membuka jalan penyelesaian yang terbaik.

 

Definisi Kanak-Kanak Menurut Perspektif Islam Dan Undang-Undang Malaysia

Sebelum kami membahas isu ini dengan lebih lanjut, kami akan menghuraikan terlebih dahulu berkenaan definisi kanak-kanak yang disinonimkan dengan individu bawah umur atau di dalam bahasa arabnya disebut al-Sighaar (الصغار).

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “kanak-kanak” bermaksud budak lelaki atau perempuan yang masih kecil (biasanya yang belum berumur lebih daripada 7 atau 8 tahun).[4] Manakala istilah “remaja” pula merujuk kepada seseorang yang mulai dewasa, sudah akil baligh, dan sudah cukup umur untuk berkahwin.[5]

Manakala dalam Seksyen 2 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menyebutkan bahawa kanak-kanak adalah: Ertinya seseorang yang di bawah umur lapan belas tahun. [Rujuk Akta 611 (Akta Kanak-Kanak 2001), hlm. 16]

Daripada sudut bahasa Arab, Ibn Manzhur di dalam kitabnya Lisan al-Arab menyebut: Al-Sighar  (الصغار) dari sudut bahasa bermaksud: Kurang saiznya atau kurang umurnya maka dia adalah saghir (kecil). Ia adalah perkataan yang berlawanan dengan besar.

Manakala dari sudut istilah, ia membawa maksud: Suatu ciri yang dikaitkan dengan seorang manusia semenjak kelahirannya sehinggalah dia bermimpi (baligh). (Lihat Kasyf Al-Asrar oleh al-Bazdawi, 4/1358)

Berdasarkan definisi dan takrif yang dinyatakan di atas, jelas kepada kita bahawa terdapat perbezaan dalam memahami apakah yang dimaksudkan dengan kanak-kanak. Kadang-kadang ia difahami sebagai umur seseorang di bawah tujuh atau lapan tahun, dan terkadang di bawah paras umur lapan belas tahun. Manakala daripada sudut tradisi Islam, takrifnya lebih konsisten dengan menghubungkan keadaan aqil baligh dengan definisi kanak-kanak. Daripada perbezaan ini, kita mendapati oleh sebab itu berlaku salah faham tentang suatu standard moral bagi umur yang sesuai untuk berkahwin.

 

Hukum Perkahwinan Kanak-Kanak Mengikut Syariat

Melihat kepada nas-nas dan juga lembaran kitab-kitab Feqah yang membincangkan isu ini, kita dapati bahawa pendapat yang paling kuat dan muktamad bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah sah dengan syarat-syarat tertentu sehingga sebahagian daripada mereka menukilkan ijma’ ulama’ bahkan sejak daripada zaman Rasulullah SAW dan sahabat lagi, ada berlaku perkahwinan seperti ini.

Pendapat Yang Menyatakan Tidak Wajar Dilakukan Perkahwinan Tersebut

Sebahagian para fuqaha’ berpendapat bahawa perkahwinan kanak-kanak adalah tidak dibolehkan secara mutlak. Inilah pendapat yang dipegang oleh Ibn Syubrumah[6] dan juga Abu Bakr al-Asam[7].

Mereka berdalilkan firman Allah SWT:

وَابْتَلُوا الْيَتَامَى حَتَّى إِذَا بَلَغُوا النِّكَاحَ فَإِنْ آَنَسْتُمْ مِنْهُمْ رُشْدًا فَادْفَعُوا إِلَيْهِمْ أَمْوَالَهُمْ

Maksudnya: Dan ujilah anak-anak yatim sampai mereka mencapai usia nikah. Apabila kalian menemukan kecerdasannya maka serahkanlah harta-harta itu kepada mereka.

(Surah al-Nisa’: 6)

Berdasarkan ayat di atas, wajh al-dalalahnya adalah: Tanda tamatnya usia kanak-kanak adalah sampainya umur pernikahan. Sekiranya pernikahan kanak-kanak itu sah, nescayalah matlamat ini tidak membawa sebarang makna.

Selain itu, golongan ini juga berpendapat bahawa perkahwinan seperti ini (kanak-kanak) tidak mendatangkan sebarang faedah. Ini kerana perkahwinan bertujuan untuk mengadakan mu’asyarah (pergaulan), menghasilkan keturunan, dan juga ketenangan pada jiwa. Kesemuanya ini tidak tercapai melalui pernikahan kanak-kanak. Bahkan boleh jadi padanya mudarat yang berterusan dengan memaksa keduanya berada dalam kehidupan bersama yang berkekalan tanpa mengenalpasti adakah terdapat keserasian di antara keduanya.

Dalam kes di Malaysia, perkahwinan kanak-kanak berkait dengan norma sosial yang diterima umum. Ia termasuk tekanan untuk berkahwin daripada ibubapa sendiri seperti berlaku kehamilan bawah umur dan mengelakkan rasa malu.

Demikian juga para fuqaha yang berpegang dengan pendapat yang kedua ini dalam  mengulas berkenaan perkahwinan Rasulullah SAW dengan A’isyah R.Anha mereka menyatakan bahawa ia merupakan diantara khususiyyah[8] (ciri yang khusus) hanya pada Nabi SAW.

 

Pendapat Yang Membolehkan Perkahwinan Kanak-Kanak

Pendapat para ulama yang mengharuskan perkahwinan dengan kanak-kanak ini terbahagi kepada dua :

Pendapat pertama mempunyai justifikasi tersendiri dengan menyatakan bahawa isu ini berkait rapat dengan definisi kanak-kanak itu sendiri. Pada rasional mereka, sekiranya perkataan al-sighar itu merupakan suatu ciri yang disifatkan kepada seseorang semenjak lahir sehingga sampai ke umur baligh, maka seseorang itu tidak lagi diklasifikasikan sebagai kanak-kanak sekiranya dia telah baligh, sekalipun umurnya baru 10 tahun, 11 tahun, dan sebagainya.

Pendapat kedua pula menyatakan bahawa memang perkahwinan kanak-kanak sebelum mereka sampai ke umur baligh itu sendiri adalah dibolehkan. Namun, pandangan ini bukanlah bermakna keputusan dan tindakan itu dilakukan secara bersendirian oleh kanak-kanak itu. Bahkan ia dilakukan oleh seorang yang mempunyai hubungan paling rapat dengannya, paling bertanggungjawab ke atasnya, paling menyayanginya, paling mengetahui maslahah yang diperlukan ke atas kanak-kanak itu, iaitulah bapa mereka sendiri sebagai wali.

Inilah pendapat yang masyhur dan kami kemukakan di sini hujah-hujahnya, yang membolehkan perkahwinan dengan kanak-kanak kecil, sama ada daripada al-Quran, al-Hadith, Athar dan Ijma’. Antaranya:

Pertama: Daripada Al-Quran

Firman Allah SWT:

وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ

Maksudnya: Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang telah putus dari kedatangan haid (menopaus), jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan, dan (demikian) juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.

          (Surah al-Talaq: 4)

 

Imam Al-Qurthubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: Abu Uthman bin Salim berkata, “Ketika ‘iddah untuk kaum perempuan yang diturunkan dalam Surah al-Baqarah adalah ‘iddah untuk wanita yang dicerai suaminya dan wanita ditinggal mati suaminya, maka Ubay bin Ka’ab berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang ramai mengatakan bahawa masih ada kaum perempuan yang tentang mereka tidak disebutkan apa pun. Mereka adalah wanita yang masih kecil dan wanita yang tengah hamil. Maka turunlah: (وَاللَّائِي يَئِسْنَ...) “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus dari kedatangan haid” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Al-Qurthubi 18/162).

 

Imam Al-Syaukani berkata: (وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ) “..perempuan-perempuan yang tidak berhaid..”, yakni mereka yang masih kecil dan belum sampai pada usia haid. (Lihat Tafsir Fath al-Qadir, 7/241). Ayat ini dengan jelas menunjukkan bahawa iddah perempuan yang dicerai apabila dia masih kecil atau belum haid.

Imam Al-Baghawi berkata: “Perkataan (وَاللائِي لَمْ يَحِضْنَ), iaitu mereka yang kecil belum lagi haid. Maka iddah mereka, juga tiga bulan.” (Lihat Tafsir al-Baghawi, 8/152)

Ibn al-Arabi menyatakan: “Yang dimaksudkan dengan ayat لَمْ يَحِضْنَ ialah anak-anak kecil. Beliau berkata lagi: “Ayat ini menjadi dalil bahawa anak yang kecil ini boleh dinikahkan oleh ayahnya. Ini kerana Allah menjadikan iddah bagi orang yang tiada haid adalah selama tiga bulan. Dan tiada iddah melainkan selepas bernikah.” (Lihat Ahkam al-Quran, 7/398)

Menurut al-Jassas dalam menafsirkan ayat, وَاللائِي لَمْ يَحِضْنَ : “Maka hukum sahih talak untuk perempuan kecil yang belum didatangi haid, dan talak tersebut tidak jatuh kecuali pada pernikahan yang sahih sahaja. Ayat ini mengandungi hukum harus untuk mengahwini perempuan yang masih kecil sebagaimana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW telah mengahwini ‘Aisyah R.Anha ketika mana dia berumur enam tahun serta dikahwinkan sendiri oleh ayahnya Abu Bakar al-Siddiq R.A. khabar ini memperlihatkan kepada kita dua perkara, pertama dibolehkan serta harus untuk seorang ayah mengahwinkan anaknya yang masih kecil. Kedua tersebut tidak ada pilihan selepas mereka baligh. Rujuk Ahkam al-Quran li al-Jassas, 2/346)

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata: “Iddah perempuan yang tiada haid ada dua jenis, iaitu kecil yang tiada haid dan besar yang sudah putus haid. Allah SWT menerangkan iddah kedua-duanya melalui firman-Nya: (وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ) “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan, dan (demikian) juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid.” (Lihat Zad al-Ma’ad, 5/595)

Imam Al-Hakim dan al-Baihaqi meriwayatkan daripada sekumpulan perawi yang lain daripada Ubai Ibn Ka’ab, setelah turunnya satu ayat tentang iddah isteri beberapa orang penduduk Madinah mengatakan: “Antara iddah para isteri itu masih terdapat iddah-iddah yang tidak disebutkan di dalam al-Quran iaitu isteri yang masih kanak-kanak dan perempuan tua yang sudah berhenti haid serta perempuan-perempuan yang hamil.

Lalu, turunlah firman Allah SWT dalam surah al-Nisa yang amat pendek iaitu sebahagian ayat sahaja. Rujuk Musannaf Ibn Abi Syaibah, 17/104

Imam Al-Maraghi pula berkata: “Kalimah (وَاللائِي لَمْ يَحِضْنَ) merujuk kepada isteri-isteri yang masih kanak-kanak dan belum didatangi haid maka iddah bagi mereka adalah selama tiga bulan.” (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 14/7073. Rujuk juga Sofwah al-Tafasir, 3/87)

Demikian juga dalam Tafsir al-Munir, Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili menegaskan bahawa (وَاللائِي لَمْ يَحِضْنَ) adalah (mereka) perempuan yang belum mengalami masa haid (perempuan yang masih kecil).  (Rujuk Tafsir al-Munir, 14/653)

 

Kedua: Daripada Sunnah dan Athar

Daripada Sunnah

فَعَن عائشةَ رضي اللهُ عنهَا أَن النَّبيَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسلّمَ تَزَوَّجَهَا وَهِيَ بِنتُ سِتِّ سِنِينَ، وَأُدخِلتْ عَليهِ وَهيَ بِنتُ تِسعٍ وَمَكَثَت عِندَهُ تِسعَا.

Maksudnya: Daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW mengahwininya sedangkan beliau berusia enam tahun dan bersama dengannya ketika berusia sembilan tahun. Kemudian hidup bersama Rasulullah SAW selama sembilan tahun.

Riwayat Bukhari (4840) dan  Muslim (1422)

 

Pendapat Ulama’ Berkaitan Umur Aisyah R.Anha Ketika Mengahwini Rasulullah SAW

Antara pendapat para ulama’ dalam masalah ini adalah:

“Rasulullah SAW telah mengahwini Aisyah R.anha tiga tahun selepas kematian Khadijah R.Anha. Pada ketika itu umur Aisyah R.anha enam tahun dan Rasulullah SAW telah bersamanya ketika beliau berumur sembilan tahun”. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/161)

“Rasulullah SAW telah mengahwini Aisyah R.anha  dua tahun sebelum hijrah dan pada waktu itu Aisyah R.anha masih dara  sebagaimana yang dikatakan oleh Abu Ubaidah”. Dikatakan juga tiga tahun (sebelum hijrah). Telah berkata al-Zubair bahawa Rasulullah SAW telah mengahwini Aisyah R.anha tiga tahun selepas kematian Khadijah R.anha dan Khadijah R.anha telah wafat tiga tahun sebelum hijrah dan dikatakan empat tahun dan juga dikatakan lima tahun. Pada waktu itu, umur Aisyah R.anha  adalah enam tahun ketika Rasulullah SAW mengahwininya  dan dikatakan tujuh tahun. Di samping itu, Rasulullah SAW telah bersamanya ketika Aisyah R.anha  berumur sembilan tahun di Madinah”. Lihat Usd al-Ghabah, 7/205.

“Aisyah binti Abi Bakr al-Siddiq R.anha  telah bernikah di Makkah sebelum daripada Saudah R.anha  dan dikatakan selepas Saudah R.anha . Telah berlaku ijma’ bahawa Nabi SAW tidak bersama dengan Aisyah R.anha  melainkan di Madinah, dikatakan pada tahun berlakunya hijrah dan dikatakan juga tahun kedua hijrah pada bulan Syawal. Pada ketika itu, umurnya adalah sembilan tahun dan ketika beliau dinikahi umurnya adalah enam tahun dan dikatakan tujuh tahun”. (Lihat al-Isti’ab, 1/44)

“Rasulullah SAW menikahi Aisyah R.anha ketika Aisyah berusia 6 tahun dan Nabi SAW bersama dengan Aisyah ketika beliau berusia 9 tahun.” (Lihat Ma’rifah al-Sahabah, 3208/6)

“Nabi SAW telah mengahwini Aisyah R.anha sebelum baginda SAW berhijrah selepas kewafatan Khadijah binti Khuwailid R.anha. Ia berlaku lebih kurang sepuluh bulan sebelum hijrah dan dikatakan dua tahun (sebelum hijrah). Baginda SAW telah bersamanya pada bulan Syawal tahun kedua selepas pulang daripada peperangan Badar dan pada ketika itu umur Aisyah R.anha  sembilan tahun”. (Lihat Siyar al-A’lam al-Nubala’, 2/136)

“Telah thabit daripada hadith yang sahih bahawa Nabi SAW menikahi Aisyah RA ketika beliau berusia 6 tahun dan dikatakan juga berusia 7 tahun.” (Lihat al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/231)

 

 

 Wali Kanak-Kanak Perempuan Ialah Bapanya

 

Kanak-kanak yang kecil ini hendaklah dikahwinkan oleh ayahnya sahaja, bukan wali yang lain mengikut pendapat yang sahih di kalangan ulama’. Begitu juga, kanak-kanak tersebut tidak memiliki khiyar[10] apabila sudah baligh.

 

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah Rahimahullah berkata: “Perempuan tidak sayugia bagi seseorang mengahwininya kecuali dengan izinnya, sebagaimana Rasulullah SAW perintahkan. Jika perempuan itu enggan dan benci, maka tidak boleh dipaksa untuk perkahwinan kecuali kanak-kanak kecil, yang mana bapanya boleh mengahwinkannya tanpa izin.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 32/39)

 

Perkahwinan Nabi Muhammad SAW dengan ‘Aishah R.Anha yang masih kanak-kanak. ‘Aishah[11] R.Anha pernah berkata, “Nabi Muhammad SAW mengahwini aku pada masa aku berumur enam tahun dan Baginda bersatu dengan aku apabila aku berumur sembilan tahun.[12] Abu Bakar R.A bapanya yang menjadi wali Nabi Muhammad SAW juga mengahwinkan sepupunya (sebelah bapa) dengan anak lelaki Abu Salamah, sedangkan kedua-dua pengantin itu masih kecil.

 

Daripada Athar Sahabat

 

  1. Kisah pinangan Saidina Umar terhadap anak perempuan Saidina Ali R.A ada dinukilkan oleh Imam Ibn ‘Asakir di dalam kitabnya:

وكان عمر بن الخطاب خطب أم كلثوم إلى علي بن أبي طالب فقال علي إنها صغيرة فقال عمر زوجنيها يا أبا الحسن فإني أرصد من كرامتها ما لا يرصد أحد فقال له علي أنا أبعثها إليك فإن رضيت فقد زوجتكها

Maksudnya: Bilamana Saidina Umar bin al-Khattab ingin meminang Ummu Kalthum daripada ayahnya iaitu Saidina Ali RA. Maka Saidina Ali RA berkata: “Sesungguhnya dia masih kecil.” Maka Saidina Umar berkata kepada Saidina Ali: “Wahai Abu al-Hassan, kahwinkanlah aku dengannya, sesungguhnya pada dirinya terdapat kelebihan yang tidak terdapat pada orang lain.” Saidina Ali menambah: “Baiklah, aku akan utuskan Ummu Kulthum kepadamu dan sekiranya kamu berkenan maka aku akan menikahkannya denganmu.” (Lihat Tarikh Damsyiq, 483/19)

 

  1. Isteri Ibn Mas’ud mengahwinkan anak perempuannya yang masih kecil dengan Ibn Musayyib bin Nukhbah. Suaminya Abdullah bin Mas’ud menyetujuinya.

Terdapat beberapa lagi kisah para sahabat R.Anhum menikahkan anak perempuannya yang masih kecil sebagaimana kata Imam al-Syafie:

 

وَزَوَّجَ غَيْرُ وَاحِدٍ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - ابْنَتَهُ صَغِيرَةً

Maksudnya: “Dan telah mengahwinkan lebih daripada seorang sahabat Rasulullah SAW anak perempuannya yang masih kecil.” (Lihat al-Umm, 163/7)

 

Ketiga: Daripada Ijma’

Terdapat ramai ulama’ menaqalkan ijma’[13]. Antaranya:

 

  1. Ibn Abd al-Bar berkata: “Ijma’ para ulama’ bahawa ayah boleh mengahwinkan anak perempuannya yang kecil tanpa bertanya pendapatnya dan Rasulullah SAW telah berkahwin dengan Aisyah, anak Abu Bakar RA, sedangkan dia kecil usianya, enam tahun atau tujuh tahun yang dikahwini oleh ayahnya.” (Lihat al-Istizkar, 16/49-50)
  2. Ibn Hajar al-Asqalani berkata: “Anak dara yang kecil boleh dikahwini oleh ayahnya secara ittifaq dalam kalangan ulama’ kecuali yang asing dan pelik.” (Lihat Fath al-Bari, 9/239)

 

 

Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh (7/248-249) berkata: Jumhur fuqaha’, antaranya imam yang empat mengatakan, harus mengahwinkan kanak-kanak dengan orang yang sekufu dengannya, malah Ibn al-Munzir mengatakan ulama’ telah berijma’ mengatakan demikian.  Mereka berdalilkan dengan hujah berikut, antaranya:[14]

  1. Adanya penjelasan daripada al-Quran tentang ‘iddah kanak-kanak perempuan, iaitu selama tiga bulan seperti yang terdapat dalam firman Allah SWT:

وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ...

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka iddahnya ialah tiga bulan, dan (demikian) juga iddah perempuan-perempuan yang tidak berhaid...

(Surah al-Talaq: 4)

Dalam ayat ini, Allah SWT menetapkan ‘iddah kanak-kanak perempuan yang tiada haid dengan tiga bulan, sama seperti perempuan-perempuan yang telah putus haid. Sedangkan ‘iddah tidak mungkin ada kecuali selepas berkahwin kemudian berpisah. Dengan itu, ayat ini menunjukkan bahawa kanak-kanak perempuan itu boleh berkahwin dan bercerai dengan tiada keizinan baginya.

  1. Perintah menyuruh berkahwin dengan perempuan yang tidak mempunyai suami dalam firman Allah SWT:

وَأَنكِحُوا الْأَيَامَىٰ مِنكُمْ...

Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang bersendirian di antara kamu…”

 (Surah al-Nur: 32)

Iaitu sama ada dewasa atau kanak-kanak.

Justeru kami katakan bahawa para sahabat boleh menerima isu perkahwinan kanak-kanak yang masih kecil bahkan mereka tidak mengingkarinya.

 

Fatwa Institusi Kefatwaan dan Tokoh-Tokoh Ulama

Terdapat banyak fatwa ulama yang mengesahkan perkahwinan anak perempuan yang kecil. Antaranya:

 

Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Samahah al-Syeikh Dr. Nuh Ali Salman Al-Qudhaah Rahimahullah berkata: Akad perkahwinan yang berlaku sebelum baligh adalah sah dengan syarat ia diuruskan oleh bapa atau datuk sebagai menggantikan pihak kanak-kanak. Akan tetapi para pemerintah umat Islam boleh sahaja menghalang proses berlakunya akad kanak-kanak lelaki dan perempuan bagi menghalang mafsadah-mafsadah yang boleh terhasil dari perkahwinan tersebut. Dan wajib terikat dengan arahan pemerintah dalam isu ini. Ini kerana pemerintah apabila menghalang perkara yang harus, maka wajib ke atas rakyat untuk meninggalkannya (larangan tersebut).[15]

 

Justeru, undang-undang negara Jordan tidak membenarkan perkahwinan kanak-kanak berlaku. (Rujuk Syarah Qanun al-Ahwal al-Syakhsiyyah oleh Mahmud ‘Ali al-Sarthawi, hlm. 89)

 

  1. Dapatan kajian menunjukkan bahawa faktor perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku bukan kerana maslahah tetapi disebabkan keterlanjuran dan keinginan menutup aib atau maruah keluarga yang tercemar.
  2. Keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi menegaskan wujudnya masalah kesihatan fizikal dan mental yang dialami pada pasangan perempuan akibat perkahwinan kanak-kanak.
  1. Perkahwinan pada zaman Rasulullah SAW yang dilakukan oleh para sahabat lebih kepada menjaga kemaslahatan kanak-kanak. Ia termasuk dalam perkara harus tetapi hukumnya tertakluk kepada ketentuan Maqasid Syariah dan Kaedah Fiqhiyyah iaitu “Menjauhi Kerosakan” (Dar’al-Mafasid) serta “Mengambil Maslahat” (Jalb al-Masalih).
  2. Sehubungan itu, berasaskan nas-nas Syarak dan Kaedah-Kaedah Fiqhiyyah serta keterangan pakar-pakar kesihatan dan psikologi, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa perkahwinan kanak-kanak hanya boleh dibenarkan dengan syarat ia dilakukan semata-mata untuk memenuhi kemaslahatan kanak-kanak tersebut secara syar’ie.
  3. Muzakarah juga bersetuju memutuskan supaya pihak-pihak berkuasa berkaitan memperketatkan syarat-syarat perkahwinan kanak-kanak dan memastikan pelaksanaannya dijalankan mengikut prosedur.

 

Usia Kanak-Kanak Yang Diserahkan Kepada Suami

Kami nyatakan di sini yang maksud diserahkan kepada suami adalah diberi hak tanggungjawab kepada suami termasuklah dalam isu bersama dengan isterinya. Tetapi ia bukanlah perkara yang semestinya atau digalakkan.

 

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ فَمَا لَكُمْ عَلَيْهِنَّ مِنْ عِدَّةٍ تَعْتَدُّونَهَا ۖ فَمَتِّعُوهُنَّ وَسَرِّحُوهُنَّ سَرَاحًا جَمِيلًا

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tiadalah kamu berhak terhadap mereka mengenai sebarang idah yang kamu boleh hitungkan masanya. Oleh itu, berilah "Mut'ah" (pemberian sagu hati) kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan cara yang sebaik-baiknya.

      (Surah al-Ahzab: 49)

 

Ibn Kathir berkata: Ayat yang mulia ini mengandungi pelbagai hukum. Antaranya ialah penyebutan nikah untuk makna akad sahaja. Tidak ada satu ayat al-Quran pun yang begitu tegas dalam masalah tersebut daripada ayat ini. Mereka (para ulama’) berbeza pendapat tentang nikah, apakah secara hakiki memiliki makna akad sahaja, makna berjima’ sahaja atau bermakna keduanya, kepada tiga pendapat. Al-Quran menggunakan makna nikah pada akad dan jima’ kecuali di dalam ayat ini. Ia hanya digunakan untuk makna akad sahaja berdasarkan firman Allah SWT: (إِذَا نَكَحْتُمُ الْمُؤْمِنَاتِ ثُمَّ طَلَّقْتُمُوهُنَّ مِن قَبْلِ أَن تَمَسُّوهُنَّ) “...apabila kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan yang beriman, kemudian kamu ceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya...” Di dalamnya mengandungi dalil tentang dibolehkannya menceraikan seorang isteri sebelum mencampurinya. Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 11/187

Imam Al-Qurtubi berkata: Pada hakikatnya nikah itu adalah al-wath’u (berhubungan kelamin). Dikatakan juga bahawa aqad itu adalah nikah kerana aqad itu adalah jalan untuk menghalalkan hubungan tersebut. Dalam al-Quran tidak ditemukan makna lain untuk nikah selain aqad. Dan al-Quran menggunakan kata nikah sebagai bentuk adab dan kesopanan al-Quran dalam mengungkapkan masalah ini. Nikah adalah kinayah untuk kata-kata: al-mulamasah (saling bersentuhan), al-mumaasah (saling berhubungan) dan al-ityan (menghampiri). (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 14/203)

Berdasarkan pemahaman daripada ayat ini, kanak-kanak kecil yang dikahwini tidaklah diserahkan kepada suaminya sehingga layak dan sesuai untuk hidup bersama atau persetubuhan. Ia tidak disyaratkan baligh, tetapi mampu untuk bersama.

Perkataan ulama’ ini menolak pendapat yang menyatakan perkahwinan mestilah dapat istimta’ atau bersetubuh.

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Waktu perkahwinan kanak-kanak kecil dan bersetubuh dengannya. Jika sepakat antara suami dan wali atas sesuatu yang tidak mendatangkan kemudharatan kepada kanak-kanak. Hukumnya boleh dilakukan.

Jika berlaku konflik pada penyerahan, terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan ulama:

 

 

Perkara ini amat perlu dititikberatkan khususnya berdasarkan kajian terkini tentang fisiologi tubuh perempuan; pada waktu bilakah yang sudah boleh melakukan hubungan seksual. Penetapan ini perlu mendapat keterangan pakar khususnya berdasarkan dapatan semasa dan bukan hanya berdasarkan sangkaan wali atau suami semata-mata bagi mengelakkan mudarat kepada kehidupan seorang perempuan sama ada secara fizikal, mental dan emosi. Pendidikan tentang kesan-kesan daripada aktiviti seksual seperti mengandung dan pembahagian hari bagi pasangan poligami contohnya, wajib diajar kepada semua pihak yang terlibat.

 

Justeru kami katakan bahawa meraikan maslahat isteri yang masih kecil adalah amat penting dan mesti dititikberatkan oleh wali atau pihak berkuasa, bagi mengelakkan mudarat kepada perempuan itu.  Apa yang dilakukan oleh para sahabat salafus soleh bukanlah bersifat mutlak sehingga berlaku penganiyaan kepada kanak-kanak tetapi penuh dengan dhawabit dan juga tertib agar kelangsungan perkahwinan tersebut menghasilkan mawaddah dan rahmah. Apatahlagi sistem kekeluargaan pada zaman awal Islam, bahkan dalam komuniti Arab sendiri, hubungan kekeluargaan dan kabilah amat dititikberatkan sehinggakan sekiranya seseorang membunuh maka kabilahnya secara kolektif wajib membayarkan diyatnya melalui sistem `Aqilah. Rasulullah SAW sendiri apabila mengahwinkan Ali dengan puterinya Fatimah, mensyaratkan agar Ali tidak berkahwin dengan wanita lain bagi mengelakkan mudarat yang besar. Keadaan zaman sekarang mungkin berbeza, apabila sistem keluarga semakin tergugat dan meterialisme serta individualism menebal, kebajikan kanak-kanak perempuan yang berkahwin terlalu awal mungkin anak dipandang suku-suku, tanpa melihat dengan pandangan yang lebih holistik dan berhati-hati, mengakibatkan mudarat yang berlaku pada perempuan tersebut tidak dapat dijaga pula keluarganya.

Begitu juga kami tegaskan bahawa perkahwinan seumpama ini dengan kanak-kanak kecil bukanlah satu galakan dan tuntutan sebaliknya ia hanya bersifat keharusan sahaja jika dapat memberikan kebaikan atau maslahat.

 

Adakah Perempuan Yang Dikahwini Berhak Menolak?

Apabila wali seorang janda memaksanya berkahwin dengan seorang lelaki yang tidak disukainya maka perempuan itu berhak menolaknya walaupun wali tersebut ayah kandungnya sendiri.

 

Berdasarkan riwayat seorang wanita bernama Khansa’ binti Khadam, di mana sebelum ini suaminya Anis bin Qatadah syahid dalam peperangan Badar lalu dia dikahwinkan dengan seorang lelaki yang tidak disukainya. Ia terus menemui Rasulullah SAW dan mengadu: “Ya Rasulullah! Ayahku mengahwinkanku dengan lelaki lain sedangkan aku lebih menyukai bapa saudaraku (iaitu ipar lelakinya).” Lihat Ma’rifah al-Sahabah, 1/250.

 

Atas pengaduan itu Rasulullah SAW membatalkan perkahwinan tersebut setelah jelas bagi Baginda bahawa kehidupan Khanfasa dan anaknya lebih terjamin jika berkahwin dengan saudara lelaki suaminya yang telah meninggal dunia.

 

Imam Ibn Athir menceritakan sebuah riwayat daripada Abdul Rahman bin Yazid: Wadi’ah bin Khazam mengahwinkan gadisnya dengan seorang lelaki. Anak Wadi’ah mengadu kepada Rasulullah SAW: “Ya Rasulullah! Ayahku mengahwinkan aku dengan seorang lelaki yang tidak sesuai bagiku.” Rasulullah memanggil Wadi’ah. Setelah menjelaskan keadaan sebenarnya, Wadi’ah berkata: “Ia (anak gadisnya) aku kahwinkan dengan anak bapa saudaranya yang bersesuaian dan ia seorang lelaki yang jujur.” Rasulullah SAW bertanya: “Apakah engkau sudah meminta persetujuan anakmu?” Wadi’ah menjawab: Tidak. Lantas Rasulullah SAW membatalkan perkahwinan tersebut. Akan tetapi, jika ia menyalahgunakan haknya dalam mengahwinkan anak gadisnya, kadi boleh membatalkan perkahwinan jika masalah tersebut diadukan kepadanya. Lihat Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, 1/1105

 

Jabir RA meriwayatkan seperti berikut:

أَنَّ رَجُلاً زَوَّجَ ابْنَتَهُ وهىَ بكرٌ، منْ غيرِ أمرِهَا، فأتتْ النبي صلى الله عليه وسلم، فَفَرَقَّ بينهُمَا.

Maksudnya: Seorang ayah mengahwinkan anak gadisnya tanpa diminta persetujuannya. Gadis itu kemudian datang mengadukan perkaranya kepada Rasulullah SAW. Atas pengaduannya itu Baginda kemudian menceraikannya dari suaminya.

 

Imam Al-Baihaqi menyanggah dengan mengatakan kerana ayah itu menikahkan anak gadisnya dengan lelaki yang tidak sepadan. Jika dia menikahkan dengan lelaki yang sesuai, perkahwinan tersebut wajar berlangsung sekalipun anaknya meminta dikahwinkan dengan lelaki lain yang juga bersesuaian dengannya. Ini kerana pada asalnya seorang gadis boleh dipaksa dan tidak mempunyai kebebasan menentukan perkahwinannya sendiri kerana ayahnya lebih berpandangan jauh daripadanya.

 

Namun begitu, berdasarkan pelaksanaan undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri di Malaysia, persetujuan pengantin adalah diperlukan sebelum perkahwinan dilangsungkan. Ini sebenarnya bagi memastikan maslahat dan tujuan perkahwinan itu yakni mawaddah dan rahmah itu dapat dicapai. Perkara ini wajib diraikan oleh semua orang.

 

Pendapat Kami dan Cadangan

Kami nyatakan di sini dengan tegas pendapat dan cadangan kami dalam isu ini, antaranya:

 

Kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan

 

Hukum perkahwinan kanak-kanak hendaklah mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan di dalam sesebuah negara. Sekiranya hakim mengesahkannya, maka perkahwinan kanak-kanak yang telah menepati syarat-syarat dan rukunnya adalah sah. Namun, jika undang-undang menetapkan had umur yang tertentu bagi seseorang untuk berkahwin, maka hal ini adalah wajib dipatuhi dan mengingkarinya boleh memberikan kuasa pada hakim untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pelakunya.

Ini mengambil kira matlamat sebenar perkahwinan sepertimana yang telah dinaskan oleh Allah S.W.T melalui firman-Nya:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan di antara tanda-tanda (kebesaran-Nya) adalah Dia menciptakan isteri-isteri buat kamu daripada diri kamu sendiri, supaya kamu berasa tenang ke arahnya, dan Dia menjadikan untuk sesama kamu perasaan mawaddah (kasih sayang) dan juga rahmah (belas kasihan). Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kebesaran bagi kaum yang berfikir.

(Surah al-Rum: 21)

Sayyid Qutb berkata: Islam memandang rumah tangga sebagai tempat kediaman, keamanan dan kedamaian dan memandang kepada hubungan suami isteri sebagai hubungan kasih mesra dan menegakkan hubungan ini di atas pilihan yang bebas supaya ia dapat berlangsung di atas asas saling mengerti, saling bersimpati dan saling berkasih sayang. (Rujuk Tafsir fi Zilal al-Quran, 3/234)

 

Keluarga bahagia akan melahirkan masyarakat yang harmoni, seterusnya membentuk negara yang bersifat Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur. Oleh yang demikian, antara persoalan yang menjadi permasalahan besar kepada kehidupan manusia ialah untuk membentuk keluarga dan masyarakat yang aman bahagia, mesra dan kasih sayang seperti terakam dalam al-Quran sakinah, mawaddah dan rahmah. Oleh kerana kedudukan wanita dalam Islam itu dinilai sebagai tiang seri yang kuat dan utuh dalam sebuah rumahtangga dan juga masyarakat, maka semestinya mereka akan mendapat hak-hak yang sempurna.

 

Walaupun hukum berkahwin dengan gadis kecil adalah sah, tetapi dengan merenung maksud dan matlamat perkahwinan, maka jelas menunjukkan sewajarnya kanak-kanak yang dikahwini mestilah dalam usia yang mampu menanggung hubungan kelamin dan memahami kesan-kesan yang berlaku selepasnya seperti perceraian, mengandung, nafkah dan lain-lain. Para ulama menetapkan lebih 200 hukum yang berkait apabila suatu hubungan seksual berlaku![20] Ini kerana, istimta’ secara halal bersama pasangan merupakan matlamat perkahwinan. Maka matlamat atau maqasid ini telah diikat dengan tanggungjawab yang berat serta ilmu pengetahuan mencukupi. Justeru, melihat kepada zuruf serta adat sewajarnya tidak dibenarkan perkahwinan di bawah umur kecuali melihat kes yang tertentu sahaja. Apa yang berlaku dalam kes terpencil seperti ini, kami sifatkan sebagai yang nadir dan jarang. Maka terpakailah kaedah:

النَّادِرُ كَالْمَعْدُوْمِ

Maksudnya: “Yang jarang berlaku adalah seperti tiada.”

 

Semoga Bayan Linnas kali ini dapat merungkai polemik isu ini dalam suasana yang jelas lagi difahami berkenaan dengan hukum-hakam berteraskan Maqasid Syariah serta mengambil kira maslahah. Harapan kami agar kita semua sentiasa mendapat taufiq dan hidayah daripada-Nya dan berjalan dalam melayari bahtera kehidupan mengikut neraca syariat yang sebenar. Ameen.

 

Akhukum fillah,

S.S. DATO’ SERI DR. ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI

MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

16 Julai 2017 bersamaan 3 Zulka’edah 1439 H

 

[1] Ooi Kok Hin. Child Marriages in Malaysia: Reality, Resistance and Recourse. https://penanginstitute.org/wp-content/uploads/jml/files/issues/july_11_2017_OKH_download.pdf hlm. 6.

[2] Rafeah Saidon, et al. "Developing a New Model of Underage Marriage Governance for Muslims in Malaysia." Middle-East Journal of Scientific Research 23.4 (2015): hlm. 642.

[3] Sebahagian daripada mereka sempat mengadakan perbincangan dengan kami.

[4] http://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kanak-kanak

[5] http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=remaja

[6] Beliau ialah Abdullah bin Syubrumah, seorang qadhi yang masyhur dalam kalangan tabi’in. Dilahirkan pada tahun 72 Hijrah dan meninggal pada 144 Hijrah. (Lihat Tahzib al-Tahzib, 5/250)

[7] Abd al-Rahman bin Kisan al-Asom. Lahir pada tahun 201 Hijrah dan meninggal pada tahun 279 Hijrah. Seorang yang faqih, ahli tafsir, mutakallim dan pengikut aliran Muktazilah. Beliau seorang faqir dan sentiasa sabar dengan kehidupannya. Dikatakan orang yang solat di belakangnya di Masjid al-Basrah 80 syeikh daripada ulama' mereka.

[8] Kami tidak bersetuju menyatakan ia sebagai khususiyyah bagi Rasulullah S.A.W. Ini kerana ia juga berlaku kepada sahabat-sahabat yang lain seperti perkahwinan Ummu Kalthum dengan Saidina Umar yang mana pada ketika itu Ummu Kalthum berusia 10 tahun, dan lain-lain lagi.

[9] Antara hadith-hadith yang menceritakan berkaitan umur Aisyah R.Anha semasa berkahwin adalah:

تَزَوَّجَنِي رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ لِسِتِّ سِنِيْنَ. وَبَنَى بِيْ وَأَنَا بِنْتُ تِسْعِ سِنِيْنَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun dan baginda SAW telah bersamaku ketika umurku sembilan tahun”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 2547]

 

تَزَوَّجَنِي النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم وَأَنَا بِنْتُ سِتِّ سِنِيْنَ

Maksudnya: “Nabi SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 3605]

 

تَزَوَّجَنِي وَأَنَا بِنْتُ سَبْعٍ أَوْ سِتٍّ

Maksudnya: “Telah menikahiku (Nabi SAW) ketika umurku tujuh atau enam (tahun)”. [Riwayat Abu Daud, no. Hadith 4285] [Imam Abu Daud tidak memberi komentar terhadap hadith ini]

 

تَزَوَّجَنِي رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْه وَسَلَّمَ وَأَنَا بِنْتُ سِتٍّ، وَدَخَلَ عَلَيَّ وَأَنَا بِنْتُ تِسْعِ سِنِيْنَ، وَكُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah menikahiku ketika umurku enam tahun dan baginda SAW telah bersamaku ketika umurku sembilan tahun dan ketika itu aku masih bermain-main dengan budak perempuan yang kecil”. [Riwayat al-Nasa’ie, no. Hadith 3325][Hadith ini dinilai sahih oleh Ibn Hibban di dalam Sahih Ibn Hibban]

 

[10] Pilihan untuk menfasakhkan perkahwinan yang berlaku sewaktu kecil.

[11] Sahib al-hikayah dan al-riwayah lebih mengetahui tentang  dirinya daripada orang lain.

[12] Lihat al-Mughni (6/487); al-Mabsut oleh al-Sharkhasi (4/212); al-Bada’i' (2/240, 246); al-Qawanin al-Fiqhiyyah (hlm. 198); Mughni al-Muhtaj (3/168) dan seterusnya.

[13] Persepakatan seluruh mujtahid dari kalangan umat Nabi Muhammad SAW ke atas satu permasalahan dari isu-isu agama dan berlaku pada satu zaman dari zaman-zaman tertentu. Ijma’ menjadikan hukum qath’ie sama seperti nas al-Quran dan hadis. Inilah pendapat jumhur ulama’. (Lihat al-Mustasfa, 1/124; Syarh al-Mahalli, 2/168; Raudhah al-Nazir, 1/335; al-Ibhaj, 2/233; Syarh al-Isnawi, 2/342; al-Madkhal ila Mazhab Ahmad, 129 dan Kasyf al-Asrar, 2/971)

[14] Lihat al-Muhalla (9/560, 565).

[15] Rujuk http://aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=2415#.Wz2itdIzaM9

[16] Berdasarkan pertemuan pihak kami dengan beliau di International Conference of Fatwa di Maldives pada 8 Julai 2018

[17] Undang-undang Keluarga Islam di Negara Islam Lain:

Syria: Undang-Undang Keluarga Islam Syria tidak menggunakan pandangan Jumhur Ulama’ yang mengharuskan perkahwinan kanak-kanak, sebaliknya berpegang dengan pendapat Ibn Shubrumah yang mengatakan perkahwinan kanak-kanak adalah tidak sah. Sebaliknya Undang-undang Syria menetapkan bahawa had minima perkahwinan bagi lelaki adalah lapan belas tahun dan perempuan tujuh belas tahun. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/179, 185)

Maghribi: Undang-undang Keluarga Islam di Morocco menetapkan umur yang dibenarkan berkahwin bagi lelaki ialah lapan belas tahun dan perempuan lima belas tahun, walau bagaimanapun keizinan berkahwin boleh dipertimbangkan tertakluk kepada persetujuan penjaga (wali) dengan merayu kelulusan dari pihak mahkamah. (Lihat The Islamic law of Personal Status oleh Jamal J. Ahmad Nasir, hlm. 50)

Mesir: Had umur minima yang dibenarkan kahwin adalah lapan belas tahun bagi lelaki dan enam belas tahun bagi perempuan. Mereka yang berumur kurang dari had minima berkenaan hanya dibenarkan berkahwin dengan mendapat keizinan khas dari mahkamah melalui permohonan yang dikemukakan. (Lihat The Islamic law of Personal Status oleh Jamal J. Ahmad Nasir, hlm. 50)

Malaysia: Kesemua akta-akta keluarga Islam yang digunapakai di negeri-negeri adalah memperuntukkan bahawa umur minimum untuk akad nikah bagi lelaki ialah 18 tahun manakala bagi perempuan ialah 16 tahun. Namun begitu, perkahwinan di bawah umur tersebut boleh dilakukan sekiranya mendapat kebenaran bertulis daripada Hakim Syarie dalam hal tertentu. Seksyen 8 Akta Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan bahawa: “Tiada suatu perkahwinan boleh diakadnikahkan di bawah Akta ini jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan itu berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika Hakim Syarie telah memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.”

 

[18] Lihat Children in Islam: Their Care, Development and Protection http://www.crin.org/en/docs/Children%20and%20Islam.pdf. hlm. 6

[19] Syarat beramal dengan uruf atau adat:

Syeikh Abd al-Rahman bin Fahd al-Wad'an al-Dusiri pada 21/2/2016

[20] http://feqhweb.com/vb/t14530.html

Print