BAYAN LINNAS SIRI KE-195: HIKMAH MUSAFIR ATAU BERKELANA UNTUK MENUNAIKAN HAJI

 

BA195.PNG

 

Mukadimah

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Bersempena dengan kehadiran bulan Zulhijjah 1440/2019 kali ini, kami terdetik untuk mengulas berkenaan satu isu yang sememangnya sinonim iaitu hikmah permusafiran jemaah haji ke tanah suci Mekah. Artikel ini pernah dikeluarkan dalam ruangan majalah terbitan YADIM. Namun sebagai mengambil iktibar serta pengajaran, maka kami terbitkan kembali artikel ini dengan menambahbaik poin-poin serta isi-isi yang lebih tuntas dan terkini.

Kami memilih untuk mengambil satu atau dua ayat untuk ditafsirkan tanpa mengikut tertib atau mengikut surah. Tetapi memadai dengan hanya mengambil satu atau dua ayat. Kemudian, cuba direnung dan digali tafsirannya berdasarkan hikmah dan falsafah berkenaan ayat tersebut. Kami sengaja memuqadimahkan artikel kali ini dengan isu berkenaan musafir dalam menunaikan ibadah haji. Ini kerana, kadang-kadang kita terkhilaf dalam memahami maksud dan kehendak Ilahi, seruan dan arahan-Nya berkenaan dengan kefardhuan haji atau lainnya. Justeru itu, pada edisi bayan linnas kali kami tajukkan sebagai “Hikmah Musafir Atau Berkelana Untuk Menunaikan Haji”. Semoga ia memberi manfaat kepada semua. Amin.

Seruan Menunaikan Haji

Dalam al-Quran, Allah SWT telah berfirman:

وَأَذِّن فِي النَّاسِ بِالْحَجِّ يَأْتُوكَ رِجَالًا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٍ يَأْتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٍ

Maksudnya: "Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan Ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhan) mu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."

(Surah al-Hajj: 27)

Syeikh al-Maraghi berkata: “Allah SWT berfirman kepadanya (Ibrahim): Serulah manusia agar menunaikan ibadah haji dan ziarahi rumah yang kamu diperintahkan untuk membinanya. Nescaya mereka datang kepadamu dengan berjalan kaki ataupun berkenderaan unta walaupun menempuh perjalanan yang jauh.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 17/107)

Dalam kitab Mausu’ah al-I’jaz al-‘Ilmi fi al-Quran wa al-Sunnah, Yusuf al-Hajj Ahmad berkata: Ayat suci ini menunjukkan tanda mukjizat dan keagungan yang memberi manfaat yang cukup besar. Ini menunjukkan mukjizat al-Quran sejak 1400 tahun yang lalu bahawa bumi ini bulat. Sekiranya bumi ini mendatar ketika turunnya al-Quran, maka uslub ayatnya akan menggunakan yang jauh kerana ia menunjukkan jarak antara dua hala dalam satu pusingan. Namun, kerana bumi itu bulat dan orang yang datang ke Makkah dari pelbagai bentuk penjuru bumi, maka Allah SWT menggunakan melalui firman-Nya: “Dari segala penjuru yang dalam atau jauh.

Mekah adalah pusat bumi di alam semesta. Fakta ini memerlukan kajian selama beratus-ratus tahun untuk membuktikannya. Selain itu, Mekah merupakan paksi graviti magnetik yang boleh dipastikan dengan fenomena aneh yang pasti dirasakan oleh setiap orang yang datang ke Mekah dengan hati yang ikhlas, baik pada waktu haji, mahupun umrah. Secara naluri, ia akan merasa tertarik dengan sesuatu yang ada di sana, seperti tanah pergunungannya dan lain-lain lagi. Ini merupakan perasaan yang mendalam sudah wujud sejak awal kewujudan bumi.

Dalam kalangan perubatan mengkaji bahawa perjalanan ibadah haji merupakan cara penyucian dan ketenangan diri yang mengandungi manfaat dari segi jasmani, mahupun rohani. Tidak mungkin seseorang yang melakukan haji tidak merasai nikmat ketenteraman dan ketenangan kerana ia menjadi tetamu Allah SWT yang menguasai alam semesta ini.

Haji mengandungi unsur tekanan fizikal dan mental yang berat. Ini kerana setiap jemaah haji dituntut berjalan dengan cepat secara bergantian. Dunia kedoktoran menyatakan berjalan merupakan kaedah yang paling baik khusus untuk orang berumur kerana boleh menambah oksigen, mengurangkan kadar kolesterol dalam darah dan mengurangkan risiko penyakit jantung. Ketika di Mekah, jemaah yang lemah, sakit, mahupun yang sudah berusia akan merasa kekuatan yang luar biasa kurniaan Allah SWT. Itu semua bukanlah perkara yang aneh apabila berada di Mekah, tempat yang penuh dengan keberkatan. Sesungguhnya, segala-galanya yang berlaku itu, semuanya adalah kuasa Allah SWT yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. (Lihat Mausu’ah al-I’jaz al-‘Ilmi fi al-Quran al-Karim wa al-Sunnah al-Mutahharah, hlm. 958)

Kami nukilkan di sini kenyataan Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulum al-Din berkenaan dengan keluar musafir untuk menunaikan ibadah haji. Katanya:

Hendaklah dia menghadirkan dalam hatinya agar sampai kepada-Nya dan diterima baik oleh-Nya. Tidak perlu berbangga dengan amalan dan berjauhan dari keluarga dan harta miliknya, tetapi percaya dengan kurniaan Allah SWT dan berharap bahawa kalau pun ia tidak sampai kepada-Nya, ia akan mencapai niat sucinya dalam perjalanan. Justeru, Allah SWT akan menemuinya sebagai rombongan kepada-Nya, seperti firman Allah SWT:

وَمَن يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَن يَخْرُجْ مِن بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّـهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّـهِ ۗ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.[1]

(Surah al-Nisa’: 100)

Hikmah Haji Sama ada Individu atau Jama’ie

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu menyebut tentang faedah bagi seseorang yang menunaikan haji. Antaranya:

Hikmah Haji dan Faedah untuk Jemaah

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu menyebut tentang faedah bagi jamaah yang menunaikan haji. Antaranya:

Penutup

Sesungguhnya musafir menunaikan haji mempunyai banyak kelebihan dan terpahat dalam nostalgia seseorang sehingga ke akhir hayat sesorang sekalipun berlangsung begitu lama. Haji mengajar erti persahabatan dan pengorbanan. Ibadat haji juga membuka tembelang serta sifat sebenar seseorang sahabat terhadap sahabatnya yang lain. Haji juga menjadikan seseorang mendapat begitu banyak manfaat, faedah dan pengalaman baru takkala bertemu pelbagai jenis manusia, ragam dan tabiat masing-masing. Cukuplah firman Allah SWT berkenaan dengan tujuan haji :

لِيَشْهَدُوا مَنَافِعَ لَهُمْ وَيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ فِي أَيَّامٍ مَعْلُومَاتٍ

Maksudnya: “Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.”

(Surah al-Haj: 28)

Imam Ibn Kathir menakalkan kata-kata Ibn Abbas R.A bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah faedah adalah merangkumi di dunia dan akhirat. Adapun faedah di akhirat adalah mendapat reda daripada Allah SWT dan faedah di dunia pula adalah mereka mendapat manfaat dari kesihatan tubuh badan dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/414)

Imam al-Maraghi menafsirkan ayat ini dengan menyebut: “Agar mereka datang menyaksikan memperoleh laba dalam perdagangan dan manfaat-manfaat di akhirat seperti mengerjakan pekerjaan yang diredai oleh Allah SWT, dan memujiNya dengan segala nikmat yang dilimpahkan kepada mereka, serta rezeki yang berupa hadiah dan unta gemuk yang dihadiahkan kepada mereka pada tiga hari korban iaitu hari raya dan dua hari sesudahnya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 9/4547)

Sesungguhnya bermusafir dalam menunaikan ibadah haji mempunyai hikmah yang besar. Bagi yang merenung dan tafakkur akan hikmahnya, nescaya akan memperoleh hikmah-hikmah yang besar ini lantas menjadikan permusafiran mereka lebih bererti.

Oleh itu, sewajarnya bagi setiap jemaah haji untuk sentiasa mentajdid nawaitu semasa musafir mereka menjadi tetamu Allah yang Agung. Mudah-mudahan mereka akan beroleh haji yang mabrur dan diterima di sisi Allah SWT.

Semoga ia memberi manfaat kepada kita semua ketika melaksanakan ibadah haji dan dapat menghayati pengalaman rehlah imaniyah ini sebagai Duyuf al-Rahman.

[1] Imam Ibn Kathir berkata: Maksudnya barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan niat hijrah, lalu mati di tengah perjalanan, maka dia telah memperoleh di sisi Allah pahala orang yang berhijrah. Ini sebagaimana yang ditegaskan dalam kitab al-Sahihain dan kitab-kitab lain seperti kitab-kitab Sahih, Musnad dan Sunan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/180)

Print