Language :  
Theme Color: blue green oren
Text Size : 
A- A A+
FAQ

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami dihujani dengan persoalan yang meminta kepada kami untuk menitipkan doa. Ini kerana suasana politik semasa negara ketika ini yang amat memerlukan kepada doa dan munajat oleh semua pihak kepada Allah SWT yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. Justeru, kami titipkan beberapa doa yang sesuai dibaca oleh kita semua agar Allah SWT mengurniakan kepada kita pemimpin dan kepimpinan yang baik.

Antara doa tersebut:

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

Doa-1:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud “وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا” (dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa), menukilkan pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, al-Suddi, Qatadah dan al-Rabi’ bin Anas yang berkata: “Iaitu para pemimpin yang diteladani dalam kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/134)

Syeikh al-Maraghi pula menyebut: Mereka juga memohon agar Allah SWT menjadikan mereka sebagai pemimpin yang diteladani ketika menegakkan panji-panji agama dengan menganugerahkan ilmu yang luas serta memberinya taufik bagi mengerjakan amal soleh. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4902)

 

Doa-2:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.”

 

Doa-3:

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

 

Doa-4:

اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.”

Doa-5:

اللَّهُمَّ أَبْعِدْ عَنْهُمْ بِطَانَةَ السُّوْءِ وَالْمُفْسِدِيْنَ ، وَقَرِّبْ إِلَيْهِمْ أَهْلَ الْخَيْرِ وَالنَّاصِحِيْنَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jauhkanlah daripada mereka (para pemimpin kami) teman rapat yang jahat dan yang merosakkan. Dekatkanlah kepada mereka orang-orang yang baik dan pemberi nasihat yang baik, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.”

 

Doa-6:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا ، وَأَعِذْنَا مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk, serta lindungilah kami dari kejahatan nafsu kami.” [i]

 

Semoga dengan doa ini akan menjadikan diri kita sentiasa berpaut kepada Allah, Tuhan yang Mentadbir sekalian alam, agar kita semua sentiasa berada dalam kebaikan, keamanan dan ketakwaaan di samping Malaysia menjadi negara yang makmur dan harmoni serta kasih sayang antara rakyatnya. Begitu juga dikurniakan dengan pemimpin dan kepimpinan yang baik, berintegriti serta mampu melaksanakan tugasan dengan amanah dalam mentadbir negara. Amin.

 

Nota Hujung:

[i] Doa ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A, bahawa Nabi SAW pernah mengajar bapanya, dua kalimat yang dibaca di dalam doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan lindungilah aku dari kejahatan nafsuku.”

Riwayat al-Tirmizi (3483), al-Tabarani dalam al-Du’a (1393), al-Bazzar (3580) dan al-Baihaqi dalam al-Asma' wa al-Sifat (894)

Syeikh al-Mubarakfuri menyebut, yakni berikanlah taufik padaku kepada al-rusyd iaitu petunjuk kepada kebaikan. Dan lindungilah aku dari kejahatan nafsuku, yakni  peliharalah aku dari kejahatannya di mana ia adalah tempat tumbuhnya perkara-perkara yang keji. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/455)