AL-KAFI #1270 : HUKUM MENERIMA HADIAH DAGING, TETAPI PENERIMANYA RISAU SYUBHAH PADA DAGING TERSEBUT

 

SOALAN

Assalamualaikum, saya nak bertanya pendapat S.S. Dato’ Seri Mufti. Rakan saya ada memberikan dan menghadiahkan saya daging, tetapi saya risau daging tersebut syubhah, adakah saya boleh memakan daging tersebut?

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Berdasarkan soalan di atas, terdapat satu kaedah menyebut:

مَا غَابَ عَنَّا لا نَسْأَل عَنْهُ

Maksudnya: Perkara yang terselindung daripada kita, maka tidak perlu bertanya tentangnya.

Seorang muslim tidak perlu bertanya tentang perkara yang terlindung daripada pemerhatian mereka, seperti bagaimana ia disembelih, adakah ia memenuhi syarat, adakah ia disebut nama Allah ketika disembelih, bahkan semua maklumat yang kita tidak tahu tentang binatang yang disembelih oleh muslim yang jahil, ataupun fasiq, ataupun ahli kitab, binatang itu adalah halal dimakan.

(Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 71)

Terdapat satu hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.anha, beliau menceritakan:

أَنَّ قَوْمًا قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ قَوْمًا يَأْتُونَنَا بِاللَّحْمِ لاَ نَدْرِي أَذَكَرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ أَمْ لاَ، فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَمُّوا اللَّهَ عَلَيْهِ وَكُلُوهُ

Maksudnya:Terdapat satu kaum bertanya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya terdapat satu kaum membawakan kepada kami daging, kami tidak pasti adakah kaum itu menyebut nama Allah atau tidak (ketika menyembelih binatang itu). Maka Rasulullah SAW menjawab:

سَمُّوا اللَّهَ عَلَيْهِ وَكُلُوهُ

(Sebutlah nama Allah dan makanlah ia)”

Riwayat al-Bukhari (2057)

Imam al-Syaukani dalam syarahnya menyebut: ”Pada hadith ini menunjukkan bahawa segala perbuatan dan tindakan dikira sah dan selamat sehinggalah terdapat bukti yang menunjukkan ianya tidak sah dan batal.” (Lihat Nail al-Autar min Asrar Muntaqa al-Akhbar, 10/234)

Hadith ini juga menjadi kaedah kepada apa terselindung daripada kita, maka tidak perlu bertanya dengan terperinci mengenainya. Jikalau rakan yang memberi itu merupakan seorang muslim yang baik, maka terimalah dengan rasa syukur. Hal ini dikuatkan lagi dengan hadith yang diriwayatkan oleh Anas RA:

أَنَّ امْرَأَةً يَهُودِيَّةً أَتَتْ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشَاةٍ مَسْمُومَةٍ فَأَكَلَ مِنْهَا

Maksudnya: Seorang wanita Yahudi pernah membawakan sepotong daging kambing yang telah diracun lalu Baginda memakannya.

Riwayat Muslim (2190)

Hadith ini sekalipun akhirnya Rasulullah SAW diracun setelah memakan daging pemberian wanita Yahudi itu, masih menunjukkan bahawa bolehnya menerima hadiah makanan daripada orang bukan Islam selagi mana makanan yang diberi itu ialah makanan yang halal. Jikalau hadiah makanan daripada orang bukan Islam pun boleh diterima, apatah lagi jika yang memberikan hadiah daging itu merupakan seorang muslim yang baik.

Namun, perkara ini tidaklah menafikan keafdhalan dengan bersikap warak dalam memberi, mengambil atau menerima hadiah sesuatu makanan. Adalah afdhal makanan kita itu diperolehi daripada orang yang bertaqwa, diberi kepada orang bertaqwa dan disediakan juga oleh orang bertaqwa. Sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri RA, bahawa beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تُصَاحِبْ إِلَّا مُؤْمِنًا، وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيٌّ

Maksudnya:Janganlah bersahabat melainkan dengan orang beriman, janganlah ada orang yang memakan makanan kalian melainkan orang yang bertaqwa”

Riwayat Abu Dawud (4832), dan al-Tirmidzi (2395)

Begitu juga dengan kata ulama’:

لاَ تَأْكُل إِلاَّ طَعَام تَقِيّ وَلاَ يَأْكُلْ طَعَامَكَ إِلاَّ تَقِيّ

Maksudnya:Janganlah kamu makan melainkan makanan orang bertaqwa dan jangan seseorang makan makananmu melainkan orang bertaqwa”

(Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 2/13)

KESIMPULAN

Sebagai penutup, berdasarkan pandangan dan hujah yang dinyatakan, kami menyatakan bahawa harus untuk menerima hadiah daging serta halal untuk memakannya selagi mana ianya merupakan daging daripada binatang yang halal dan bukan daripada daging yang diharamkan seperti daging khinzir, anjing dan seumpamanya. Namun, perasaan risau dan takut syubhah terhadap daging tersebut seperti tatacara penyembelihannya atau penyediaannya merupakan sikap wara’ yang ada di dalam diri saudara.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kepada kita semua kefahaman yang tepat dalam beragama. Ameen.

Print