Kiblat

1. Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan arah kiblat?

Jawapan: Kiblat menurut bahasa adalah arah hadap dan kiblat yang dimaksudkan adalah Kaabah. Manakala menurut ilmu falak kiblat merujuk kepada arah menghadap ke Kaabah di atas glob bulatan bumi mengikut jarak yang terdekat. Para ulamak sepakat menyatakan bahawa menghadap ke kiblat merupakan salah satu daripada syarat sah solat melainkan dalam keadaan-keadaan tertentu yang dibenarkan seperti solat ketika dalam peperangan dan solat sunah dalam keadaan bermusafir. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 150 yang bermaksud :

Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haram (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya..

Berijtihad arah Kiblat adalah perlu dilakukan bagi menentukan arah Kiblat masjid, surau dan tempat-tempat yang hendak didirikan solat. Mengikut keempat-empat Mazhab iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali, menghadap Kiblat menjadi syarat sah solat. Bagi Mazhab Syafie terdapat tiga kaedah berhubung dengan syarat sah menghadap Kiblat iaitu:-

i. Bagi seseorang yang berada di dalam Masjidil Haram sama ada nampak Baitullah (Kaabah) atau tidak, wajib ia menghadap dan menghalakan dirinya ke Baitullah dengan penuh yakin. Kewajipan tersebut boleh dipastikan terlebih dahulu dengan melihat atau menyentuhnya bagi cacat penglihatan atau dengan cara lain yang boleh dipastikan, asalkan ada keyakinan. Menentukan Kiblat dengan cara ini dinamakan "Kiblat Yakin".

ii. Bagi seseorang yang jauh dari Baitullah (Kaabah) iaitu yang berada di luar Masjidil Haram dan di sekitar Tanah Suci Makkah hendaklah menghadap ke arah Masjidil Haram dengan tujuan ke arah Kaabah secara dzanni sahaja dan bergantung kepada ijtihadnya. Oleh yang demikian cara ini dinamakan "Kiblat Dzanni". Kaedah ini boleh diketahui melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk Makkah.

iii. Bagi seseorang yang berada di luar Masjidil Haram dan di luar tanah suci Makkah hendaklah menghadap ke arah tanah suci Makkah dengan tujuan menghadap Masjidil Haram atau Kaabah. Cara ini memadai untuk melaksanakan tuntutan syarak ketika mendirikan solat dan ibadat-ibadat lain.

Bagi tempat yang jauh seperti di Malaysia, ijtihad arah Kiblat boleh ditentukan melalui perhitungan falak atau astronomi dengan menggunakan peralatan yang bersesuaian seperti kompas, teodolit dan juga mata angin. Arah Kiblat juga boleh ditentukan berdasarkan kepada kedudukan matahari dan bintang. Kaedah-kaedah yang tersebut di atas digunapakai oleh umat Islam di seluruh dunia sehingga kini.

 

2. Soalan: Apakah azimuth (darjah) kiblat yang diguna pakai di Malaysia?

Jawapan: Azimuth (darjah) kiblat yang diguna pakai di Malaysia adalah di antara 291° hingga 293°.

 

3. Soalan: Bolehkah penentuan arah kiblat berpandukan piring astro?

Jawapan: Kita perlu ambil perhatian bahawa piring Astro tidak mengadap tepat ke arah kiblat. Ianya hanya boleh dijadikan panduan setelah kita membuat semakan arahnya dan dibuat pembetulan dari arah kiblat sebenar. Pengesahan arah kiblat yang dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri di masjid, surau dan premis-premis awam tidak boleh dibuat perbandingan dengan piring Astro yang berbeza-beza di setiap lokasi. Pengesahan kiblat di premis-premis tersebut menggunakan kaedah, pengiraan, peralatan dan kemahiran yang khusus.

 

4. Soalan: Bolehkah penentuan arah kiblat berpandukan aplikasi telefon pintar?

Jawapan: Aplikasi telefon pintar yang digunakan bagi penetuan arah kiblat kebiasaannya menggunakan konsep kompas. Walaubagaimanapun, cara menggunakannya perlu betul kerana alat tersebut amat sensitif dengan tarikan magnetik seperti besi, arus elektrik, alat elektronik dan sebagainya dan kegunaannya adalah untuk peribadi sahaja.

 

5. Soalan: Bolehkah menjadikan arah terbenamnya matahari sebagai ukuran untuk penentuan arah kiblat?

Jawapan: Secara umum merujuk kepada kedudukan matahari terbenam untuk tujuan penentuan arah kiblat adalah tidak tepat. Ini disebabkan arah matahari terbenam di Malaysia akan berubah-ubah dari azimuth 235° hingga 295°. Walaubagaimanapun sebagai salah satu daripada langkah berijtihad, arah matahari terbenam boleh digunakan sekiranya diketahui perbezaan sudut di antara arah matahari terbenam dengan arah kiblat. Anggaran perbezaan sudut antara arah kiblat dengan matahari terbenam bagi kegunaan di Malaysia dinyatakan secara purata dalam Jadual I seperti berikut:

Jadual I: Anggaran perbezaan sudut di antara arah Kiblat dengan matahari ketika terbenam di Malaysia

Bulan Anggaran Arab Kiblat Dan Matahari Terbenam
Januari ke kanan 45°
Februari ke kanan 40°
Mac ke kanan 25°
April ke kanan 15°
Mei ke kanan 5°
Jun ke kiri 1°
Julai ke kanan 1°
Ogos ke kanan 5°
September ke kanan 15°
Oktober ke kanan 30°
November ke kanan 40°
Disember ke kanan 45°

 

6. Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan istiwa A`dzam?

Jawapan: Kejadian matahari istiwa (rembang) di atas Kaabah berlaku dua kali setahun. Fenomena ini berlaku pada 28 Mei kira-kira jam 5.16 petang dan pada 16 Julai kira-kira jam 5.28 petang (mengikut waktu piawai Malaysia). Ketika matahari istiwa di atas Kaabah, bayang objek tegak di seluruh dunia akan membetuli arah Kiblat. Lihat Rajah 1.

Rajah 1: Kedudukan matahari di atas Kaabah yang menyebabkan bayang-bayang tegak di seluruh dunia membetuli arah Kiblat.

 

7. Soalan: Bolehkan permohonan semakan arah kiblat untuk rumah-rumah persendirian dibuat.

Jawapan: Pejabat Mufti wilayah Persekutuan mengambil tanggungjawab dalam menentukan arah kiblat bagi masjid-masjid, surau-surau, musolla dan tanah perkuburan Islam; tidak termasuk rumah-rumah persendirian. Bagi rumah-rumah persendirian, permohonan boleh dibuat kepada Persatuan Jurufalak Syarie yang ada menyediakan perkhidmatan menentukan arah kiblat rumah-rumah persendirian.

 

Print