Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MAJLIS MENGHADAP KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG

KUALA LUMPUR, 3 MAC 2021- Alhamdulillah, pada sebelah pagi 3 Mac 2021, SS Datuk Dr. Luqman Hj. Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan bersama SS Tn. Hj. Jamali Mohd Adnan,Timbalan Mufti telah diperkenan menghadap Kebawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam satu majlis di Istana Negara.

SS Datuk Mufti telah menyampaikan sembah taklimat berkaitan pengurusan hal ehwal Islam, khususnya menyentuh fungsi dan peranan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang bertunjangkan tiga niche utama iaitu kefatwaan, keilmuan dan kemasyarakatan. Lebih-lebih lagi dalam suasana pandemik COVID-19 yang semestinya memerlukan bimbingan dan rujukan berkaitan hukum syarak.

Antara lain adalah kejayaan PMWP dalam menguruskan pelantikan seramai 57 orang pegawai dan kakitangan baru yang diharapkan dapat memacu kecemerlangan PMWP sebagai institusi kefatwaan tersohor di negara ini.

Sepanjang tempoh PKP juga, PMWP turut terlibat aktif dalam penganjuan majlis keilmuan sama ada di peringkat nasional dan antarabangsa melalui seminar,webinar dalam pelbagai bidang.

Semoga kesempatan untuk menghadap Kebawah Duli Tuanku pada pagi tadi mendatangkan pelbagai manfaat kepada semua pihak khususnya umat Islam di negara ini.

Daulat Tuanku.