Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN DI PERSADA ANTARABANGSA

CAIRO, MESIR, 13 FEBRUARI 2022 - Umat Islam seluruh dunia diseru mengaplikasikan konsep keamanan dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.

Ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Kali Ke-32 bertemakan “Kontrak Kenegaraan dan Impaknya Dalam Merealisasikan Keamanan Sejagat”, Prof. Dr. Mohamed Moktar Gomaa, Menteri Waqaf Mesir, menekankan bahawa konsep kesejahteraan bukan sekadar menyejahterakan kehidupan warganegara dalam sesebuah negara, malah ia merangkumi pengertian yang lebih luas dalam dunia global seperti perjanjian persefahaman (MOU) antara negara dan hubungan diplomatik atas dasar hormat-menghormati juga berlapang dada meraikan kepelbagaian.

Asas hubungan berdasarkan prinsip kesejahteraan hidup dan keselamatan inilah yang dapat menjamin rakyat hidup dalam suasana aman sejahtera dan mengelakkan keganasan serta pertumpahan darah yang boleh meruntuhkan negara.

Persidangan Tahunan anjuran Kementerian Waqaf Mesir ini dihadiri perwakilan daripada lebih 50 negara seluruh dunia turut menghimpunkan para mufti serta tokoh pemikir dan cendekiawan. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) diwakili oleh SS Datuk Dr. Luqman Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan Mufti dan SS Tuan Haji Jamali Mohd Adnan, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, SS Datuk Dr. Luqman Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan telah dijemput mewakili Malaysia sebagai salah seorang ahli panel dalam sesi diskusi bersama tokoh-tokoh pemikir Islam. Beliau berkongsi formula dan pengalaman Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang aman dan sejahtera walaupun mempunyai rakyat berbilang kaum dan kepercayaan.

Konsep tiada paksaan dalam agama dalam konteks seruan dakwah kepada non-Muslim di samping asas saling menghormati akhirnya membawa persefahaman dan perpaduan dalam negara. Seusai pembentangan daripada beberapa perwakilan asing seperti Kazakhstan, Chad, Australia dan Amerika Syarikat, mereka turut mengambil peluang mengucapkan tahniah atas perkongsian mantap dan menarik yang disampaikan oleh SS Datuk Dr. Mufti.