Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MAJLIS TAUSIAH SYAHRI BAGI MAC 2022 DAN EXECUTIVE TALK BERKAITAN ISU MURTAD DI MALAYSIA

PUTRAJAYA, 2 MAC 2022 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menganjurkan Tausiah Syahri bagi Mac 2022 yang dirasmikan oleh Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan. Turut diselitkan juga “Executive Talk” berkaitan Isu Murtad di Malaysia yang disampaikan oleh penceramah jemputan, YBhg. Dato’ Haji Zainul Rijal bin Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia. Majlis ini dihadiri seluruh warga PMWP termasuklah warga PMWP, Cawangan Labuan secara video conference.
 
Inti pati Tausiah Syahri bagi Mac 2022 ini ialah titipan ucapan daripada YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersempena dengan penyampaian amanat dan majlis dwibulanan bersama-sama agensi di bawah JPM (Hal Ehwal Agama) yang menekankan kepada kematangan berfikir dalam setiap gerak kerja yang dilaksanakan selain sentiasa menyantuni Keluarga Malaysia berdasarkan fungsi agensi/jabatan masing-masing tanpa mengira latar belakang agama mahupun bangsa. SS Datuk Dr. Luqman mengharapkan agar PMWP merealisasikan amanat daripada YB Menteri mengikut fungsi dan bidang tugas serta melalui penganjuran program yang bersesuaian dengan kerjasama rakan strategik.
 
Sebelum mengakhiri ucapan, SS Datuk Dr. Luqman menyampaikan hasrat agar setiap bahagian dan unit pada tahun 2022 ini agar terus mengorak langkah dalam merancang dan melaksanakan program yang memberikan impak berkesan kepada institusi dan masyarakat serta menguruskan kewangan yang diperuntukkan secara bijak dan berhemah. Harapan beliau agar PMWP terus menjadi institusi fatwa yang disegani dan menjadi tempat rujukan yang dihormati.
 
Majlis diikuti dengan “Executive Talk” oleh YBhg. Dato’ Haji Zainul Rijal bin Abu Bakar berkaitan Isu Murtad di Malaysia. Antara isu yang telah ditekankan ialah penyeragaman peruntukan-peruntukan yang berkaitan isu keluar daripada Islam perlu diselaraskan bagi Negeri-Negeri di Malaysia. Selain itu, isu konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. Seterusnya, beliau juga berkongsi beberapa pengalaman semasa mengendalikan kes-kes berkaitan. Antara kesnya, pengisytiharan bukan beragama islam daripada Rosliza Ibrahim lwn Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor, kes hak penjagaan anak daripada S. Shamala-Muhammad Ridzwan Mogarajah lwn Dr. Jeyaganesh C. Mogarajah dan beberapa kes-kes yang melibatkan kekeluargaan keluar dari Islam.
 
Semoga mutiara kata yang disampaikan oleh SS Datuk Dr. Luqman dan YBhg. Dato’ Haji Zainul Rijal bin Abu Bakar melalui majlis ini dapat menambahkan lagi ilmu pengetahuan serta beroleh manfaat kepada semua.