Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN BEKERJASAMA DENGAN INSTITUT PENGAJIAN TINGGI AWAM (IPTA) DALAM PENYELIDIKAN DI BAWAH SKIM GERAN PENYELIDIKAN ‘FUNDAMENTAL RESEARCH GRANT SCHEME (FRGS)’

PUTRAJAYA, 7 APRIL 2022 – Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mencatat sejarah apabila dijemput sebagai rakan kerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah Geran Penyelidikan ‘Fundamental Research Grant Scheme (FRGS)’. Pemilihan PMWP adalah satu pengiktirafan di atas kepakaran dan pengalaman dalam bidang berkaitan.

Melalui kerjasama dengan UTM yang akan memfokuskan kajian berkaitan pembinaan model tadbir urus Syariah kepada Syarikat Kecil dan Sederhana Malaysia yang berkonsepkan teori hisbah. Pegawai Penyelidik dari Unit Buhuth PMWP, Ustaz Abdul Hakim bin Abd Rasid akan terlibat dalam pasukan penyelidikan UTM yang diketuai oleh YBhg. Dr. Haji Razli bin Ramli, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur. Ustaz Abdul Hakim merupakan graduan Sarjana Muda Pengajian Islam (Syariah), Pengkhususan dalam Muamalat dan Kewangan Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia dan pernah bertugas sebagai pembantu penyelidik di ‘International Shari’ah Research Academy for Islamic Finance (ISRA)’ sebelum menyertai PMWP.

Sementara kerjasama dengan UKM melalui penyelidikan bertajuk Tipologi Ateism di Malaysia Sebagai Pencegahan serta Kesedaran Awam. Pasukan penyelidik UKM yang diketuai oleh Dr. Wan Haslan bin Khairuddin, Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ustaz Mohd Shairawi bin Mohd Noor yang menyertai penyelidikan ini adalah pegawai penyelidik di Unit Buhuth PMWP. Beliau adalah graduan Sarjana Muda Usuluddin dan Dakwah, Universiti Al-Azhar sebelum menyambung sarjana di Kolej Universiti Islam Selangor melalui tajuk Pemikiran Liberal dan Akhlak Belia Islam di Malaysia.