Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE 571 : MAKMUM SUJUD KETIKA IMAM SEDANG QUNUT NAZILAH

IF

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Seperti yang sedia maklum, Solat Fardu berjemaah di masjid ketika  ini disertakan dengan bacaan Qunut Nazilah. Soalan saya, apakah yang perlu dilakukan sekiranya makmum terlupa untuk bersama-sama imam membaca Qunut Nazilah pada rakaat terakhir. Situasinya makmum terus sujud selepas iktidal sedangkan imam masih berdiri untuk bacaan Qunut Nazilah. Apa yang perlu dilakukan ustaz?. Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan ringkas :

Jika makmum terlupa untuk membaca Qunut Nazilah bersama imam di mana dia terus sujud selepas iktidal sedangkan imam berdiri untuk membaca Qunut Nazilah, maka dia wajib bangun kembali untuk bersama dengan imam. Ini kerana dia dikira telah mendahului imam. Jika dia tidak bangun semula untuk mengikuti imam maka batal solatnya.

Huraian jawapan :

Pada asasnya, menjadi kewajipan makmum untuk mengikut pergerakan dan perbuatan imam. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik bahawa Nabi SAW bersabda :

‌إِنَّمَا ‌جُعِلَ ‌الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوا، وَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا سَجَدَ فَاسْجُدُوا، وَإِنْ صَلَّى قَائِمًا فَصَلُّوا قِيَامًا

Maksudnya : “Sesungguhnya imam itu dijadikan untuk diikuti.  Apabila imam bertakbir maka bertakbirlah. Apabila dia rukuk, maka rukuk lah. Apabila dia sujud,maka sujud lah. Jika dia menunaikan solat secara berdiri maka solat lah secara berdiri.”[1]

Dalam hadis yang lain, Anas berkata :

صَلَّى بِنَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ فَلَمَّا قَضَى الصَّلَاةَ أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ، فَقَالَ: أَيُّهَا النَّاسُ، إِنِّي إِمَامُكُمْ، فَلَا تَسْبِقُونِي بِالرُّكُوعِ وَلَا بِالسُّجُودِ، وَلَا بِالْقِيَامِ ‌وَلَا ‌بِالِانْصِرَافِ، فَإِنِّي أَرَاكُمْ أَمَامِي وَمِنْ خَلْفِي

Maksudnya : “Rasulullah SAW mengimami kami dalam solat pada satu hari. Apabila Baginda selesai, Baginda menghadapkan wajah Baginda kepada kami lalu Baginda bersabda : Wahai manusia! sesungguhnya saya ini imam kalian. Maka, janganlah kalian mendahului saya dengan rukuk mahupun sujud. Tidak juga dengan qiyam mahupun salam. Sesungguhnya saya melihat kalian yang berada di hadapan saya dan juga dari bahagian belakang.”[2]

Berdasarkan hadis ini, para ulama menyimpulkan bahawa syarat sah solat berjemaah adalah mengikut setiap pergerakan imam. Hal ini dinyatakan oleh Imam Al-Nawawi :

‌تجب ‌متابعة ‌الإمام في أفعال الصلاة بأن يتأخر ابتداء فعله عن ابتدائه ويتقدم على فراغه منه

“Wajib mengikuti imam dalam pergerakan solat iaitu dia mula lambat sedikit daripada imam kemudian setelah selesai imam melakukan perbuatannya baru dia mula.”[3]

Walaupun begitu, jika imam melakukan perkara yang membatalkan solat atau meninggalkan rukun yang utama, maka tidak menjadi kewajipan kepada makmum untuk mengikutinya. Jika makmum tetap mengikuti imam sedangkan dia tahu imam telah melakukan perkara yang membatalkan, maka solatnya tidak sah. Perkara ini dinyatakan oleh Sheikh Zakariya Al-Ansari :

فَإِمَامُهُ إمَّا مُخْطِئٌ بِالْعَوْدِ فَلَا يُوَافِقُهُ فِي الْخَطَإِ، أَوْ عَامِدٌ فَصَلَاتُهُ بَاطِلَةٌ

“Imam itu sama ada tersalah kembali (kepada rukun yang tertinggal), maka tidak boleh mengikutinya atau dia sengaja (meninggalkan rukun). (Jika dia mengikutinya juga) maka solatnya batal.”[4]

Imam Al-Nawawi juga menyatakan tentang perkara ini:

لَوْ قَامَ إلَى رَكْعَةٍ خَامِسَةٍ فَإِنَّهُ لَا يُتَابِعُهُ حَمْلًا لَهُ عَلَى أَنَّهُ تَرَكَ رُكْنًا مِنْ رَكْعَةٍ لِأَنَّهُ لَوْ تَحَقَّقَ الْحَالُ هُنَاكَ لَمْ تَجُزْ مُتَابَعَتُهُ لِأَنَّ الْمَأْمُومَ أَتَمَّ صَلَاتَهُ يَقِينًا

“Jika imam bangun pada rakaat yang kelima, maka makmum tidak boleh mengikuti imam dengan beranggapan bahawa dia tertinggal rakaat. Ini kerana jika perkara tersebut telah dibuktikan di sana (iaitu imam tidak meninggalkan mana-mana rakaat) maka tidak harus bagi makmum untuk mengikuti imam kerana makmum menyempurnakan solatnya dalam keadaan yakin.”[5]

Jika makmum sengaja meninggalkan pergerakan imam maka solatnya terbatal. Imam Al-Nawawi telah menjelaskan berkenaan hukum makmum mengikut sujud sahwi yang dilakukan oleh imam, beliau menyebut :

إذَا سَجَدَ الْإِمَامُ فِي غَيْرِ الصُّورَتَيْنِ لَزِمَ الْمَأْمُومَ مُوَافَقَتُهُ فِيهِ فَإِنْ تَرَكَ مُوَافَقَتَهُ عَمْدًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ وَسَوَاءٌ عَرَفَ الْمَأْمُومُ سَهْوَ الْإِمَامِ أَمْ لَمْ يَعْرِفْهُ فَمَتَى سَجَدَ الْإِمَامُ فِي آخر صلاته سجدتين لزم المأموم متابعته

“Jika imam sujud selain dari dua keadaan tersebut (iaitu ketika imam tersalah dan makmum mengetahui dengan yakin kesilapan imam), maka makmum wajib untuk menuruti imam dalam pergerakan tersebut. Jika dia tidak mengikuti pergerakan imam secara sengaja,maka solatlah terbatal sama ada dia mengetahui kelalaian imam atau tidak. Bila mana imam sujud pada akhir solatnya, maka makmum wajib untuk mengikutinya.”[6]

Ini adalah asas dalam solat berjemaah. Iaitu makmum wajib untuk mengikuti setiap pergerakan imam kecuali dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, jika makmum terlupa untuk membaca Qunut Nazilah bersama imam di mana dia terus sujud selepas iktidal sedangkan imam berdiri untuk membaca Qunut Nazilah maka, dia wajib bangun kembali untuk bersama dengan imam. Ini kerana dia dikira telah mendahului imam.

Sheikh Al-Bujairimi menyatakan :

فَلَوْ تَرَكَ الْقُنُوتَ نَاسِيًا وَالْحَالُ أَنَّ الْإِمَامَ وَقَفَ لَهُ وَجَبَ عَلَيْهِ أَيْ الْمَأْمُومِ الْعَوْدُ بِمُتَابَعَةِ إمَامِهِ أَوْ عَامِدًا نُدِبَ

“Jika dia meninggalkan qunut kerana terlupa dalam keadaan imam sedang berdiri membaca qunut, maka wajib ke atas makmum untuk kembali mengikuti imam. Atau jika dia sengaja meninggalkannya maka sunat kepadanya untuk bangun kembali.”[7]

Beliau menyatakan lagi :

فَإِنْ تَرَكَهُ سَهْوًا أَوْ فَعَلَهُ سَهْوًا وَجَبَ عَلَيْهِ الْعَوْدُ لِلْإِمَامِ، فَإِنْ لَمْ يَعُدْ عَامِدًا عَالِمًا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ

“Jika dia meninggalkan atau melakukannya secara tidak sengaja, maka wajib ke atasnya untuk kembali mengikuti imam. Jika dia tidak kembali bangun dan dia tahu (bahawa dia tersalah) maka solatnya terbatal.”[8]

Kesimpulannya, jika makmum terlupa untuk membaca Qunut Nazilah bersama imam di mana dia terus sujud selepas iktidal sedangkan imam berdiri untuk membaca Qunut Nazilah, maka dia wajib bangun kembali untuk bersama dengan imam. Ini kerana dia dikira telah mendahului imam. Jika dia tidak bangun semula untuk mengikuti imam maka batal solatnya.

 

Nota Hujung :

[1] Riwayat Al-Bukhari no 378, Muslim no 411,412 & 417, Abu Daud no 601, Ibn Majah no 836 & 1237.

[2] Riwayat Muslim no 426,  Cetakan Dar Ihya’ Al-Kutub Al-‘Arabiyah, Beirut.

[3] Abu Zakariya Al-Nawawi,Yahya Bin Syarf, Minhaj Al-Talibin Wa ‘Umdah Al-Muftin,Dar Al-Fikr, Beirut,h.42.

[4] Al-Ansari, Zakariya Bin Ahmad, Asna Al-Matalib, Fi Syarh Raudh Al-Talib, Cetakan Dar Al-Kitab Al-Islami, j.1 h.190.

[5] Abu Zzakariya Al-Nawawi, Yahya Bin Syarf, Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Cetakan Dar Al-Fikr,j.4 h.146.

[6] Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Cetakan Dar Al-Fikr, j.4 h.144

[7] Al-Bujairimi, Sulaiman Bin Umar, Tuhfah Al-Habib ‘ala Syarh Al-Khatib(1995), Dar Al-Fikr, j.2 h.105.

[8] Tuhfah Al-Habib ‘ala Syarh Al-Khatib, j.2 h.106