Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD FATWA HAJI DAN KORBAN SIRI KE-50: ADAKAH BOLEH MENGERJAKAN BADAL HAJI MELEBIHI SEORANG DI DALAM SATU HAJI?

 

IF_Haji_Korban_50.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, saya ingin bertanya. Adakah dibolehkan bagi seorang yang mengerjakan badal haji untuk beberapa orang iaitu melebihi satu orang dalam satu haji? Mohon pencerahan tentang hal ini. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum mengerjakan badal haji bagi beberapa individu di dalam satu masa adalah tidak sah kerana badal haji hanya mencukupi untuk satu orang sahaja. Oleh itu, kami nasihatkan kepada mereka yang ingin mengerjakan badal haji supaya menitikberatkan perkara seperti ini supaya amanah dan ibadat badal haji yang dikerjakan itu sah di sisi hukum dan mendapat keberkatan dari Allah.

WallahuA'lam.

 

Huraian Jawapan:

Waalaaikumussalam. Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para sahabat dan mereka yang menugikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Kami mulakan penerangan ini dengan menjelaskan apa itu badal haji. Badal haji adalah menggantikan seseorang yang sakit dan tiada harapan untuk sembuh atau terlalu tua dan uzur atau bagi orang yang telah meninggal dunia.

Sesungguhnya  terdapat beberapa hadis atau riwayat yang menyatakan tentang hukum mengerjakan haji bagi orang lain, salah satunya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ، قَالَ: «مَنْ شُبْرُمَةُ؟» قَالَ: أَخٌ لِي - أَوْ قَرِيبٌ لِي - قَالَ: «حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ؟» قَالَ: لَا، قَالَ: «حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ»

Maksudnya: “Bahawa Nabi SAW mendengar seorang lelaki berkata: (Menyahut Panggilan-Mu “Ya Allah” daripada Syurbamah), Lalu baginda bersabda: Siapakah Syurbamah?, Maka lelaki tersebut menjawab : Saudaraku atau kerabatku. Baginda bersabda: (Kamu sudah menunaikan haji untuk dirimu?) Lelaki tu berkata: Tidak, Baginda bersabda: (Tunaikan haji untuk dirimu terlebih dahulu, kemudian tunaikan untuk Syurbumah).”  [1]

(Sunan Abu Daud: 1811)

Berdasarkan riwayat tersebut, sah hukum bagi seseorang mengerjakan haji ke atas orang lain berdasarkan pandangan majoriti ulama (Jumhur) begitu juga dengan haji ke atas orang yang telah meninggal dunia atau haji yang diwasiatkan.

Secara umumnya, hukum mengerjakan badal haji ini adalah harus setelah seseorang itu menunaikan haji untuk dirinya dan telah memenhi syarat-syarat bagi badal haji.  Untuk ketahui lebih lanjut tentang syarat badal haji, kami telah pun menerangkan perkara tersebut dalam: AL-KAFI #433 : HUKUM BADAL HAJI.

 

Adapun dalam permaslahan bagi seseorang yang mengerjakan badal haji untuk beberapa individu dalam satu haji, hukumnya adalah tidak sah badal tersebut kerana badal haji itu hanya untuk satu orang sahaja. Dengan kata lain, seseorang itu dibolehkan untuk mengerja badal haji bagi seorang individu sahaja dalam satu tahun.

Selain itu, pelaksana badal haji itu adalah wakil (وكيل) kepada orang yang diwakilkan (الموكِل) iaitu individu yang tidak dapat mengerjakan haji. Oleh itu, seorang wakil itu hendaklah memenuhi setiap perkara yang diwakilkannya. Hal ini kerana, terdapat hak dan tuntutan yang perlu disempurnakan oleh wakil ke atas orang yang diwakilkan. Sheikh Mustafa al-Bugha telah menjelaskan tentang hak-hak akad bagi wakil di dalam karyanya:

المراد بحقوق العقد: التصرفات التي لا بدّ منها للحصول على الغاية والقصد من العقد

Maksudnya: “Definis bagi hak akad itu ialah: segala urusan mestilah untuk mencapai tujuan dan matlamat daripada akad itu.” [2]

(Rujuk al-Fiqh al Manhaji: J7/h183)

Selain itu, keadaan ini juga bertepatan dengan kaedah fiqhiyyah iaitu:

الْمَشْغُولُ لَا يُشْغَلُ

Maksudnya: “Perkara yang sedang sibuk dilakukan, tidak boleh disibukkan dengan perkara lain.” [3]

(Rujuk al-Asybah wa an-Nazoir: h151)

Berdasarkan kaedah berikut, Imam al-Suyuti menjelasakan: “Tidak harus mengerjakan dua akad ke atas sesuatu benda di dalam satu tempat”.  Oleh yang demikian, mereka yang sedang mengerjakan badal haji bagi satu pihak atau individu tidak boleh sibukkan diri mereka dengan mengerjakan badal haji bagi pihak yang lain.

Kesimpulannya:

Hukum mengerjakan badal haji bagi beberapa individu di dalam satu masa adalah tidak sah kerana badal haji hanya mencukupi untuk satu orang sahaja. Oleh itu, kami nasihatkan kepada mereka yang ingin mengerjakan badal haji supaya menitikberatkan perkara seperti ini supaya amanah dan ibadat badal haji yang dikerjakan itu sah di sisi hukum dan mendapat keberkatan dari Allah.

Wallahu A’lam.

 

Rujukan:

[1] al-Sijistani, Abu Daud Sulaiman al-Asy’ab. T.Th. Sunan Abu Daud. Tahqiq: Muhammad Muhyiddin Abd Hamid. Beirut: al-Maktab al-‘Asriyyah.

[2] al-Bugha, Mustafa, Mustafa al-Khin & Ali al-Shirbani. 1992M/1413H. Al-Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab al-Imam al-Syafie. Cetakan 4. Damsyik: Dar al-Qalam.

[3] al-Suyuthi, Abdul Rahman bin Abu Bakar. 1411H/1990M. cetakan 1, al-Asybah wa an-Nazoir. Dar al Kutub al-Ilmiah.