BAYAN LINNAS SIRI KE-139 : AL-QURAN : KALAMULLAH YANG MUKJIZAT

 

Muqaddimah

Segala puji bagi Allah S.W.T yang menciptakan sekalian alam serta selawat dan salam ke atas Baginda S.A.W, keluarga, sahabat serta yang mengikut jejak langkahnya hingga ke hari akhirat.

Sejak al-Quran diturunkan, ianya telah dipelihara dengan begitu rapi. Ramai penghafaz al-Quran setiap zaman bermula zaman Rasullullah S.A.W lagi hinggalah ke hari ini. Al-Quran juga dipelihara dalam bentuk tulisan dimana pada peringkat awalnya ramai penulis al-Quran menghasilkan mushaf. Dan selepas perkembangan teknologi, al-Quran dihasilkan dalam bentuk percetakan.

Semua penjagaan al-Quran dalam bentuk mushaf dan hafazan menjadi bukti yang kukuh bahawa al-Quran terpelihara dari segala kesalahan dan kekurangan. Ini bertetapan dengan firman Allah S.W.T:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”.

(Surah al-Hijr : 9)

Al-Syahid Hasan al-Banna berkata: “Al-Quran al-Karim adalah sebuah perlembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran adalah sumber yang mencurahkan segala kebaikan dan ilmu ke dalam hati yang beriman. Al-Quran adalah alat yang terbaik untuk para ahli ibadat mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan cara membacanya.

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ هٰذَا الْقُرْآنَ مَأْدُبَةُ اللهِ فَتَعَلَّمُوْا مَأْدُبَةَ اللهِ مَااسْتَطَعْـتُمْ. إِنَّ هٰذَاالْقُرْآنَ حَبْلُ اللهِ الْمَتِيْنِ وَنُوْرٌ مُبِيْنٌ وَشِفَاءٌ نَافِعٌ وَعِصْمَةٌ لِمَنْ تَمَسَّكَ بِهِ وَمَنْجَاةٌ لِمَنِ اتَّبَعَهُ لاَيَعْوَجُ فَيُقَوَّمُ وَلاَيَزِيْغُ فَيَسْتَعْـتِبَ وَلاَتَنْقَضِى  عَجَائِـبُهُ وَلَمْ يَخْلَقْ عَنْ كَثْرَةِ التِّرْدَادِ أُتْلُوْهُ فَإِنَّ اللهَ تَعَالىَ يَأْجُرُكُمْ عَلَى تِلاَوَتِهِ بِكُلِّ حَرْفٍ عَشْرُ حَسَـنَاتٍ أَمَا إِنِّيْ لاَأَقُوْلُ آلمۤ عَشَرَةٌ وَلـٰـكِنَّ  اْلأَلِفَ عَشَرَةٌ وَاللاَّمَ عَشَرَةٌ وَالْمِيْمَ عَشَرَةٌ

Maksudnya: “Al-Quran ini adakah hidangan Allah.Oleh itu hadaplah hidangan Allah ini sepuas hati kamu. Al-Quran ini adalah tali Allah (cahaya yang menjadi petunjuk), cahaya yang terang dan ubat yang mujarab, pengawal bagi orang yang berpegang dengannya, penyelamat bagi orang yang mengikutnya, sesiapa yang tersesat akan dipandunya, sesiapa yang menyimpang akan dibetulkan, keajaibannya tiada henti, keagungan dan kemanisan bacaannya tidak akan terjejas walau sekerap mana sekalipun diulang. Bacalah kerana Allah, kerana ia akan memberikan kamu ganjaran jika kamu membacanya setiap satu huruf sepuluh ganjaran. Saya tidak katakan Alam Laam Miim sebagai satu huruf tetapi alif (1 huruf) dan Laam (1 huruf) dan Miim (1 huruf).”

Riwayat al-Hakim

Pada ruangan Bayan Linnas untuk kali ini, kami akan memberi fokus bagi menjawab dakwaan yang dikeluarkan oleh segelintir non-muslim yang mendakwa sebanyak 70%  kandungan al-Quran adalah diambil dan dicedok dari kisah-kisah lama yang wujud sebelum kedatangan Islam itu sendiri. Justeru, kami tajukkan Bayan Linnas pada kali ini dengan tajuk “Al-Quran : Kalamullah YangMukjizat”.

Pertama: Definisi al-Quran

Al-Quran pada bahasa mempunyai beberapa makna iaitu mengumpulkan dan menghimpun, dan qiraah bererti menghimpun huruf-huruf dan kata-kata satu dengan yang lain dalam satu ucapan yang tersusun rapi. Quran pada mulanya seperti qiraah, iaitu masdar (infiniti) dari kata qara’a, qiraatan, quranan. Allah SWT berfirman:

إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْآنَهُ ﴿١٧﴾ فَإِذَا قَرَأْنَاهُ فَاتَّبِعْ قُرْآنَهُ ﴿١٨﴾

Maksudnya: “Sesunggguhnya atas tanggungan Kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. Apabila Kami telas selesai membacakannya, maka itulah bacaannya itu.”

(al-Qiyaamah: 17-18)

Kata qur’anah (bacaannya) pada ayat di atas bererti qiraatuhu (bacaannya/cara membacanya). Jadi, kata itu adalah masdar menurut wazan (konjunsi) fu’lan dengan vokal u seperti ghufran dan syukran. Kita dapat mengatakan qara’tuhu, quran, qiraatan wa quranan, ertinya sama saja. Di sini maqru’ (apa yang dibaca) diberi nama quran (bacaan), yakni penamaan maf’ul dengan masdar.

Sedangkan ada istilahnya pula ialah kitab yang diturunkan Allah secara mutawatir kepada Nabi SAW yang bersifat mukjizat di mana mendapat pahala jika dibacanya yang terangkum dari awal surah Fatihah hingga akhir surah al-Nas.

Kedua: Keistimewaan al-Quran

Sebenarnya al-Quran cukup istimewa berbanding dengan mana-mana kitab. Oleh kerana tajuk ini cukup besar, penulis hanya menyebut sepintas lalu dengan satu dalil sahaja dengan setiap satunya. Dipetik daripada karya Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang bertajuk “Bagaimana kita berinteraksi bersama dengan al-Quran al-‘Azim.” Antara lain menyebut:

الر ۚ كِتَابٌ أُحْكِمَتْ آيَاتُهُ ثُمَّ فُصِّلَتْ مِن لَّدُنْ حَكِيمٍ خَبِيرٍ

Maksudnya: “Alif, Lam, Ra. Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun rapi ayat-ayatnya, kemudian dijelaskan pula kandungannya satu persatu yang diturunkan daripada sisi Allah Yang Maha Mendalam pengetahuan-Nya.”

(Surah Hud : 1)

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya kamilah yang menurunkan Al-Quran dan memeliharanya”.

(Surah Al-Hijr : 9)

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad)  “ Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun demi mendatangkan sesuatu yang sebanding dengan Al-Quran , mereka tidak akan mampu mendatangkannya walaupun mereka saling membantu”.

(Surah Al-Isra’: 88)

Al-Quran dikatakan sebagai sebuah kitab mukjizat kerana makahluk tidak akan mampu dan mustahil untuk mendatangkan sebuah kitab semisal al-Quran sekalipun terdapat gabungan dan kesepakatan antara seluruh manusia dan jin dalam . Sudah tentu perkataan makhluk tidak akan boleh menyamai perkataan Yang Maha Pencipta, yang tiada tandingan dan tara. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 8/4024)

فَإِنَّمَا يَسَّرْنَاهُ بِلِسَانِكَ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

Maksudnya:“Maka sesungguhnya kami memudahkan Al-Quran dengan bahasamu(wahai Muhammad) moga-moga mereka mengambil pengajaran”.

(Surah Ad-Dukhan : 58)

Dr Yusuf Al-Qaradhawi berkata ayat Al-Quran dihafaz oleh ribuan sama ada lelaki , perempuan atau kanak-kanak. Inilah istimewanya yang tiada pada mana-mana kitab atau buku yang lain.

إِنْ هُوَ إِلَّا ذِكْرٌ لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Al-Quran itu tidak lain hanya peringatan bagi seluruh penduduk alam”.

(Surah At-Takwir : 27)

Penulis menukilkan dari Detik Islam yang bertarikah 10 Ogos 2012 berkenaan dengan pengaruh bacaan al-Quran pada saraf, otak dan organ tubuh lain antara lain menyatakan: “Tidak ada lagi bacaan yang dapat meningkatkan terhadap daya ingatan dan memberi ketenangan kepada seseorang kecuali membaca al-Quran.”

Dr. Al-Qadhi, melalui penelitiannya yang panjang dan serius di Klinik Besar Florida, Amerika Syarikat, berjaya membuktikan hanya dengan mendengan bacaan ayat-ayat al-Quran, seorang muslim, baik mereka yang berbahasa arab atau bukan, dapat merasakan perubahan fisiologi yang sangat besar.

Penurunan tekanan, kesedihan , memperoleh ketenangan jiwa merungkai pelbagai macam penyakit merupakan pengaruh am yang dirasakan orang-orang yang menjadi objek kajiannya. Penemuan kajian ini dilihat tidak menentu.

Penelitiannya disokong dengan bantuan peralatan elektronik terkini untuk mengesan tekanan darah dengupan jantung, ketahanan otot, dan ketahanan kulit terhadap aliran elektrik. Dari hasil kajiannya, beliau telah membuat kesimpulan, bahawa bacaan al-Quran berpengaruh besar sehingga 97% dalam melahirkan ketenangan jiwa dan penyembuh penyakit.

Kajian Dr. Al-Qadhi ini diperkuatkan pula oleh kajian lain yang dilakukan oleh doktor yang berbeza. Dalam laporan sebuah kajian yang disampaikan dalam Persidangan Perubatan Islam Amerika Utara pada tahun 1984, disebutkan, al-Quran terbukti mampu mendatangkan ketenangan sehingga 97% bagi mereka yang mendengarkannya.

Kesimpulan hasil kajian tersebut diperkuatkan lagi oleh kajian Muhammad Salim yang diterbitkan Universiti Boston. Sasaran kajiannya terhadap 5 orang sukarelawan yang terdiri dari 3 lelaki dan 2 wanita. Kelima orang tersebut sama sekali tidak mahir berbahasa Arab dan mereka pun tidak diberitahu bahawa yang akan diperdengarkan adalah al-Quran.

Kajian yang dilakukan sebanyak 210 kali ini terbahagi kepada dua sesi, iaitu membaca al-Quran dengan tertil dan membacakan bahasa arab yang bukan dari al-Quran. Kesimpulannya, responden mendapatkan ketenangan sehingga 65% ketika mendengarkan bacaan al-quran dan mendapatkan ketenangan hanya 35% ketika mendengar bahasa Arab yang bukan dari al-Quran.

Al-Quran memberikan pengaruh besar jika diperdengarkan kepada bayi. Hal tersebut diungkapkan Dr. Nurhayati sewaktu Seminar Kauseling dan Psikoterapi Islam di Malaysia pada tahun 1997. Menurut penyelidikan yang dijalankan, bayi yang berusia 48 jam yang diperdengarkan ayat-ayat al-Quran dari perakan suara menunjukkan respon tersenyum dan menjadi lebih tenang.

Sungguh suatu kebahagian dan merupakan nikmat yang besar. Kita mempunyai al-Quran. Selain menjadi ibadah dalam membacanya, bacaannya ,memberikan pengaruh besar bagi kehidupan jasmani dan rohani kita.

Jika mendengar muzik klasik boleh mempengaruhi kecerdasan intelektual (IQ) dan kecerdasan emosi (EQ) seseorang, bacaan al-Quran jauh lebih dari itu. Selain mempengaruhi IQ dan EQ, bacaan al-Quran mempengaruhi kecerdasan spiritual (SQ).

Benarlah firman Allah S.A.W:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya : “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat”.

(Surah al-A’raf : 204)

Ketiga: Matlamat al-Quran

Secara umumnya al-Quran menyeru kepada banyak prinsip dan maqasid yang sesuai bagi sifat kemanusiaan. Antaranya:

Keempat: Pendapat Tokoh berkenaan Quran

Dinyatakan di sini beberapa kenyataan ulama dan tokoh berkaitan Quran.

 

 

 

Menjawab beberapa syubhah yang dilemparkan terhadap al-Quran:

  1. Al-Quran adalah ciptaan Muhammad S.A.W

Umum diketahui bahawa, Nabi Muhammad S.A.W hanyalah seorang lelaki yang diutus sebagai rasul untuk seluruh umat. Tujuan pengutusannya untuk mebawa rahmat bagi sekelian alam. Ini adalah sebagaimana firman Allah S.W.T berikut:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”

(Surah al-Anbiya’ : 107)

Justeru, Allah S.W.T telah mengutuskan bersama rasulnya ini sebuah kitab yang menjadi panduan bagi seluruh umat yang dipimpinnya. Namun begitu, terdapat segolongan manusia yang sering mengingkari kebenaran atau ketulinan ayat-ayat al-  Quran tersebut dengan mendakwa bahawa kitab tersebut merupakan rekaan atau idea penulisan yang dilakukan sendiri oleh Muhammad S.A.W.

Bagi mencantas dakwaan tersebut, kami nyatakan seperti berikut.

Allah S.W.T memberi cabaran dan kesempatan kepada seluruh umat manusia yang tidak meyakini bahwa al-Quran adalah kalamullah dengan beberapa cabaran. Antaranya ialah dalam firmanNya yang berikut:

قُل لَّئِنِ اجْتَمَعَتِ الْإِنسُ وَالْجِنُّ عَلَىٰ أَن يَأْتُوا بِمِثْلِ هَـٰذَا الْقُرْآنِ لَا يَأْتُونَ بِمِثْلِهِ وَلَوْ كَانَ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ ظَهِيرًا

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri.”

(Surah al-Isra’ : 88)

Syeikh al-Maraghi menjelaskan bahawa golongan kafir tidak akan mampu untuk mendatangkan sebuah kitab yang sama sepertimana yang diturunkan kepada kepada rasulNya. Yang dimaksudkannya ialah sama dari sudut balaghah, kebaikan maknanya, kebijaksanaanya, hukum-hakam yang dikandungnya dan lain-lain. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 8/4024)

Tentangan turut dikemukakan juga dalam ayat yang dinyatakan berikut:

فَلْيَأْتُوا بِحَدِيثٍ مِّثْلِهِ إِن كَانُوا صَادِقِينَ

Maksudnya: “(Kalau tidak) maka hendaklah mereka membuat dan mendatangkan kata-kata (yang fasih dan indah) seperti Al-Quran itu, jika betul mereka orang-orang yang benar dakwaannya.”

(Surah at-Tur : 34)

Dalam kalangan musyrikin Quraisy terdapat penyair-penyair yang fasih balaghahnya, tukang tilik yang hebat serta cerdas serta pemidato yang berpengalaman dalam berbicara dengan baik dalam pelbagai seni pertuturan. Maka kumpulkanlah para penyair, tukang tilik dan para pembicara yang hebat tersebut agar dapat mendatangkan sesuatu yang seperti al-Quran, kalau mereka adalah dalam kalangan yang benar dalam perakuan mereka. Namun mereka tidak mampu. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 14/6633)

Apabila musyrikin Quraisy tidak mampu untuk mendatangkan kitab semisal al-Quran, Allah SWT menguji mereka dengan ujian yang lebih ringan iaitu untuk mendatangkan hanya sepuluh surah yang semisal al-Quran. Ini adalah sepertimana firmaNya berikut:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا بِعَشْرِ سُوَرٍ مِّثْلِهِ مُفْتَرَيَاتٍ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “Bukan itu sahaja kata-kata mereka bahkan mereka menuduh dengan mengatakan: "Ia (Muhammad) yang mereka-reka Al-Quran itu! " katakanlah (wahai Muhammad): "(Jika demikian tuduhan kamu), maka cubalah buat serta datangkan sepuluh surah rekaan yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu sanggup memanggilnya, yang lain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

(Surah Hud : 13)

Allah SWT mencabar pihak musyrikin Quraish supaya mendatangkan sepuluh surah seperti al-Quran dari sudut susunan atau gaya bahasanya yang memuatkan undang-undang yang benar tentang keagamaan, kemasyarakatan, politik, hikmah-hikmah, nasihat-nasihat dan tata kesopanan. Bahkan Allah SWT menyeru mereka supaya mengajak sesiapa sahaja yang mereka ingin selain Allah SWT yang dapat membantu dan menolong mereka bagi menyahut cabaran Allah SWT. Namun mereka tidak mampu. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 6/3158)

Pada pengakhiran cabaran tersebut, Allah turut menyatakan cabaran terakhir untuk mendatangkan hanya satu surah semisal al-Quran. Ini seperti firmannya yang berikut:

أَمْ يَقُولُونَ افْتَرَاهُ ۖ قُلْ فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّثْلِهِ وَادْعُوا مَنِ اسْتَطَعْتُم مِّن دُونِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “(Orang-orang kafir tidak mengakui hakikat yang demikian itu) bahkan mereka mengatakan: "Dia lah (Muhammad) yang mengada-adakan Al-Quran menurut rekaannya". Katakanlah (wahai Muhammad): "Kalau demikian, datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah siapa sahaja yang kamu dapat memanggilnya, yang lain dari Allah (untuk membantu kamu), jika betul kamu orang-orang yang benar!.”

(Surah Yunus : 38)

Demikian juga firman Allah SWT berikut:

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّـهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Maksudnya: “Dan kalau kamu ada menaruh syak tentang apa yang Kami turunkan (Al-Quran) kepada hamba kami (Muhammad), maka cubalah buat dan datangkanlah satu surah yang sebanding dengan Al-Quran itu, dan panggilah orang-orang yang kamu percaya boleh menolong kamu selain dari Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar.”

(Surah al-Baqarah : 23)

Menurut Syeikh al-Maraghi, kaum musyrikin Quraish tidak mampu untuk membuat al-Quran lain yang seumpama dengan al-Quran, meskipun mereka seorang yang terlatih. Namun,  mereka tidak mampu untuk mendatangkan sesurah seumpama al-Quran. Ini kerana, orang yang berakal cerdas sudah tahu bahawa sesuatu yang dapat mereka lakukan, sudah tentu orang lain juga dapat melakukannya, dan terdapat keberangkalian akan ada orang yang lebih mampu berbanding dirinya. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 6/3039)

فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Maka kalau kamu tidak dapat membuatnya, dan sudah tentu kamu tidak dapat membuatnya, maka peliharalah diri kamu dari api neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu-batu (berhala), (iaitu neraka) yang disediakan untuk orang-orang kafir”.

(Surah al-Baqarah : 24)

Jika kaum musyrikin Quraish tidak mampu juga untuk mendatangkan satu surah semisal al-Quran, padahal kamu sudah berusaha bermati-matian, sudah tentu kamu tidak mampu untuk melakukannya pada masa akan datang kerana ianya memang bukan ukuran menurut kemampuan kamu (makhluk). Justeru, berwaspadalah dengan keingkaran kamu itu dan akuilah bahawa al-Quran ini sememangnya datang daripada Allah SWT. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/58)

  1. Keaslian Naskhah al-Quran Yang Ada Pada Hari Ini

Dalam isu ini, kami melihat ada beberapa noktah penting yang perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat.

Pertama: Al-Quran pada asasnya adalah bacaan dan bukan tulisan. Turunnya wahyu, penyampaiannya, periwayatannya dilakukan secara lisan dan hafazan dan bukannya tulisan. Apa yang dimaksudkan dengan membaca al-Quran pada zaman dahulu adalah membaca daripada hafazan dan tulisan hanyalah wasilah semata-mata. Ini kerana, ayat-ayat al-Quran dijadikan tulisan di atas tulang belulang, kulit haiwan dan lain-lain berdasarkan hafazan daripada memori seorang muqri’. Tradisi periwayatan melalui hafazan dengan isnad yang mutawatir ini diwarisi turun temurun telah terbukti menjamin keaslian al-Quran itu sendiri. Masalah orientalis seperti pada masa kini ialah melihat al-Quran sebagai teks, bukannya sebagai hafazan yang dibaca. Inilah menyebabkan mereka cenderung untuk menerapkan beberapa metodologi yang sama untuk mengkritik Bible iaitu kritikan sejarah, kritikan sumber, kritikan bentuk dan kritikan teks. Natijahnya, mereka melihat al-Quran hanyalah produk sejarah yang merakamkan situasi dan budaya Arab abad ke-7 dan 8 Masihi.[1] Malah seruan orientalis untuk membuat edisi kritis al-Quran berdasarkan manuskrip-manuskrip yang ada terus diulang-ulang oleh segelintir sarjana Muslim hari ini.[2]

Kedua: Al-Qur’an juga dicatat dengan menggunakan tulisan. Para sahabat Nabi SAW ada yang menyimpan catatan ayat-ayat al-Qur’an ini bagi tujuan rujukan peribadi. Pada catatan itu juga terdapat komentar, huraian dan lain-lain penambahan untuk pemahaman sendiri. Maka, tahap kualitinya pasti sudah berbeza. Oleh itu, Saidina Abu Bakar mengambil langkah menubuhkan sebuah kumpulan yang menyemak ayat-ayat al-Qur’an yang ada pada para Sahabat dan disatukan menjadi sebuah suhuf. Suhuf tersebut disimpan oleh Abu Bakar, kemudiannya Umar dan setelah itu Hafsah sebelum diserahkan kepada Uthman. Pada zaman beliau, ada permintaan sejumlah para Sahabat untuk mengumpul semula bentuk bacaan (qiraat) yang ada dan diletakkan standard bacaan bagi mengelakkan kekeliruan. Natijahnya, dikeluarkan beberapa buah buku yang mengandungi qiraat yang bersifat mutawatir yang disepakati periwayatannya daripada Nabi SAW.

Ketiga: Punca utama kekeliruan para orientalis apabila menganggap al-Quran itu ada pelbagai ragam bacaan kerana teksnya yang tidak bertitik dan bertanda pada awalnya. Padahal al-Quran itu dibaca terus daripada hafazan yang diriwayatkan sampai kepada Nabi SAW. Kaedah dalam hal ini adalah tulisan mengikut bacaan yang diriwayatkan Nabi (al-rasmu tabi’un li al-riwayah) dan bukan sebaliknya.

  1. Menyamakan al-Qur’an dengan kitab-kitab agama lain dari sudut pengkanunannya.

Para orientalis sering menimbulkan keraguan pada aspek pengumpulan al-Qur’an. Mereka menyatakan bahawa ia sangat mustahil kerana pengumpulan kitab-kitab suci lain mengambil masa ratusan dan mungkin ribuan tahun.

Sebenarnya, al-Quran melalui proses yang sangat terperinci sebelum dihimpunkan sebagai sebuah buku pada zaman Saidina Abu Bakar. Pada zaman Nabi SAW, ia masih belum dibukukan lagi tetapi selesai ditulis sejak zaman Baginda tanpa disatukan lagi dalam bentuk buku, disamping surah-surahnya belum tersusun.

Menurut Zaid bin Thabit:

قُبِضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَلَمْ يَكُنِ الْقُرْآنُ جُمِعَ فِي شَيْءٍ

Maksudnya: “Saat Nabi SAW wafat, al-Qur’an masih belum dihimpun dalam satu bentuk buku.”(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/12)

Penyaksian adalah elemen yang penting dalam pengumpulan al-Quran. Ibn Hajar menjelaskan:

أَنَّ أَبَا بَكْرٍ قَالَ لِعُمَرَ وَلِزَيْدٍ اقْعُدَا عَلَى بَابِ الْمَسْجِدِ فَمَنْ جَاءَكُمَا بِشَاهِدَيْنِ عَلَى شَيْءٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَاكْتُبَاهُ

Maksudnya: “Abu Bakar menyatakan kepada Umar dan Zaid, ‘Duduklah di depan pintu gerbang Masjid Nabawi. Jika ada orang membawa kepada anda tentang sepotong ayat daripada Kitabullah dengan dua orang saksi, maka tulislah.”(Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 9/14)

Saidina Umar pula berdiri di depan pintu gerbang masjid dan mengumumkan bahawa sesiapa yang memiliki tulisan al-Quran yang dibacakan oleh Nabi SAW, hendaklah datang ke masjid untuk disemak. Begitu juga tindakan Bilal yang menyiarkannya di lorong-lorong jalan di Madinah.

Sejak Nabi SAW berada di Madinah, itulah saat bermulanya gerakan penulisan al-Quran. Banyak di antara para sahabat memiliki ayat-ayat al-Quran yang disalin daripada kulit milik sahabat handai dan jiran tetangga. Dengan hanya membataskan ayat-ayat yang disalin di bawah pengawasan Nabi Muhmmad, Zaid meyakini bahawa bahan-bahan yang beliau telah teliti memiliki kualiti yang sama. Setelah menghafal al-Quran dan menulis banyak semasa duduk dengan Nabi SAW, ingatan dan hafalan Zaid dapat dibandingkan dengan bahan yang sama, bukan dengan yang lainnya.  Maka, sikap tegas Abu Bakar, Umar dan Zaid dalam penyuntingan daripada sumber pertama berserta dua saksi ini memberi jaminan akan kualiti dan kesahihan al-Quran yang sudah dikumpulkan. Setelah selesai semakan, al-Quran disimpan dalam perbendaharaan negara di bawah pengawasan Saidina Abu Bakar.(Rujuk Fadhail Al-Quran Wa Ma'alimuhu Wa Adabuhu, hlm. 281)

Fasa pembukuan al-Quran yang bermula daripada penyatuan bahagian-bahagian terpisah ayat al-Qur’an daripada sumber pertama, kemudian disaring daripada sumber-sumber seluruh Madinah dan disusun pula dalam satu jilid besar yang diistilahkan suhuf. 15 tahun kemudian, ketika Khalifah Uthman mengirim naskah al-Quran ke wilayah-wilayah umat Islam dalam bentuk yang lebih kemas sebagai sebuah buku, ketika itulah ia dikenali sebagai mushaf.

Keistimewaan al-Quran yang tidak memerlukan ribuan tahun untuk dikanunkan adalah kerana ianya sudah tersusun lengkap dalam bentuk kasar sejak zaman Nabi SAW. Selain itu, disiplin yang ketat dalam penyusunannya oleh Zaid bin Thabit, Umar dan Abu Bakar dengan hanya menerima penyaksian 2 orang dengan ayat al-Qur’an yang ditulis di hadapan Nabi SAW membuktikan ianya tidak mungkin sama sekali ada perbezaan dengan yang asalnya.

Membandingkan al-Quran dengan kitab-kitab suci lain seperti Veda adalah perbandingan yang tidak boleh diterima logik kerana:

Veda adalah daripada Shruti iaitu sesuatu sumber wahyu yang didengari. Dipercayai bahawa Rishi yang berada pada tingkat Tapasya mendengar veda terus daripada Parabrahma/Parameshwara. Secara ringkasnya, ia tidak dibuat oleh manusia dan tidak mempunyai penulis. Ada empat buku Veda iaitu Rigveda, Samaveda, Yajurveda dan Atharvaveda. Al-Quran pula adalah sepenuhnya wahyu Allah SWT tanpa pembahagian-pembahagian khusus dan dihafal terus oleh Nabi SAW sebelum ditulis oleh penulis wahyu.

Jumlah ketebalan Veda jauh berbeza dengan al-Qur’an. Ini bermakna, tidak mustahil al-Quran boleh disusun dengan tempoh yang lebih singkat berbanding Veda.

Naratif dalam Veda sifatnya pelbagai kerana ianya terbahagi kepada 4 buku; Rig Veda, Yajur Veda, Sama Veda dan Atharva Veda yang mana setiap satunya ada fokus yang berbeza.

 

 

 

[1] Quranic Studies: Sources and Methods of Scriptural Interpretation

[2] Rujuk Gerd-Ruediger Puin, Observations on Early Qur’an Manuscripts in San’a dalam Stefan Wild (ed.), The Qur’an as Text, 107-111.