BAYAN LINNAS SIRI KE - 224: COVID-19: SARANAN KAMI

saranan covid 19

Mukadimah

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke hari kesudahan.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita penularan Novel Coronavirus (2019 n-CoV), yang telah diisytiharkan sebagai suatu penyakit global mula memasuki Malaysia dengan kes yang pertama dikesan positif pada tarikh 3 Februari 2020[1]. Kes ini berlanjutan sehingga 22 kes positif COVID-19 yang dilaporkan.  Kesemua kes positif COVID-19 pada gelombang pertama ini (iaitu kes pertama sehingga kes ke-22) telah disahkan sihat dan discaj[2].

Setelah 11 hari tiada kes baharu dilaporkan, gelombang kedua COVID-19 menyerang kembali pada 27 Februari 2020. Bagi gelombang kedua sehingga 4 Mac 2020, terdapat sebanyak 28 kes positif COVID-19 (iaitu kes ke-23 sehingga kes ke-50) yang telah dilaporkan. Kementerian Kesihatan mengesahkan sebanyak 14 lagi individu positif Covid-19 pada 4 Mac 2020 dalam masa sehari. Setelah dikenalpasti, gelombang kedua ini berpunca daripada pesakit kes ke-26 dan kesemua 14 kes yang positif mempunyai kontak rapat dengannya. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 50 kes (kebarangkalian pertambahan kes adalah amat tinggi).

Pada hari Khamis, 5 Mac 2020, kami di Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengadakan perbincangan secara khusus bersama pakar Kementerian Kesihatan. Antaranya Dr. Khiber dan lain-lain. Perbincangan menjurus ke arah isu penyelenggaraan mayat jika berlaku kematian. Alhamdulillah, banyak natijah yang positif dapat dirungkai. Pada hari Jumaat pula, kami dikunjungi oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah. Perbincangan mengambil masa hampir satu jam berkenaan dengan COVID-19 berkaitan perkembangan terkini serta peranan yang mungkin boleh dimainkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kepada masyarakat dan rakyat Malaysia.

Walaupun kami telah kemukakan Bayan Linnas pada masa gelombang pertama dengan tajuk Mauqif (Pendirian) Kami Tentang Novel Coronavirus (2019-Ncov) bertarikh 29 Januari 2020. Tetapi kami rasakan amat penting untuk dikemukakan sekali lagi disebabkan pelbagai isu dan perkembangan terkini yang sedang kita hadapi.

Sehubungan dengan itu, kami melihat kepada keperluan panduan bagi umat Islam di Malaysia, maka kami datangkan Bayan Linnas Siri Ke- : Covid-19: Saranan Kami bagi memberikan buah pandang kami terhadap isu ini. Semoga Bayan Linnas pada siri kali ini boleh menjadi panduan dan juga rujukan bagi orang ramai dalam berhadapan dengan wabak seperti ini.

 

Takrif Coronavirus

Secara umumnya, Coronavirus (CoV) adalah suatu keluarga besar virus yang menyebabkan pelbagai jenis penyakit yang meliputi demam selesema sehinggalah penyakit serius seperti Severe Acute Respratory Syndrime Cronavirus (SARS) dan Middle East Respiratory Coronavirus (MERS-CoV).

Coronavirus baharu Novel Coronavirus (2019-nCoV) adalah mana-mana strain baharu virus tersebut yang sebelum ini tidak  pernah dikenalpasti atau dikesan pada manusia.[3]

 

Keluarga Coronavirus

2019-nCoV merupakan salah satu ahli daripada Keluarga Coronaviridae, yang boleh diklasifikasi bawah sub-keluarga Orthocoronaviridae. Virus-virus ini adalah daripada keluarga yang sama virus SARS (Severe acute respiratory syndrome) dan MERS-CoV (Middle Eastern respiratory syndrome). Dalam keluarga ini, terdapat juga ahli-ahli yang lain, namun gejala yang dihasilkan adalah lebih ringan, maksudnya mereka mampu juga menyebabkan selsema yang biasa dialami sepanjang tahun. Secara klasifikasi genetik, Coronavirus boleh dibahagi kepada alfa, beta, gamma, dan delta. Virus yang dahsyat seperti SARS-CoV, MERS-CoV dan 2019-Novel Coronovirus diletak dalam satu kumpulan.

Pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menamakan wabak ini dengan COVID-19 sebagai singkatan Co untuk Corona, Vi untuk virus dan D untuk penyakit. Dan 19 merujuk kepada mula berlaku pada 2019.

 

Sejarah

Corona virus adalah kumpulan virus yang menyebarkan penyakit kepada mamalia, termasuk manusia, dan burung. Ia ditemui pertama kali pada tahun 1960, corona virus mendapat namanya daripada bentuknya yang seakan-akan mempunyai mahkota, oleh itu ia dinamakan sebagai corona yang membawa maksud mahkota atan crown.

Coronavirus adalah salah satu keluarga virus yang besar dan kebanyakannya hidup dalam haiwan seperti unta, lembu, kucing dan juga kelawar.

 

Kronologi Penyakit Covid-19

Novel coronavirus(nCoV) atau Covid-19 adalah virus yang telah dikenalpasti menyebabkan wabak yang melibatkan saluran pernafasan dimana ia pertama kali dikesan di Wuhan, China pada 31 Disember 2019.

Kes pertama coronavirus dikesan di Wuhan apabila seorang pekerja Pasar Borong Makanan Laut Huanan yang menjual pelbagai jenis hidupan laut, haiwan dan burung jatuh sakit akibat sejenis pneumonia.[4] Pesakit mengalami gejala-gejala seperti selesema atau “flu” dan dikuarantin sementara sumber selesema itu dikenalpasti. Keesokan harinya, lokasi utama virus itu disebarkan telah dikenalpasti iaitu melalui sebuah pasar makanan laut. Sejak hari itu, operasi pasar tersebut telah ditutup

Pada mulanya, kebanyakan daripada pesakit tersebut dikatakan mempunyai kaitan dengan makanan laut dan haiwan yang dijual di Pasar Makanan Laut Wuhan.

Akan tetapi bilangan pesakit telah meningkat dan kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai sejarah pergi ke pasar tersebut dan ini menunjukkan terdapat jangkitan yang berlaku sesama manusia (human to human tranmission).

Kajian yang telah dijalankan terdapat haiwan-haiwan yang dijual di pasar tersebut berserta sampel covid-19 yang diperolehi menunjukkan satu kemungkinan ia berasal daripada virus yang terdapat di dalam ular atau kelawar.

Menurut kajian yang dijalankan oleh World Health Organization (WHO), sehingga kini kadar atau kebolehan virus ini merebak diantara manusia masih lagi tidak diketahui dan masih di dalam siasatan.[5]

 

 Gejala dan Komplikasi

Pesakit boleh menunjukkan gejala am seperti demam, sakit otot dan keletihan. Manakala batuk berkahak dan sakit kepala adalah jarang, batuk darah dan cirit-birit juga sekali-sekala. Ia boleh mengambil masa seminggu sebelum orang yang dijangkiti merasa cukup sakit untuk mendapatkan rawatan. Malah, jika masalah ini tidak dirawat, ia boleh menyebabkan beberapa komplikasi dan akhirnya mengundang kematian. Komplikasi yang mungkin timbul daripada jangkitan ini adalah seperti berikut:

Pneumonia merupakan jangkitan yang membawa kepada masalah keradangan paru-paru. Gejala radang paru-paru berlaku apabila inflammasi terjadi kerana sistem imun mereka cuba melawan jangkitan virus. Keradangan ini mengganggu aliran pertukaran gas di paru-paru dan akhirnya menyebabkan kesukaran bernafas. Pneumonia yang teruk boleh menyebabkan kerosakan yang lebih besar kepada paru-paru dan menyebabkan paru-paru terdedah kepada jangkitan lain seperti kuman.

Dalam kes yang lebih teruk, pesakit mungkin mengalami ARDS. Ini adalah keadaan yang mengancam nyawa yang menyebabkan tahap oksigen yang rendah dalam darah dan akhirnya menyebabkan banyak kegagalan organ. Pesakit dengan keadaan ini biasanya memerlukan pengudaraan mekanikal dan sokongan pernafasan di ICU Unit Rawatan Rapi.

Kerosakan kepada organ utama terutamanya buah pinggang mungkin berlaku akibat daripada kesan jangkitan teruk atau kekurangan oksigen yang disalurkan ke seluruh tubuh badan. Organ penting tidak dapat bertahan lama tanpa bekalan oksigen yang mencukupi dan berterusan. Walaupun dengan rawatan intensif dan penggunaan ventilator, kerosakan teruk pada paru-paru menyebabkan bekalan oksigen yang sampai ke paru-paru menjadi rendah. Kerosakan kepada mana-mana organ utama ini boleh menjadi sangat serius dan memerlukan rawatan tambahan. Kerosakan organ secara meluas biasanya menyebabkan risiko kematian yang lebih besar

Pesakit yang dijangkiti oleh Coronavirus mungkin mati akibat daripada kejutan septik. Ia adalah keadaan yang berpotensi membawa maut yang berlaku apabila jangkitan virus menyebar ke seluruh tubuh terutamanya ke dalam aliran darah. Sebagai tindak balas kepada ini, saluran darah akan mula meluas dan gagal mengekalkan integriti strukturnya. Hal ini kemudiannya akan membawa kepada tekanan darah rendah dan akhirnya mengurangkan saluran oksigen pada tisu, dan akhirnya menyebabkan tisu mati.[6] 

Statistik terkini COVID-19 di seluruh dunia setakat 6 Mac yang dikeluarkan oleh World Health Organization (WHO)

Jumlah keseluruhan kes

Jumlah  keseluruhan kematian

Jumlah keseluruhan sembuh

Jumlah negara yang terlibat

95, 124

3,254

51, 171

82

 

Ringkasan Kes COVID-19 di Malaysia[7]

Status Kes

Jumlah

Kes disahkan positif

50

Kes disahkan negatif

1933

Pending (masih menunggu keputusan makmal)

138

Jumlah Keseluruhan

2121

 

 

Bagaimana ia boleh berjangkit:[8]

Covid-19 boleh berjangkit melalui cara-cara berikut:

 

Fatwa, Panduan dan Pesanan Para Ulama dalam Mendepani Virus COVID-19

Oleh kerana wabak ini amat baru, makanya kami dapati para ulama’ mengambil sedikit masa untuk mengemukakan pandangan. Alhamdulillah, selepas hampir tiga bulan dan wabak masih berterusan, makanya kami kemukakan beberapa pandangan ulama’.

Majlis Fatwa UAE yang diketuai oleh Sheikh Abdullah Bin Bayyah telah membincangkan berkenaan hukum pergi solat jumaat dan berjemaah ketika berlakunya penularan virus COVID-19. Mereka mengeluarkan beberapa garis panduan. Antara garis panduan tersebut :

Fatwa ini dikeluarkan adalah berdasarkan beberapa dalil daripada Al-Quran, sunnah, ijmak dan juga qiyas.[9]

Al-Azhar menyebut bahawa boleh untuk berkumpul untuk menunaikan solat khusus kemudian berdoa, memohon dan bermunajat kepada Allah agar dijauhkan dan diselamatkan daripada wabak virus COVID-19.[10]

Majlis Fatwa Wilayah Kurdistan dalam fatwa bertarikh 3 Mac 2020 telah mencapai beberapa keputusan, iaitu:

Menurut AMJA, solat Jumaat tidak boleh dibatalkan melainkan pihak berkuasa kesihatan telah menasihatkan pembatalan atau penangguhan majlis di rumah-rumah ibadat dan mengelakkan daripada menyertai perkumpulan orang ramai.

Setelah pihak berkuasa mengeluarkan arahan demikian, pihak pengurusan masjid mestilah mematuhinya, dan ini merupakan alasan yang kukuh untuk kaum Muslimin bersolat Zohor di rumah sebagai ganti kepada solat Jumaat, sehinggalah arahan tersebut dibatalkan.[12]

MUI mengingatkan agar sentiasa berperilaku dengan kehidupan yang sihat dari segi pemakanan dan sebagainya agar dapat mencegah virus ini dari terus merebak. Mereka juga memperingatkan agar memperbanyakkan doa dan zikir agar sentiasa sentiasa dilindungi dari virus ini.[13]

 

Pendapat Kami

Setelah meneliti pelbagai pandangan dan pendapat dari Badan Fatwa Dunia Yang Berautoriti dan juga pendapat tokoh ulama’, makanya kami kemukakan pendapat kami seperti berikut:

Kami akan kemukakan setiap satu persoalan berkaitan COVID-19 dalam jawapan al-Kafi Edisi Khas, dalam bentuk bersiri, insya Allah.

 

Dalil dan Hujah

Kami kemukakan di sini beberapa dalil dan hujah dalam menangani isu ini. Antaranya:

لَا تُلْقُوا۟ بِأَيْدِيكُمْ إِلَى ٱلتَّهْلُكَةِ

Maksudnya : “Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…”

Surah Al-Baqarah (195)

Al-Baghawi menjelaskan bahawa setiap perkara yang membawa kepada kebinasaan dalam agama mahupun dunia, maka ia termasuk dalam makna ayat ini.  (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 1/367)

وَلَا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ

Maksudnya : “…Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri…”

Surah al-Nisa (29)

Menurut al-Jassas, ayat ini mengandungi larangan daripada melakukan pembunuhan sama ada terhadap orang lain atau terhadap diri sendiri. (Lihat Ahkam al-Quran, 3/127).

Al-Maraghi berkata: Janganlah seseorang membunuh temannya. Gaya bahasa ini menanamkan kesan yang kuat bagi melarang perbuatan tersebut, selain menyedarkan betapa perlunya saling menolong, saling menanggung beban dan bersatu hati. Dalam sebuah hadith dinyatakan: “Kaum muslimin laksana satu tubuh.” Seorang yang membunuh orang lain akan dikenakan qisas atau hukum balas dan tindakan dirinya itu seolah-olah membunuh dirinya sendiri.

Oleh itu, al-Quran mengajarkan kepada kita bahawa tindakan jahat kepada orang lain sama dengan berbuat jahat kepada diri sendiri dan kepada sesama manusia, dan bukannya hanya dengan orang yang seagama sahaja atau yang sebangsa sahaja, atau yang sehaluan fahaman politik. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1170)

وَإِذَا جَآءَهُمْ أَمْرٌ مِّنَ ٱلْأَمْنِ أَوِ ٱلْخَوْفِ أَذَاعُوا۟ بِهِۦ ۖ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى ٱلرَّسُولِ وَإِلَىٰٓ أُو۟لِى ٱلْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ ٱلَّذِينَ يَسْتَنۢبِطُونَهُۥ مِنْهُمْ

Maksudnya : “Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada - "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka…”

Surah Al-Nisa’ (83)

Ayat ini adalah berkenaan bantahan dan penolakan terhadap orang  orang yang tergesa-gesa dalam pelbagai urusan sebelum memastikan kebenaran, lalu dia memberitakannya, menyiarkannya dan menyebarluaskannya sedangkan terkadang perkara itu tidak benar. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/360)

وَفِرَّ مِنْ الْمَجْذُومِ كَمَا تَفِرُّ مِنْ الْأَسَدِ

Maksudnya: “Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”

Sahih Al-Bukhari (5707)

 

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (10/159) berkata: Iyadh menyebut bahawa telah khilaf pelbagai athar berkenaan pesakit kusta. Apa yang datang daripada Jabir R.A bahawa Nabi SAW pernah makan bersama pesakit kusta dan baginda menyebut: "ثِقَةً بِاللَّهِ وَتَوَكُّلًا عَلَيْهِ " (Bergantung harap kepada Allah dan tawakkal kepada-Nya). Katanya (Iyadh) lagi: Saidina Umar dan sebahagian ulama salaf berpendapat bahawa hadis makan bersama itu dengan melihat bahawa perintah tersebut agar dijauhinya (pesakit kusta) telah dimansukhkan. Mereka yang berpendapat demikian termasuklah Isa bin Dinar dari kalangan ulama Maliki. Katanya lagi: Yang sahih dan dipegang oleh kebanyakan ulama serta diikuti bahawa tidak ada nasakh bahkan hendaklah menghimpun dua hadis dengan cara hadis perintah menjauhkannya dan lari daripadanya dengan maksud sunat dan sebagai ihtiyat (berhati-hati). Sedangkan hadis Rasulullah SAW makan bersama pesakit kusta memberi maksud hukumnya adalah harus.

الضَرَرُ يُزَالُ

Maksudnya: “Kemudaratan perlu dihilangkan.”

Yang mana termasuk juga di dalam kaedah ini menjauhkan diri dari tempat-tempat yang dijangkiti virus sebagai langkah menjaga nyawa.

Begitu juga kias kepada larangan Nabi SAW daripada menghadiri solat jemaah bagi  orang yang memakan bawang putih dan bawang kerana boleh menyebabkan ketidakselesaan kepada para jemaah. Kalau makanan yang berbau pun Nabi larang untuk hadir menyertai solat berjemaah apatah lagi mereka yang dijangkiti virus ataupun yang disyaki menghidapi virus tersebut.

 

Syor dan Cadangan

Pertama: Kepada pihak berkuasa

Antaranya:

Kedua: Kepada orang ramai

Antaranya:

 

Penutup

Kami telah kemukakan sejumlah doa berkenaan dengan harapan dan munajat kita kepada Allah agar dihindarkan daripada wabak COVID-19 serta penyakit yang kronik dan berjangkit. Antaranya:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”[i]

Riwayat Abu Daud (1554), Ahmad (13027), al-Nasa'ie (5493) dan Abu Ya'la (2897)

Kami mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan jutaan terima kasih “جزاكم الله خير الجزاء” kepada Kementerian Kesihatan Malaysia terutamanya mereka yang terlibat secara langsung dalam merawat dan membantu pesakit COVID-19 antaranya pegawai perubatan, pakar-pakar, nurse, attendant, pemandu ambulans dan lain-lain lagi yang bertungkus-lumus berhadapan dengan pesakit. Mereka adalah pejuang yang tidak didendang. Terima kasih.

Kami mengharapkan agar sama-samalah kita mengambil langkah proaktif dalam menangani isu wabak COVID-19. Antara yang paling mudah, kerap kali membasuh tangan serta membersihkan tubuh badan. Semoga Bayan Linnas pada kali ini memberi suntikan semangat kepada kita untuk sama-sama mengikut garis panduan yang telah dikemukakan. Amin.

 

 

Nota Hujung:

____________________

[1] Lihat: https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/02/17/first-malaysian-covid-19-patient-discharged , diakses pada 5 Mac 2020.

[2] Lihat: Kenyataan Akhbar Kementerian Kesihatan Malaysia, bertarikh 4 Mac 2020.

[3] Lihat: http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan-infografik

[4] Paru-paru berair atau pneumonia merujuk kepada semua jenis keadaan di mana air berkumpul dalam paru-paru. Ia berpunca dari pelbagai keadaan. Paru-paru berair merupakan sejenis penyakit radang paru-paru. Biasanya, ia digambarkan sebagai radang parenchyma/alveolar paru-paru dan cecair memenuhi alveolar luar biasa. (alveoli merupakan sak mikroskopik dipenuhi udara dalam paru-paru yang bertanggungjawab bagi menyerap oksigen dalam atmosfera Bumi.) Paru-paru berair boleh berpunca dari pelbagai punca, termasuk jangkitan oleh bakteria, virus, fungi, atau parasit, dan kimia atau kecederaan fizikal kepada paru-paru. Puncanya juga boleh secara tidak rasmi digambarkan sebagai idiopathic—iaitu, tidak diketahui—apabila punca jangkitan telah disingkirkan. (Lihat https://ms.wikipedia.org/wiki/Paru-paru_berair)

[5] Lihat: http://www.moh.gov.my/moh/press_releases/Kenyataan%20Akhbar%20DG%20COVID-19%20(4%20MAC%202020).pdf ; Coronavirus: Simptom, Punca dan Rawatan, https://pku.upm.edu.my/article/coronavirus_simptom_punca_dan_rawatan-55053, 27/1/2020

[6] Lihat: https://www.doctoroncall.com.my/pengenalan-coronavirus/komplikasi#show

[7] Lihat: http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/2019-ncov-wuhan

[8] Lihat: https://www.infosihat.gov.my/images/media_sihat/risalah/pdf/Risalah%20Novel%20Corona%202%20OL.pdf; Apa Punca Sebenar Terbentuknya Coronavirus Jenis Baru di China, https://iluminasi.com/bm/apakah-punca-sebenar-terciptanya-coronavirus-di-china.html, 25/1/2020; Pelajari Tentang Sejarah Wabak Coronavirus, MERS-CoV dan SARS-CoV, https://www.doctoroncall.com.my/pengenalan-coronavirus/sejarah#show; http://www.moh.gov.my/moh/resources/user_35/How_Does_The_Virus_Spread_(2).jpeg

[9]  Rujuk https://www.albayan.ae/across-the-uae/news-and-reports/2020-03-03-1.3793602

[10] Rujuk https://www.almasryalyoum.com/news/details/1476948

[11] Rujuk pautan http://www.nrttv.com/en/News.aspx?id=19891&MapID=1  dan https://www.rudaw.net/english/kurdistan/03032020

[12] Rujuk https://aboutislam.net/counseling/ask-the-scholar/prayer/is-it-permissible-to-avoid-congregational-prayers-due-to-coronavirus/

[13] Rujuk https://nasional.tempo.co/read/1314773/imbauan-komisi-fatwa-mui-untuk-antisipasi-wabah-virus-corona/full&view=ok

[i] Doa ini diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A. Beliau berkata:

كَانَ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: Adalah Nabi SAW berdoa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

(Ya Allah aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk).”

Riwayat Abu Daud (1554). Menurut Syeikh Syuaib al-Arna’uth, sanad hadith ini adalah sahih

Imam al-Khattabi menyatakan kita dituntut untuk memohon perlindungan daripada penyakit-penyakit ini kerana ia mencacatkan badan dan kekal kesannya serta sebahagiannya memberi kesan kepada akal. Penyakit-penyakit ini tidak sama dengan penyakit-penyakit lain yang mana ia tidak kekal seperti demam, pening dan seumpamanya yang mana ia adalah kaffarat (penghapus dosa) dan bukannya hukuman. (Lihat Ma’alim al-Sunan, 1/297)

Tambahan pula, penyakit gila adalah sesuatu penyakit yang menyebabkan hilangnya akal di mana akal adalah permulaan kepada kebaikan ilmu dan amal sehingga dikatakan ia (akal) lebih utama daripada ilmu.

Adapun penyakit kusta pula adalah penyakit yang menyebabkan badan menjadi hitam, lalu ia akan merosakkan anggota dan kemungkinan ia akan memakan anggota tersebut sehingga menyebabkan ia terputus daripada badan. Justeru, kita dituntut untuk memohon perlindungan dengan Allah daripada apa-apa yang boleh merosakkan batin kita seperti hilangnya akal serta apa-apa yang boleh mencacatkan zahir kita seperti penyakit kusta ini.

Maka dengan sebab itu, diumumkan (pada akhir doa) dari setiap penyakit yang membinasakan diri atau badan dengan menyebut penyakit-penyakit yang buruk. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 7/217/218)

Al-Tibi pula dalam menjelaskan hadis ini menyebut bahawa Nabi SAW tidak meminta berlindung secara mutlak dari segala penyakit kerana sebahagian penyakit ada yang tidak terlalu parah dan mengandungi banyak pahala jika dihadapi dengan sabar. Ini seperti demam, pening, sakit mata dan sebagainya. Baginda SAW hanya minta berlindung dari penyakit-penyakit yang kronik, yang berpanjangan, di mana menjadikan manusia menjauhinya seperti sopak, gila, kusta dan seumpamanya. (Lihat Syarh al-Tibi ‘ala Misykat al-Masabih, 6/1918)

Kami pernah bertanya kepada Syeikh Muhamad ‘Awwamah berkaitan makna “penyakit-penyakit yang buruk”. Menurutnya, ia adalah apa-apa sahaja penyakit teruk yang berbahaya seperti selsema burung, kanser dan sebagainya. Maka, virus korona yang sedang tular pada waktu ini juga boleh dimasukkan ke dalam penyakit-penyakit yang buruk sepertimana disebutkan di dalam hadith atau doa di atas. (Berdasarkan pertemuan di kediaman beliau di Istanbul, Turki pada 27/1/2020)

Lihat juga artikel di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bertajuk Irsyad al-Hadith Siri ke-465: Maksud Doa Tolak Waba’ (Siri 3) untuk bacaan lanjut.