AL-KAFI #1808 : ADAKAH BOLEH MENUNAIKAN SOLAT TASBIH SELEPAS MAGHRIB?

ak1808

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Saya ingin bertanya. Adakah boleh melakukan solat sunat tasbih selepas maghrib? Adakah ada waktu khusus untuk melakukan solat sunat tasbih? Saya pernah bertanya kepada seorang imam, dia kata tak boleh buat solat sunat tasbih selepas maghrib. Mohon penjelasan dan pencerahan ustaz. Terima kasih ustaz.

Ringkasan jawapan :

Solat sunat tasbih boleh dilakukan pada bila-bila masa melainkan pada waktu yang diharamkan. Ia dikategorikan sebagai solat sunat mutlak yang tidak terikat dengan waktu atau sebab tertentu. Justeru, ia boleh dilakukan selepas maghrib. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk memperbanyakkan solat sunat agar ia menjadi cahaya untuk kita ketika berada di kubur kelak.

Huraian jawapan :

Solat tasbih adalah antara solat sunat yang digalakkan untuk dilakukan walaupun sekali seumur hidup. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas RA. Rasulullah SAW bersabda :

يَا عَبَّاسُ يَا عَمَّاهُ أَلَا أُعْطِيكَ أَلَا أَمْنَحُكَ أَلَا أَحْبُوكَ أَلَا أَفْعَلُ لَكَ عَشْرَ خِصَالٍ إِذَا أَنْتَ فَعَلْتَ ذَلِكَ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ ذَنْبَكَ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ وَقَدِيمَهُ وَحَدِيثَهُ وَخَطَأَهُ وَعَمْدَهُ وَصَغِيرَهُ وَكَبِيرَهُ وَسِرَّهُ وَعَلَانِيَتَهُ عَشْرُ خِصَالٍ أَنْ تُصَلِّيَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ تَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ فَإِذَا فَرَغْتَ مِنْ الْقِرَاءَةِ فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ قُلْتَ وَأَنْتَ قَائِمٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ خَمْسَ عَشْرَةَ مَرَّةً ثُمَّ تَرْكَعُ فَتَقُولُ وَأَنْتَ رَاكِعٌ عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ الرُّكُوعِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَهْوِي سَاجِدًا فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ سَاجِدٌ عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَسْجُدُ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا فَذَلِكَ خَمْسَةٌ وَسَبْعُونَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ تَفْعَلُ فِي أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ تُصَلِّيَهَا فِي كُلِّ يَوْمٍ مَرَّةً فَافْعَلْ فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَفِي كُلِّ جُمُعَةٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ شَهْرٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي عُمُرِكَ مَرَّةً

Maksudnya : “Wahai bapa saudaraku Abbas, Mahukah aku berikan hadiah? Mahukah aku kurniakan kamu satu pemberian? Mahukah aku memberkati kamu? Mahukah aku lakukan sesuatu untukmu 10 perkara yang mana jika kamu lakukan, Allah akan mengampunkan dosa kamu yang pertama dan terakhir, yang terdahulu dan yang terkemudian,yang sengaja dan yang tidak sengaja serta dosa yang rahsia dan yang dilakukan secara terang-terangan. Sepuluh perkara tersebut adalah kamu solat sebanyak 4 rakaat. Kamu baca pada setiap rakaat al-Fatihah dan surah. Apabila kamu sudah selesai membacanya di rakaat pertama, dan ketika itu kamu masih berdiri maka ucapkanlah : Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahuakbar 15 kali kemudian kamu ruku’ dan bacalah (zikir tersebut) sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangkit dari ruku’ dan bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian kamu sujud dan bacalah 10 kali. Kemudian kamu bangit dari sujud dan bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian kamu sujud semula dan bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian kamu bangkit dari sujud dan bacalah ia sebanyak 10 kali. Kesemuanya adalah 75 kali yang kamu lakukan dalam setiap rakaat. Kalau kamu mampu untuk menunaikannya maka lakukanlah sehari sekali. Jika tidak mampu maka lakukan pada setiap hari Jumaat. Sekiranya tidak mampu juga, maka lakukanlah sebulan sekali. Jika tidak mempu, lakukanlah setahun sekali.”[1]

Secara ringkas, para ulama menjelaskan bahawa solat tasbih adalah antara solat sunat yang digalakkan untuk dilakukan.[2] Penjelasan secara terperinci berkenaan hukum solat Tasbih telah dimuatkan dalam ruangan Al-Kafi siri ke 723.[3]

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, solat tasbih dianggap sebagai solat sunat yang tidak terikat dengan sebab atau waktu tertentu. Dalam erti kata lain, ia termasuk dalam kategori solat sunat mutlak. Justeru, ia boleh dilakukan pada bila-bila masa termasuk selepas maghrib melainkan pada waktu yang diharamkan. Ibn Hajar Al-Haitami pernah ditanya berkenaan solat tasbih sama ada ia adalah solat sunat mutlak atau solat sunat yang dilakukan kerana sebab atau waktu tertentu? Beliau menjawab :

‌الذي ‌يظهر ‌من ‌كلامهم ‌أنها ‌من ‌النفل ‌المطلق، فتحرم في وقت الكراهة ووجه كونها من المطلق أنه الذي لا يتقيد بوقت ولا سبب، وهذه كذلك، لندبها كل وقت من ليل أو نهار كما صرحوا به ما عدا وقت الكراهة لحرمتها فيه.

“Yang jelas pada ucapan para ulama, solat tasbih tergolongan dalam solat sunat mutlak. Ia tidak boleh untuk ditunaikan pada waktu haram. Antara sebab ia digolongkan dalam solat sunat mutlak adalah kerana ia tidak terikat dengan waktu mahupun sebab tertentu. Ia sunat dilakukan pada setiap waktu sama ada malam atau siang melainkan waktu yang diharamkan.”[4]

Imam Syamsuddin Al-Ramli juga menyatakan ia boleh dilakukan sebanyak empat rakaat satu salam. Cara ini lebih baik dilakukan pada waktu siang. Ia juga boleh dilakukan sebanyak empat rakaat dua salam. Cara seperti ini lebih elok dilakukan pada waktu malam.[5]

Kesimpulannya, solat sunat tasbih boleh dilakukan pada bila-bila masa melainkan pada waktu yang diharamkan. Ia dikategorikan sebagai solat sunat mutlak yang tidak terikat dengan waktu atau sebab tertentu. Justeru, ia boleh dilakukan selepas maghrib.

 

Nota hujung :

[1] Riwayat Abu Daud no 1105, Ibnu Majah no 1377 dan al-Tirmizi no 479.

[2] Al-Khatib Al-Syarbini, Muhammad Bin Ahmad, Mughni Al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz Al-Minhaj(1994),Dar Al-Kutub Al-‘Ilmiyah, j.1 h.458 ; Ibn ‘Abidin, Muhammad Amin Bin Umar, Radd Al-Muhtar ‘ala Al-Dur Al-Mukhtar(1966), Dar Al-Fikr, Beirut, j.2 h.27 ; Al-Sowi Al-Maliki, Ahmad Bin Muhammad, Bulghah Al-Salik li Aqrab Al-Masalik, Dar Al-Ma’arif, j.4 h.788.

[3] Rujuk https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2356-al-kafi-723-hukum-solat-tasbih

[4] Al-Bakri Al-Dimyati, Abu Bakar Uthman Bin Muhammad Syata, ‘Ianah Al-Talibin ‘ala Hilli Alfaz Fath Al-Mu’in(1997), Dar Al-Fikr, Beirut, j.1 h.301

[5] Syamsuddin Al-Ramli, Muhammad Bin Abu Al-Abbas Ahmad, Nihayah Al-Muhtaj ila Syarh Al-Minhaj (1984), Dar Al-Fikr, Beirut, j.2 h.123.