Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #723 : HUKUM SOLAT TASBIH

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t. Yang saya kasihi S.S. Datuk Dr Zulkifli.Mohon sedikit pencerahan tentang solat sunat tasbih.Tempat saya tinggal nak buat solat tersebut. Tetapi di dalam group whatsapp ada yang membantah kerana ianya amalan bid'ah  selain sandaran dalil tu dikatakan adalah hadis mungkar.Mohon pencerahan Syukran.

 

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Hadis-hadis berkenaan solat Tasbih diriwayatkan melalui beberapa jalur sanad. Antaranya yang diriwayatkan oleh Abu Daud,Ibnu Majah dan al-Tirmizi menerusi Musa Bin Abdul Aziz daripada Hakam Bin Aban daripada Ikrimah daripada Ibnu Abbas r.a bahawa Rasulullah saw bersabda :

يَا عَبَّاسُ يَا عَمَّاهُ أَلَا أُعْطِيكَ أَلَا أَمْنَحُكَ أَلَا أَحْبُوكَ أَلَا أَفْعَلُ لَكَ عَشْرَ خِصَالٍ إِذَا أَنْتَ فَعَلْتَ ذَلِكَ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ ذَنْبَكَ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ وَقَدِيمَهُ وَحَدِيثَهُ وَخَطَأَهُ وَعَمْدَهُ وَصَغِيرَهُ وَكَبِيرَهُ وَسِرَّهُ وَعَلَانِيَتَهُ عَشْرُ خِصَالٍ أَنْ تُصَلِّيَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ تَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ وَسُورَةٍ فَإِذَا فَرَغْتَ مِنْ الْقِرَاءَةِ فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ قُلْتَ وَأَنْتَ قَائِمٌ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ خَمْسَ عَشْرَةَ مَرَّةً ثُمَّ تَرْكَعُ فَتَقُولُ وَأَنْتَ رَاكِعٌ عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ الرُّكُوعِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَهْوِي سَاجِدًا فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ سَاجِدٌ عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَسْجُدُ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنْ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا فَذَلِكَ خَمْسَةٌ وَسَبْعُونَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ تَفْعَلُ فِي أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ تُصَلِّيَهَا فِي كُلِّ يَوْمٍ مَرَّةً فَافْعَلْ فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَفِي كُلِّ جُمُعَةٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ شَهْرٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي عُمُرِكَ مَرَّةً

 

Maksudnya :” Wahai pak cikku Abbas, Aku ingin memberikan engkau. Aku sangat mencintai engkau. Aku ingin engkau melakukan sepuluh sifat yang mana jika engkau melakukannya Allah akan mengampunkan dosa engkau  yang pertama dan terakhir, yang terdahulu dan yang terkemudian,yang sengaja dan yang tidak sengaja serta (dosa) yang rahsia dan yang terang-terangan. Sepuluh sifat tersebut adalah engkau solat sebanyak 4 rakaat.. Engkau baca pada setiap rakaat al-Fatihah dan surah. Apabila engkau sudah selesai membacanya di rakaat pertama, dan ketika itu engkau masih berdiri maka ucapkanlah : Subhanallah Walhamdulillah Walaa Ilaha Illallah Wallahuakbar 15 kali kemudian engkau ruku’ dan bacalah (zikir tersebut) sebanyak 10 kali. Kemudian engkau bangkit dari ruku’ dan bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian engkau sujud dan bacalah 10 kali. Kemudian engkau bangit dari sujud bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian engkau sujud semula,bacalah sebanyak 10 kali. Kemudian engkau bangkit dari sujud bacalah ia sebanyak 10 kali. Kesemuanya adalah 75 kali yang engkau lakukan sebanyak 4 rakaat. Kalau engkau mampu untuk menunaikannya maka lakukanlah sehari sekali. Jika tidak mampu maka lakukan pada setiap hari Jumaat.Kalau tidak mempu juga lakukanlah sebulan sekali. Jika tidak mempu lakukanlah setahun sekali.”

Riwayat Abu Daud (1105),Ibnu Majah (1377) dan al-Tirmizi (479)

Hadis ini juga diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Abu Rafi’ dan Ibnu Umar. Para ulama berbeza pandangan mengenai status hadis ini. Antaranya yang melemahnya hadis ini adalah Imam Ahmad Bin Hanbal, Imam al-Tirmizi dan juga al-Uqaili.

Kata Abu Isa (iaitu al-Tirmizi :”Telah diriwayatkan daripada Nabi saw lebih dari satu hadis berkenaan solat Tasbih. Namun tiada satu tentangnya yang sahih.”

Rujuk Jami’ al-Tirmizi (1/299)

Dari kalangan Mutaakhirin ada yang turut melemahkan hadis yang telah disebutkan.Antaranya Ibn al-Arabi al-Maliki,Ibnu Taimiyyah dan al-Mizzi. Ibnu Jauzi pergi lebih jauh dari itu. Beliau mengatakan bahawa hadis berkenaan solat Tasbih adalah palsu. Ada juga para ulama yang mensahihkan dan menghasankan hadis berkaitan solat Tasbih seperti Abu Musa al-Madini, Ibn al-Salah, al-‘Alai al-Sayuti dan lain-lain.

Ibnu al-Salah menyatakan di dalam fatwanya ketika ditanya tentang solat Tasbih :

“Ya, ,mereka akan mendapat pahala jika ikhlas melakukannya. Solat tersebut adalah sunat bukannya Bidaah.Ianya diriwayatkan daripada Rasulullah saw. Ia adalah hadis yang hasan yang dijadikan amalan dan pegangan khususnya berkaitan permasalahan ibadah dan kelebihan (fadhail)”

Rujuk Fatawa wa Masail Ibn al-Salah (2/235)

Bahkan Sheikh al-Albani menyatakan bahawa hadis berkenaan adalah hasan.Imam al-Nawawi mempunyai dua pandangan yang berbeza. Di dalam kitab al-Azkar, beliau mensahihkan hadis tersebut. Manakala di dalam kitab al-Majmu beliau mendaifkan hadis tersebut. Kata beliau di dalam al-Majmu’:

“Di dalam keharusan (solat Tasbih) tersebut ada pertikaian. Kerana hadis yang ada adalah hadis yang daif (lemah). Juga di dalam solat sunat Tasbih berbeza dengan solat yang biasa dilakukan. Maka seharusnya tidak dilakukan dan hadis yang ada tidak thabit.”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab ( 4/54)

Maka dari sini, dapat kita lihat perbezaan para ulama dalam mensahihkan dan mendaifkan hadis tersebut. Semestinya, perbezaan di dalam menghukum terhadap hadis menatijahkan perbezaan berkenaan hukum melakukan solat Tasbih di kalangan fuqaha.Bagi kumpulan yang melemahkan hadis tersebut maka mereka menyatakan bahawa ada bahawa solat Tasbih tidak sunat. Bagi yang mensahihkan dan menghasankan hadis tersebut maka mereka melihat akan keharusan solat tersebut. Berikut kami naqalkan pandangan ulama dari empat mazhab berkenaan solat Tasbih :

  • Kata Ibnu Abidin yang bermazhab Hanafi : “Hadis berkenaan solat Tasbih adalah hadis hasan kerana banyak jalur riwayatnya. Dan sesiapa yang mendakwa bahawa hadis berkenaan palsu maka dia terkeliru. Di dalamnya juga terdapat pahala yang tidak terhenti. Benarlah kata para Muhaqqiqin bahawa tiada yang mendengar tentang pahala solat Tasbih dan tidak ada yang meninggalkannya melainkan orang yang memperlekehkan agama dan mengatakan ianya tidak sunat kerana berbeza dengan solat yang biasa dilakukan. Hadis apabila telah sampai darjat hasan maka ianya sabit.”

Rujuk Hasyiah Ibnu Abidin (2/27)

 

  • Kata al-Sowi yang bermazhab Maliki : “ Dan sifat solat Tasbih yang Nabi saw ajarkan kepada pak ciknya, Abbas dijadikan sebagai wirid harian (amalan) oleh para solihin. Sesiapa yang melakukannya sekali seumur hidup maka dia akan masuk syurga tanpa hisab.”

Hasyiah al-Sowi ‘ala Syarh al-saghir (11/332)

 

  • Al-Khatib al-Syarbini yang bermazhab Syafie menyatakan :” Dan apa yang dinyatakan (maka dapat difahami) bahawa ianya adalah sunat yang muktamad seperti mana yang disebutkan oleh Ibnu al-Salah dan lainnya.”

 

Rujuk Mughni al-Muhtaj (1/224)

 

  • Imam Ahmad dan para ulama bermazhab Hanbali menyatakan bahawa solat sunat tidak sunat. Namun Ibnu Qudamah, seorang tokoh besar di dalam mazhab Hanbali menyatakan bahawa ianya adalah harus. Beliau menyebut :

 “Imam Ahmad tidak mensahihkan hadis berkenaan solat Tasbih bahkan beliau tidak melihat bahawa ianya harus. Akan tetapi jika dia ingin lakukan maka tidak mengapa kerana solat-solat sunat dan kelebihan amalan tidak disyaratkan padanya hadis sohih.”

Rujuk al-Mughni (3/324)

Kesimpulannya, berdasarkan perbahasan di atas didapati bahawa terdapat khilaf ulama mengenai kesunatan solat tasbih berpunca daripada perbezaan pendapat mengenai status hadis solat tasbih. Walau bgaimnpun jumhur ulama berpendapat akan kesunatannya. Oleh yg demikian kami menasihatkan dalam isu ini agar kita berlapang dada dan tidak menjadikan ia sebagai ruang untuk bid'ah mmbid'ah antara satu sama lain. Kaedah menyebut,"tiada bid'ah membid'ah dalam perkara khilaf (yang muktabar)". Wallahu a'lam