Seminggu dua ini, kami mendengar beberapa isu tentang bayi yang begitu tragis sekali sama ada disebabkan kematian atau dibuang seperti sampah. Isu seperti ini amat menyedihkan seolah-olah kita lebih teruk daripada hayawan bahimiyyah. Ia melambangkan seolah-olah tiada akal dan perasaan sementelahan lagi sifat rahmah dan kasih sayang.
Lebih parah lagi, sifat insaniyatul insan atau kemanusiaan dalam diri manusia sudah hilang. Saya yakin apabila disirami dengan ilmu, makrifah, iman dan taubat, maka dosa yang pertama tidak akan melahirkan dosa-dosa seterusnya.
Marilah sama-sama kita insafi firman Allah SWT:
وَإِذَا الْمَوْءُودَةُ سُئِلَتْ ﴿٨﴾ بِأَيِّ ذَنبٍ قُتِلَتْ
Maksudnya: “Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup: ditanya, - Dengan dosa apakah ia dibunuh?”
(Surah al-Takwir: 8-9)
Syeikh al-Maraghi berkata: Apabila anak-anak perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya di hadapan penguburnya tentang sebab mereka dibunuh. Pertanyaan yang demikian itu bermaksud agar jawapannya memberatkan lagi penguburnya kerana anak perempuan akan menjawab, “Tanpa apa-apa dosa.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7453)
Syed Qutb berkata: Kerendahan jiwa manusia di zaman Jahiliyyah telah mengakibatkan tersebarnya adat menanam anak perempuan hidup-hidup kerana takut malu dan takut miskin. Adat ini diceritakan al-Quran sebagai merakamkan keburukan zaman Jahiliyyah dan kerana di zaman inilah Islam datang menyelamatkan umat Arab dari jurangnya yang dalam dan mengangkatkan darjat umat manusia seluruhnya. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 17/185)
Seolah-olah pada masa kini telah berlaku pengulangan adat Jahiliyyah dalam masyarakat yang dianggap moden ini. Ini kerana telah muflis akhlak dan bankrap nilai serta hilangnya maruah dan jati diri insani.
Justeru, marilah sama-sama kita berganding bahu membanteras isu pembuangan bayi dan penderaannya dengan menjadikan setiap anggota masyarakat sebagai mata telinga antara satu sama lain yang saling bantu membantu dengan penuh kasih sayang dan harmoni.
Semoga kita diberi kefahaman yang jelas dalam melayari bahtera kehidupan dengan kasih sayang dan ihsani. Justeru, kasihilah anak-anak kita.