اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1960: MEMBACA AYAT 9 SURAH AL-HIJR SEBELUM MEMBACA AL-QURAN DAPAT MENGELAKKAN DARIPADA MELAKUKAN KESILAPAN BACAAN?

MEMBACA_AYAT_9_SURAH_AL-HIJR_SEBELUM_MEMBACA_AL-QURAN_DAPAT_MENGELAKKAN_DARIPADA_MELAKUKAN_KESILAPAN_BACAAN.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum wrt.wbt. Saya ada mendengar kalau kita baca ayat “إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ” sebelum baca al-Quran dapat elakkan daripada melakukan kesalahan dalam bacaan al-Quran ? Mohon pencerahan daripada pihak SS Mufti benarkah dakwaan tersebut.

Ringkasan Jawapan

Membaca zikir atau doa yang dimaksudkan tidak menjamin lidah seseorang daripada melakukan kesalahan dalam bacaannya. Hal ini kerana bacaan al-Quran yang baik diperolehi dengan mempelajari ilmu tajwid, sebutan makhraj dan membaca al-Quran secara langsung di hadapan guru.

Huraian Jawapan

Merujuk kepada persoalan berkenaan, tidak dijumpai nas daripada mana-mana sumber hukum Islam yang menyebutkan bahawa membaca ayat 9 daripada surah al-Hijr sebelum membaca al-Quran dapat menghindarkan seseorang daripada melakukan kesilapan dalam bacaan al-Quran.

Sebenarnya, ayat 9 daripada surah al-Hijr merupakan ayat yang menjelaskan bahawa Allah SWT yang menurunkan al-Quran maka Dia jugalah yang akan memeliharanya daripada segala penyelewengan. Hal ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Tabari dalam tafsirnya bahawa yang Allah SWT maksudkan pada ayat tersebut ialah:

وإنا للقرآن لحافظون من أن يزاد فيه باطل مَّا ليس منه، أو ينقص منه ما هو منه من أحكامه وحدوده وفرائضه

Maksudnya: Sesungguhnya kamilah yang menjaga al-Quran daripada penambahan perkara-perkara batil yang bukan daripadanya atau pengurangan yang merupakan sebahagian daripada hukum-hakam, hudud dan kefarduannya.[1]

Secara asasnya, bagi mengelakkan berlakunya kesalahan ketika membaca al-Quran adalah dengan mempelajari ilmu tajwid. Kemudian, perlu dipraktikkan di hadapan guru secara bersemuka untuk mendapatkan sebutan makhraj yang tepat.

Firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلاً

Maksudnya: dan bacalah Al-Quran dengan "Tartil".

Surah al-Muzammil (73: 4)

Imam al-Mawardi menjelaskan ayat suci ini dengan menukilkan tafsiran Ibn Bahr, kata beliau:

أن تقرأه على نظمه وتواليه , لا تغير لفظاً ولا تقدم مؤخراً مأخوذ من ترتيل الأسنان إذا استوى نبتها وحسن انتظامها

Maksudnya: Hendaklah kamu membaca al-Quran mengikut aturannya dan susunannya, jangan merubah lafaz dan jangan mendahulukan ayat yang akhir pada yang awal, ibarat aturan gigi yang kemas apabila asasnya sama dan tersusun rapi.[2]

Bahkan, Imam Ibn al-Jazari menyebutkan:

فَالتَّجْوِيدُ هُوَ حِلْيَةُ التِّلَاوَةِ، وَزِينَةُ الْقِرَاءَةِ، وَهُوَ إِعْطَاءُ الْحُرُوفِ حُقُوقَهَا وَتَرْتِيبُهَا مَرَاتِبَهَا، وَرَدُّ الْحَرْفِ إِلَى مَخْرَجِهِ وَأَصْلِهِ، وَإِلْحَاقُهُ بِنَظِيرِهِ وَتَصْحِيحُ لَفْظِهِ وَتَلْطِيفُ النُّطْقِ بِهِ عَلَى حَالِ صِيغَتِهِ، وَكَمَالِ هَيْئَتِهِ ; مِنْ غَيْرِ إِسْرَافٍ وَلا تَعَسُّفٍ وَلا إِفْرَاطٍ وَلا تَكَلُّفٍ

Maksudnya: Tajwid adalah perhiasan bagi tilawah (bacaan) iaitu memberikan hak-hak huruf dan susunan mereka berdasarkan kedudukan mereka, meletakkan sesuatu huruf pada tempat keluarnya dan pada asalnya, melampirkannya dengan apa yang seumpamanya, membetulkan lafaznya, melembutkan sebutannya berdasarkan kepada bentuknya yang sempurna tanpa melampaui batas, berlebih lebihan dan terlalu membebankan.[3]

Oleh itu, membaca sekian-sekian doa semata-mata tanpa mempelajari ilmu-ilmu berkaitan bacaan al-Quran tidak dapat menjaga lidah seseorang daripada melakukan kesalahan dalam bacaannya. Hal ini kerana bacaan al-Quran yang baik diperolehi dengan mempelajari ilmu tajwid, sebutan makhraj dan membaca al-Quran secara langsung dihadapan guru. Wallahua’lam.

 

Rujukan: 

[1] Abu Jaʻfar al-Tabari. (2000). Jamiʻ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran. ed. Ahmad Muhammad Syakir. Beirut: Mu’assasah al-Risalah. 17: 68.

[2] Al-Mawardi. (t.t.). Tafsir al-Mawardi. ed. Al-Sayyid Ibn al-Maqsud. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah. 6: 126.

[3] Al-Jazari. (t.t.). al-Nasyr fi al-Qira’at al-ʻAsyr. ed. Ali Muhammad Dibaʻ. Al-Matbaʻah al-Tijariah al-Kubra. 1: 212.