اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1972: HUKUM MENDAHULUKAN DUIT SENDIRI UNTUK MENCAIRKAN HARTA PUSAKA KEMUDIAN MENUNTUTNYA SEMULA

HUKUM_MENDAHULUKAN_DUIT_SENDIRI_UNTUK_MENCAIRKAN_HARTA_PUSAKA_KEMUDIAN_MENUNTUTNYA_SEMULA.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, adakah boleh saya mendahulukan duit saya sendiri bagi tujuan mencairkan harta pusaka dan kemudiannya saya menuntutnya semula? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum mendahulukan duit sendiri bagi tujuan mencairkan harta pusaka adalah wajib agar harta tersebut dapat dicairkan seterusnya diagihkan kepada para warisnya yang berhak. Pada masa yang sama, harus hukumnya menuntut semula wang yang didahulukan daripada harta peninggalan si mati sebagai ganti kepada orang yang mendahulukan wang tersebut.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا ، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya:Bahagikanlah harta perwarisan kepada mereka yang berhak dalam kalangan ahli waris. Sekiranya ada yang berbaki, maka yang lelaki dalam kalangan kamulah yang lebih berhak.”

Riwayat al-Bukhari (6351) dan Muslim (1615)

Imam al-Nawawi berkata bahawa ayat ini menunjukkan suruhan agar membahagikan harta peninggalan kepada para warisnya yang berhak berpandukan kepada kitab Allah SWT iaitu al-Quran. Lebihan harta tersebut pula perlulah diberikan kepada lelaki yang terutama, dan para ulama berkata bahawa ia bermaksud diberikan kepada lelaki yang terdekat[1].

Di Malaysia, harta pusaka terbahagi kepada dua jenis iaitu harta alih seperti wang simpanan, emas, saham, kenderaan dan juga harta tidak alih seperti rumah, tanah, bangunan dan seumpamanya. Apabila berlakunya kematian, kesemua harta alih dan tidak alihnya termasuklah semua akaun simpanan si mati akan dibekukan oleh undang-undang di bawah Akta Probate dan Pentadbiran 1959 (Disemak 1972)[2]. Tujuan pembekuan ini adalah untuk membenarkan proses undang-undang berjalan seperti tujuan menyelesaikan semua hutang piutang si mati jika ada dan proses pembahagian harta pusaka itu sendiri.

Oleh yang demikian, para waris perlu melalui proses perundangan yang melibatkan tuntutan surat kuasa mentadbir dan sebagainya bagi tujuan mencairkan harta pusaka sebelum ia dibahagikan kepada ahli warisnya yang berhak. Meskipun begitu, proses ini turut memakan belanja wang ringgit bergantung kepada institusi yang terlibat dalam pengurusan dan pentadbiran harta pusaka Islam sama ada Mahkamah Tinggi, Pejabat Pusaka Kecil atau Amanah Raya Berhad. Hal yang demikian termasuk juga sekiranya waris melantik pentadbir luar bagi menguruskan proses pembahagian pusaka ini.

Sehubungan dengan itu, harta pusaka si mati yang ada boleh digunakan bagi tujuan melancarkan proses pencairan harta pusaka lain yang dibekukan. Namun, sekiranya tiada tersisa harta pusaka yang tidak dibekukan yakni semua harta yang ditinggalkan tersebut tidak boleh diteruskan untuk urusan pembahagian, maka para waris perlulah mendahulukan duit mereka sama ada secara bersama atau secara individu bagi menjalankan proses pencairan tersebut. Hal ini kerana, ia memenuhi tuntutan agar menyegerakan proses pembahagian harta pusaka oleh kerana bimbang berlakunya isu-isu mendatang seperti kematian berlapis, harta pusaka tidak terurus dan terbiar, takut memakan harta dengan cara yang batil, kehilangan dokumen penting dan lain-lain sebab lagi.

Dalam masa yang sama, duit pendahuluan yang dikemukakan itu perlulah dimaklumkan kepada seluruh ahli waris bahawa ia merupakan hutang bagi proses ini sahaja. Dengan demikian, setelah harta pusaka itu dicairkan, maka waris yang mendahulukan duitnya boleh menuntut semula hutang itu dan ia ditolak daripada harta peninggalan si mati. Pemakluman ini juga adalah bagi mengelakkan berlakunya salah faham dalam kalangan ahli waris dan seterusnya tidaklah menyukarkan proses tuntutan semula wang pendahuluan tersebut.

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ‎﴿٢٩﴾‏

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

Surah al-Nisa’ (29)

Lantaran itu, mendahulukan duit tersebut perlulah dilaksanakan agar kewajipan terakhir bagi pengurusan harta pusaka dapat dilaksanakan dengan sempurna. Ini bertepatan dengan kaedah Usul Fiqh:

ما لا يتم الواجب إلا به فهو واجب

Maksudnya: “Sesuatu kewajipan yang tidak sempurna melainkan dengannya, maka ia wajib. / Sesuatu perkara akan menjadi wajib apabila melalui wasilahnya sahaja objektif hukum (wajib) boleh tercapai.”

Kesimpulannya, sekiranya kesemua harta peninggalan si mati telah dibekukan dan tiada harta lain yang boleh digunakan untuk mencairkan harta pusaka si mati, maka hukum mendahulukan duit sendiri bagi tujuan tersebut adalah wajib agar proses pembahagian pusaka kepada para warisnya yang berhak boleh dilaksanakan. Pada masa yang sama, harus hukumnya menuntut semula wang yang didahulukan daripada harta peninggalan si mati sebagai ganti kepada orang yang mendahulukan wang tersebut.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim bin al-Hajjaj, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, cetakan ke-2, 1392H), 11/53.

(أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ) وَفِي رِوَايَةٍ فَمَا تَرَكَتِ الْفَرَائِضُ فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ وَفِي رِوَايَةٍ اقْسِمُوا الْمَالَ بَيْنَ أَهْلِ الْفَرَائِضِ عَلَى كِتَابِ اللَّهِ فَمَا تَرَكَتِ الْفَرَائِضُ فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ قَالَ الْعُلَمَاءُ الْمُرَادُ بِأَوْلَى رَجُلٍ أَقْرَبُ رَجُلٍ مَأْخُوذٌ مِنَ الْوَلْيِ بِإِسْكَانِ اللَّامِ عَلَى وَزْنِ الرَّمْيِ وَهُوَ الْقُرْبُ وَلَيْسَ الْمُرَادُ بِأَوْلَى هُنَا أَحَقَّ بِخِلَافِ قَوْلِهِمْ الرَّجُلُ أَوْلَى بِمَالِهِ لِأَنَّهُ لَوْ حُمِلَ هنا على أحق لخلى عَنِ الْفَائِدَةِ لِأَنَّا لَا نَدْرِي مَنْ هُوَ الْأَحَقُّ

[2] Akta Probet dan Pentadbiran 1959.

Where a person dies, leaving property in which he had no beneficial interest on his own account, and does not leave a representative who is able and willing to act, letters of administration, limited to that property, may be granted to the person beneficially interested in the property, or to some other person on his behalf.