اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1978: ADAKAH SOLAT DIWAJIBKAN SEBELUM PERISTIWA ISRAK?

ADAKAH_SOLAT_DIWAJIBKAN_SEBELUM_PERISTIWA_ISRAK.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum SS Datuk, di sini saya ingin bertanya soalan berkenaan dengan solat. Seperti yang kita ketahui bahawa perintah solat kepada umat Islam setelah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Jadi soalannya di sini adakah sebelum peristiwa ini ibadat solat tidak diwajibkan dan bagaimana pula keadaan solat sebelum diri peristiwa berkenaan. Mohon pencerahan daripada Datuk dan para asatizah. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Kewajipan solat bermula semenjak Baginda Rasulullah SAW menerima wahyu pertama lagi iaitu sebelum dari peristiwa Israk dan Mikraj serta penghijrahan Baginda Rasulullah SAW ke kota Madinah. Namun solat ketika itu hanya dikerjakan dua rakaat pada awal pagi dan dua rakaat pada waktu senja. Adapun setelah berlakunya Israk dan Mikraj umat Islam diwajibkan untuk mengerja lima waktu solat fardu.

WallahuA’lam..

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah tuhan semesta alam selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Kewajipan untuk mengerjakan lima waktu solat fardu ke atas umat Islam setelah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj. Pensyariatan ini telah dirakamkan di dalam riwayat yang panjang serta masyhur berkenaan peristiwa agung ini yang mana pada akhirnya diwajibkan ke atas umat Islam sebanyak lima waktu sebagai mana dalam sabdanya:

فَقَالَ: هِيَ خَمْسٌ، وَهِيَ خَمْسُونَ، لَا يُبَدَّلُ القَوْلُ لَدَيَّ

Maksudnya: “Allah SWT berfirman: Lima waktu dan ia sebenarnya menyamai 50 waktu solat. keputusan ini tidak berubah di sisi-Ku.”

Riwayat Bukhari (349)

Berdasarkan riwayat di atas, dapat difahami bahawa solat fardu yang wajib didirikan oleh umat Islam ialah sebanyak lima waktu. Imam Badr al-Din al-‘Aini turut menjelaskan bahawa Allah SWT memerintahkan untuk mengerjakan solat fardu sebanyak 50 waktu namun atas sifat rahmat-Nya umat Islam diwajibkan untuk mengerja sebanyak lima waktu.[1]

Namun begitu, ini bukan bermaksud tiada perintah dan kewajipan solat sebelum daripada peristiwa berkenaan kerana pensyariatan solat bermula semenjak nabi SAW menjalankan dakwahnya di kota Makkah lagi. Bahkan terdapat firman Allah SWT yang menyatakan beberapa keadaan ‌ berkenaan solat yang berbunyi:

فَاصْبِرْ ‌عَلَى ‌مَا ‌يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ

Maksudnya: “Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam.”

Surah Qaf (39)

Ibn Kathir mentafsirkan maksud ayat “bertasbihlah sambil memuji tuhanmu terutama sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam” ialah merujuk kepada kefarduan solat sebelum peristiwa Israk Mikraj ialah dua kali iaitu sebelum matahari terbit dan sebelum matahari terbenam dan ia diwajibkan ke atas nabi dan umatnya ketika itu.[2]

Selain itu, terdapat juga riwayat lain yang menyatakan bahawa Nabi SAW mengerjakan solat semenjak Baginda Rasulullah SAW menerima wahyu yang pertama lagi. Perkara ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya:

أَنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَاهُ فِي أَوَّلِ مَا أُوحِيَ إِلَيْهِ، ‌فَعَلَّمَهُ ‌الْوُضُوءَ ‌وَالصَّلَاةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Jibril AS datang kepada Rasul ketika menyampaikan wahyu pertama dan mengajarkan Rasul SAW wuduk dan solat.”

Riwayat Ahmad (17480)

Namun begitu, bilangan dan rakaat solat sebelum berlakunya peristiwa Israk Mikraj adalah berbeza iaitu Nabi SAW mengerjakan solat sebanyak dua rakaat pada awal pagi dan di akhir siang hari.[3]

Begitu juga yang dikatakan oleh al-Harabi yang mana ibadat solat sebelum peristiwa Israk ialah solat sebelum terbit dan terbenam matahari.[4] Oleh yang demikian, jelas serta dapat difahami bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan permulaan kewajipan solat fardu lima waktu, manakala sebelum dari peristiwa berkenaan ibadat solat dikerjakan sebanyak dua waktu iaitu pada awal pagi dan pada waktu senja.

Kesimpulan:

i.          Kewajipan solat bermula semenjak Baginda Rasulullah SAW menerima wahyu pertama lagi iaitu sebelum dari peristiwa Israk dan Mikraj serta sebelum Baginda Rasulullah SAW berhijrah ke kota Madinah.

ii.         Namun ibadat solat ketika itu hanya dikerjakan dua rakaat pada awal pagi dan dua rakaat pada waktu senja. Adapun setelah berlakunya Israk dan Mikraj, umat Islam diwajibkan untuk mengerjakan lima waktu solat fardu.

WallahuA’lam..

[1] Al-‘Aini, Badr al-Din. (1431H). ‘Umdat al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. Jilid 4, hlm 45.

وَكَانَ الْفَرْض فِي الأول خمسين ثمَّ إِن اتعالى رحم عباده وَجعله بِخمْس تَخْفِيفًا لنا وَرَحْمَة علينا

[2] Ibn Kathir, Abu al-Fida’ Ismail bin Umar, Tafsir al-Quran al-‘Azim. (Dar Tayyibah, Ed 2, 1999), Jld 7, hlm 409.

{وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ} ، وَكَانَتِ الصَّلَاةُ الْمَفْرُوضَةُ قَبْلَ الْإِسْرَاءِ ثِنْتَيْنِ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ فِي وَقْتِ الْفَجْرِ، وَقَبْلَ الْغُرُوبِ فِي وَقْتِ الْعَصْرِ، وَقِيَامُ اللَّيْلِ كَانَ وَاجِبًا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى أُمَّتِهِ

[3] Ibn Rajab, Zainuddin ‘Abd al-Rahman bin Ahmad, Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari. (Kaherah: Dar al-Haramain, Ed 1, 1417H/1996) 2:304

إنه كان قد فرض عليه ركعتان في أول النهار وركعتان في آخره فقط

[4] Al-Syaukani, Muhammad bin Ali bin Muhammad. (1993). Nail al-Autar. Tahkik: ‘Isam al-Din al-Sibabti. Ed 1, Mesir: Dar al-Hadis. Jilid 1, hlm 374

قَالَ الْحَرْبِيُّ: إنَّ الصَّلَاةَ قَبْلَ الْإِسْرَاءِ كَانَتْ صَلَاةً قَبْلَ الْغُرُوبِ، وَصَلَاةً قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْس