اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-126: HUKUM SUNTIKAN VAMPIRE (MENGGUNAKAN DARAH)

 

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Dalam era globalisasi dan dunia yang semakin maju dan canggih, peningkatan bilangan khidmat perubatan untuk kecantikan semakin bertambah. Dalam mendapatkan perkhidmatan kecantikan yang berkualiti, wang bukanlah menjadi ukuran bagi sesetengah pihak bahkan ada kalanya seseorang sanggup mengeluarkan kos yang tinggi bagi mendapatkan perkhidmatan yang memuaskan.

Namun begitu, seperkara yang perlu diberi perhatian ialah pandangan syarak tentang sesuatu jenis perubatan untuk kecantikan sama ada ianya dibenarkan atau tidak.

 

Pandangan Islam Mengenai Perubatan Untuk Kecantikan

Islam melaknat sebarang pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang  dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara suntikan atau dengan cara pembedahan. Bagaimanapun jika ia dilakukan dengan tujuan perubatan akibat kemalangan dan kecacatan ia adalah diharuskan. Tujuan yang dibenarkan adalah bagi memperbaiki organ yang tubuh yang rosak selain untuk mengembalikan kecacatan pada kejadian tubuh manusia yang normal.

Nabi ﷺ bersabda:

لعن الله الواشمات والمستوشمات والنامصات والمتنمصات والمتفلجات للحسن المغيرات خلق الله

Maksudnya: Allah Taala melaknat mereka yang mentatu dan yang minta ditatu, mereka yang mencabut bulu (di wajah), mereka yang minta di cabut bulu (di wajah) dan mereka yang merenggangkan giginya untuk tujuan kecantikan yang mengubah ciptaan Allah. (HR Bukhari & Muslim)

 

Berubat Dengan Benda Yang Najis Atau Benda Yang Diharamkan

Walaupun berubat itu diharuskan namun berubat dengan benda yang haram adalah dilarang sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ:

ان الله انزل الداء والدواء وجعل لكل داء دواء فتداووا ولا تداووا بحرام

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Taala telah menurunkan penyakit dan ubat dan menjadikan bagi setiap penyakit itu ubatnya, maka berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda yang haram”. ( HR Abu Dawud)

 

Manakala dalam sebuah hadith lain yang diriwayakan oleh Abu Hurairah Radhiallhu ‘anhu, beliau berkata, Nabi ﷺ bersabda:

نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم عن الدواء الخبيث

Maksudnya: “ Nabi melarang daripada berubat dengan ubat yang kotor”

(HR Abu Dawud)

 

Kedua-dua hadith di atas melarang daripada menggunakan benda-benda yang najis dan haram bagi tujuan perubatan. Walaubagaimanapun di dalam kitab Al-Majmu’ juzuk 9/58 karangan Imam An-Nawawi Rahimahullah berpendapat bahawa,  larangan tersebut (berubat dengan yang haram dan najis) ialah jika tidak ada keperluan untuk menggunakan ubat-ubatan yang haram dan najis kerana masih terdapat ubat yang suci.

Menurut Imam An-Nawawi lagi bahawa berubat dengan najis selain daripada arak, hukumya adalah harus (keharusan berubat dengan najis ini) adalah sama sahaja bagi kesemua jenis najis kecuali yang memabukkan.  Inilah pendapat dalam mazhab Syafi’e yang ditetapkan oleh jumhur ulama.

Beliau berkata lagi bahawa para ulama Syafi’yyah berpendapat harus berubat dengan najis apabila tidak didapati ubat yang suci yang boleh menggantikannya. Jika terdapat ubat yang suci, maka haram berubat dengan najis tanpa diperselisihkan oleh para ulama. (Al- Majmuk juzuk 9/54-55)

Daripada keterangan yang telah disebutkan tadi hukum asal berubat dengan benda yang najis adalah haram sekalipun bukan dengan arak. Namun ia diharuskan jika tidak didapati ubat yang suci sebagai pilihan kerana dharurat.

Kesimpulannya, merujuk kepada suntikan menggunakan darah ke muka, maka dapatlah diketahui bahawa:

1) Suntikan untuk kecantikan walaupun untuk menghilangkan kedutan adalah dilarang dalam Islam melainkan untuk tujuan perubatan seperti menghilangkan kecacatan yang boleh menyebabkan kesakitan dan kesan yang mendalam kepada jasmani dan jiwa atau menghilangkan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah selama mana ianya tidak membawa kemudharatan ( perkara ini hendaklah dirujuk kepada doktor yang thiqah dan pakar).

2) Darah termasuk benda yang najis. Maka ia haram digunakan di dalam perubatan  melainkan jika tidak didapati ubat yang suci (ia bergantung kepada beberapa syarat).

3) Sekiranya suntikan tersebut untuk tujuan merawat penyakit maka beberapa syarat perlu diikuti antaranya ialah:

  1. Bahan yang digunakan hendaklah suci.
  2. Tidak mendatangkan mudarat yang lebih besar. 
  3. Disahkan oleh doktor yang thiqah dan pakar akan penggunaan suntikan tersebut sebagai penawar.

* Sekiranya tiada bahan yang suci maka syarat b dan c perlu dituruti dan perlu dipastikan bahawa tiada ubat yang suci sebagai alternatif serta ditambahkan lagi dengan beberapa  hukum yang telah diterangkan di atas.

Beberapa fatwa dan pandangan ulama mengenai berubat dengan sesuatu yang najis dan haram antaranya ialah:

وقال النووي في المجموع: إذا اضطر إلى شرب الدم أو البول أو غيرهما من النجاسات المائعة غير المسكر، جاز شربه بلا خلاف... إلى أن قال: وإنما يجوز التداوي بالنجاسة إذا لم يجد طاهرًا يقوم مقامها، فإن وجده حرمت النجاسة بلا خلاف، وعليه يحمل حديث "إن الله لم يجعل شفاءكم فيما حرم عليكم" فهو حرام عند وجود غيره، وليس حرامًا إذا لم يجد غيره… انتهى.

Maksudnya: Berkata Imam An-Nawawi Rahimahullah di dalam kitab Al-Majmuk: apabila seseorang terjerumus ke dalam kemudharatan yang memerlukan untuk meminum darah atau air kencing atau selain keduanya daripada benda najis-najis yang cair selain yang memabukkan maka harus untuk meminumnya tanpa ada perselisihan di kalangan ulama. sehingga beliau berkata harus untuk berubat dengan benda yang najis sekiranya tidak terdapat alternatif yang suci yang boleh  menggantikannya.  Jika terdapat sesuatu yang suci maka haram menggunakan najis untuk berubat tanpa ada perselisihan dikalangan ulama. Hadith yang berbunyi “Sesungguhnya Allah Taala tidak menjadikan kesembuhan ke atas kamu akan sesuatu yang diharamkan”, maka ia ditanggung di atas makna haram berubat dengan sesuatu yang najis jika terdapat sesuatu yang suci. Sekiranya tidak terdapat yang selainnya. Maka ia tidak menjadi haram (berubat dengan najis).

 

قال العز بن عبد السلام ـ رحمه الله ـ: جاز التداوي بالنجاسات إذا لم يجد طاهرًا يقوم مقامها؛ لأن مصلحة العافية والسلامة أكمل من مصلحة اجتناب النجاسة.   ولا يجوز التداوي بالخمر على الأصح.

Maksudnya: Telah berkata Imam Izzudin bin Abd Salam Rahimahulllah di dalam kitab Qawaidul Ahkam : Harus berubat dengan sesuatu yang najis sekirannya tiada yang suci yang boleh menggantikannya kerana kemaslahatan untuk mendapatkan kesihatan terlebih utama dan sempurna  daripada kemaslahatan untuk menghindari daripada sesuatu yang najis.Tidak harus berubat dengan arak menurut qaul yang Asoh ( kuat).

 

وقال ابن عابدين في حاشيته: يجوز للعليل شرب البول، والدم، والميتة للتداوي، إذا أخبره طبيب مسلم أن منه شفاءه، ولم يجد من المباح ما يقوم مقامه. انتهى.
ويجب على من تداوى بالنجس كالبول والدم أن يغسل موضعه قبل مباشرة الصلاة ونحوها. وللفائدة يرجى مراجعة هذه الفتوى.

 

Maksudnya: “Dan telah berkata Syeikh Ibn A’bidin di dalam hasyiahnya: Harus bagi seseorang pesakit untuk meminum air kencing atau darah atau bangkai untuk berubat. Ini dibolehkan sekiranya diberitahu oleh doktor muslim lagi thiqah mengenai penggunaan sesuatu yang najis itu sebagai penawar dan tidak terdapat sesuatu yang suci sebagai alternatif untuk menggantikan tempatnya. Bahkan wajib bagi sesiapa yang berubat dengan sesuatu bahan yang najis seperti air kencing atau darah untuk membasuh tempat yang terkena najis tersebut sebelum ia melaksanakan solat dan ibadat-ibadat yang lain. Bagi menambah dan mendapatkan  lagi faedah bolehlah merujuk kepada fatwa beliau”.

Akhir kalam, kami tegaskan hukum asal adalah tidak dibolehkan kerana darah itu dikira najis, tetapi jika terpaksa untuk rawatan yang memerlukannya, hukumnya adalah harus. Ini tidak temasuk isu untuk rawatan kecantikan.

 

والله أعلم وأحكم

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad Al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

30 Ogos 2016 bersamaan 27 Zulkaedah 1437 H.