اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-64: MENJUAL ANGGOTA BADAN

 

Perlu diingatkan di sini bahawa apabila kita mengatakan harus menderma anggota, tidaklah bermakna harus menjualnya. Hal ini kerana jual beli (sebagaimana yang ditakrifkan oleh ulama) ialah tukar-menukar harta dalam keadaan redha meradhai. Tubuh badan manusia bukanlah harta sehingga boleh dimaksudkan dalam urusan tukar-menukar dan tawar-menawar yang akhirnya menyebabkan jasad manusia menjadi barangan perniagaan yang boleh dijual beli. Malangnya, perkara ini telah berlaku di beberapa buah negara miskin yang mana terdapat peniaga-peniaga gelap yang kerjanya membeli anggota-anggota badan orang miskin untuk kepentingan orang-orang kaya. perniagaan hina seumpama ini telah didalangi oleh (MAFIA) baru yang menyaingi (MAFIA) dadah.

            Sekiranya orang yang didermakan anggota badan membayar sejumlah wang atau harta kepada mereka yang menderma anggota tanpa sebarang syarat dan kadar tertentu sebagai hadiah dan sumbangan pertolongan daripadanya, maka itu diharuskan bahkan ia adalah akhlak yang terpuji dan mulia.

            Keadaan ini samalah seperti si pemiutang membayar hutangnya dengan kadar yang lebih daripada kadar yang dipinjamnya tanpa didahului oleh sebarang syarat. Ini adalah harus di sisi syarak bahkan dipuji. Perkara ini telah dilakukan oleh Rasulullah SAW yang mana Baginda telah membayar dengan sesuatu yang lebih baik daripada yang dipinjamnya. Sabdanya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik dalam kalangan kamu ialah orang yang paling baik ketika membayar.”

            Sekali lagi ditegaskan bahawa menjual organ badan manusia hukumnya HARAM. Justeru, siapa yang menderma organ badan hendaklah mengikhlaskan diri dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT.

 

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

20 Syawal 1436H bersamaan 05 Ogos 2015