اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA KE-47: LANGKAH UNTUK MENCAPAI MAKRIFAH

SOALAN

Bagaimanakah langkah untuk mencapai makrifah?

 

JAWAPAN

Makrifah itu tercapai melalui empat peringkat berikut:

 

Peringkat Pertama:

Mengarahkan keinginan kepada makrifah dan membina kemahuan yang tinggi untuk sampai kepada Allah. Ianya akan sempurna dengan cara berikut:

  • Mengingati Allah semata-mata, melalui jalan zuhud dan tawaduk.
  • Menundukkan sifat-sifat kebinatangan seperti nafsu syahwat dan marah. Hakikat ini akan tercapai dengan jalan memperbanyakkan puasa, mengekang nafsu syahwat dan memperbanyakkan amal ibadat serta berfikir.
  • Melengkapkan jiwa untuk menerima gambaran secara aqil. Hal ini boleh terlaksana dengan cara berfikir dan membuat kajian ilmiah yang diharuskan. Hal ytang demikian itu boleh tercapai dengan latihan, mujahadah dan pimpinan syeikh yang mursyid dan arif.

 

Peringkat Kedua:

Berusaha menjauhkan dunia sepenuhnya dari hati dengan bertajarrud. Yakin kepada Allah dan kekuasaan-Nya serta berbaik sangka kepada-Nya.

 

Peringkat Ketiga:

Memperolehi sesuatu (الإشراق) dan tersingkap hati untuk menerima hakikat ketuhanan (التجلي). Hal ini menjadi sempurna dengan jalan berfikir tentang kejadian langit dan bumi, pertukaran siang dan malam serta melakukan zikrullah dengan menghadirkan hati. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَاخْتِلافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لآيَاتٍ لأُولِي الأَلْبَابِ ﴿۱۹۰﴾ الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَاماً وَقُعُوداً وَعَلَى جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَذَا بَاطِلاً سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan kekuasaan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

(Surah ali Imran: 190-191)

 

Peringkat Keempat:

Peringkat pembersihan hati (التزكية) iaitu seseorang yang arif itu melupakan segala-galanya termasuk dirinya sendiri, dia tidak merasai kewujudan sesuatupun melainkan Allah. Maqam ini disebut Maqam al-‘Irfan.

           Semoga Allah faqihkan kita dalam agama ini. Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

4 Syawal 1436H