اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-461: HUKUM INFAQ PADA TABUNG COVID-19

irsyad461

Soalan

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada soalan berkenaan Tabung COVID-19 yang dilancarkan baru-baru ini bagi membantu pesakit COVID-19, justeru saya berniat untuk menderma, namun persoalan saya adakah niat saya itu dibenarkan dalam Islam? Adakah ia dikira sebagai suatu sedekah pada jalan Allah S.W.T? Mohon penjelasan Datuk. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Pada 11 Mac 2020, kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melancarkan tabung khas bagi memberi bantuan kewangan kepada pihak yang memerlukan. Kutipan tabung COVID-19 yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilancar bagi membantu mereka yang terkesan dengan jangkitan virus itu, iaitu mereka yang menjalani pemantauan di rumah selama 14 hari atau rawatan di hospital ekoran positif COVID-19[1].

Seperti yang diketahui, kes COVID-19 menelan belanja dan kos pemulihan serta pengurusan yang agak besar merangkumi kos perbelanjaan perubatan, kemudahan dan alat bantuan pernafasan, kos pakaian khas bagi petugas-petugas COVID-19, serta kos-kos lain. Selain itu juga, kes COVID-19 ini juga memberi kesan ke atas mana-mana individu yang disahkan positif dari sudut kewangan, mereka ini terpaksa dikuarantinkan lalu menyebabkan tidak dapat memperoleh sebarang pendapatan untuk menampung kehidupan seharian mereka sepanjang tempoh kuarantin tersebut.

Maka, tabung khas COVID-19 ini diwujudkan sebagai tabung ihsan bagi meringankan beban mereka yang terkesan. Ini merupakan suatu inisiatif dan juga tindakan yang baik oleh pihak kerajaan bagi membantu mengatasi hal ini. Perisitiwa seperti ini boleh diperhatikan pada sirah Nabi Muhammad S.A.W iaitu ketika Rasulullah S.A.W ingin menyertai peperangan Tabuk[2], namun keadaan kewangan agak kritikal ketika itu bagi menyediakan kelengkapan perang, dan juga segala bentuk keperluan ketenteraan. Lantaran itu, Rasulullah S.A.W telah melancarkan derma jihad lantas para sahabat berganding bahu menyumbang dermaan masing-masing mengikut kadar kemampuan dan keikhlasan mereka. Mereka tidak menggunakan daripada wang zakat.

Makanya kami berpendapat langkah kerajaan menubuhkan Tabung COVID-19 adalah langkah yang sesuai dan proaktif bagi meringankan beban mereka yang terkesan di samping boleh juga digunakan bagi membantu kos-kos perbelanjaan yang lain.

Sehubungan dengan itu, kerajaan menggalakkan pihak swasta, badan sukarela serta orang perseorangan untuk memberikan sumbangan kepada tabung ini demi keprihatinan terhadap kebajikan rakyat yang terkesan dengan penularan COVID-19.

Oleh yang demikian, sebarang derma atau pemberian yang disalurkan bagi tujuan kebajikan dengan niat yang ikhlas lagi murni, serta mengharapkan balasan Allah S.W.T tanpa mengharapkan apa-apa balasan maka ia adalah suatu infaq pada jalan Allah S.W.T (setiap perkara yang mendekatkan diri kepada Allah S.W.T dan juga jalan kebaikan) [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 24/166], di samping ia juga sebagai suatu sedekah dan suatu amal yang amat dituntut di dalam Islam.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya, pemberian pada dasarnya atau secara umumnya adalah pemilikan tanpa pertukaran yakni pemberian semata-mata sama ada untuk golongan kaya atau fakir, dengan tujuan mendapat pahala atau tidak, sama ada berlakunya perpindahan barangan ataupun tidak. Dan sekiranya sesuatu pemberian itu adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T, mengharapkan ganjaran pahala di Akhirat maka ia adalah sedekah. [Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie; 3/175]. Maka, dari sini, dapat kita membezakan di antara pemberian mutlak dan juga sedekah. Kedua-duanya adalah perkara yang baik, namun sedekah dengan niat yang betul dan kerana Allah S.W.T boleh mendatangkan pahala manakala pemberian tanpa apa-apa niat maka ia hanyalah sekadar pemberian semata.

Terdapat banyak dalil daripada al-Quran dan juga hadith Nabi Muhammad S.A.W menceritakan dan juga menyatakan mengenai kelebihan bersedekah, antaranya kami dapat kongsikan di sini:

Pertama: Allah S.W.T melipat-gandakan pahala orang yang bersedekah

Firman Allah S.W.T:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍۗ وَاللَّـهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُۗ وَاللَّـهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٦١

Maksudnya: Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.

Surah al-Baqarah (261)

Kedua: Pahala untuk diri sendiri

Firman Allah S.W.T:

وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ فَلِأَنفُسِكُمْۚ وَمَا تُنفِقُونَ إِلَّا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللَّـهِۚ وَمَا تُنفِقُوا مِنْ خَيْرٍ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٢٧٢

Maksudnya: Dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu, dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.

Surah al-Baqarah (272)

Ketiga: Sedekah dibalas dengan kecukupan

Firman Allah S.W.T:

وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فِي سَبِيلِ اللَّـهِ يُوَفَّ إِلَيْكُمْ وَأَنتُمْ لَا تُظْلَمُونَ ﴿٦٠

Maksudnya: Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.

Surah al-Anfal (60)

Keempat: Darjat lebih tinggi di sisi Allah S.W.T

Firman Allah S.W.T:

الَّذِينَ آمَنُوا وَهَاجَرُوا وَجَاهَدُوا فِي سَبِيلِ اللَّـهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ أَعْظَمُ دَرَجَةً عِندَ اللَّـهِ ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ ﴿٢٠

Maksudnya: (Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Surah al-Taubah (20)

Kelima: Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T

Firman Allah S.W.T:

وَمِنَ الْأَعْرَابِ مَن يُؤْمِنُ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَيَتَّخِذُ مَا يُنفِقُ قُرُبَاتٍ عِندَ اللَّـهِ وَصَلَوَاتِ الرَّسُولِۚ أَلَا إِنَّهَا قُرْبَةٌ لَّهُمْۚ سَيُدْخِلُهُمُ اللَّـهُ فِي رَحْمَتِهِۗ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ ﴿٩٩

Maksudnya: Dan sebahagian dari orang-orang Arab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka) Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Surah al-Taubah (99)

Berdasarkan pada kesemua ayat-ayat al-Quran ini, jelaslah bahawa Islam amat menggalakkan umatnya untuk bersedekah atau menginfaqkan harta pada jalan Allah S.W.T. Justeru dalam hal ini, kami melihat bahawa Tabung COVID-19 ini merupakan sebuah usaha yang baik oleh pihak kerajaan bagi membantu rakyat yang memerlukan. Maka dengan ini, memberi sumbangan pada tabung ini dengan niat yang baik, hati yang ikhlas, tanpa unsur riya’ dan juga menunjuk-nunjuk, dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

Sehubungan dengan ini, kami menasihati pihak kerajaan agar menggunakan dan menguruskan tabung ihsan ini dengan sebaiknya iaitu dengan menjaga tujuan dan kepentingan tabung itu ditubuhkan. Kami menggalakkan juga orang ramai agar dapat bersama-sama membantu meringankan beban mereka yang memerlukan dari sudut kewangan lebih-lebih lagi mereka yang kritikal, dengan cara memberikan sumbangan pada tabung ini.

Sumbangan boleh dilakukan melalui Bank Muamalat di bawah nama TABUNG BANTUAN BENCANA NEGARA 1601-0001138-71-4

Semoga Allah S.W.T melipatandakan segala amal jariah kita, memberkati amal perbuatan kita dan memberikan keringanan dan keikhlasan dalam diri kita untuk beribadah kepadaNya.

Wallahua’lam.

 

[1] https://www.pmo.gov.my/ms/2020/03/tabung-covid-19-dilancar-bantu-pihak-terjejas-pm-muhyiddin/ Laman web diakses pada: 17 Mac 2020

[2] Perang ini telah berlaku pada bulan Rejab ketika tahun ke-9 Hijrah (Oktober 631 M). Ketika berlakunya Peperangan Tabuk, Rasulullah SAW membuka peluang kepada sahabat-sahabat Baginda SAW daripada golongan berada untuk memberi infaq fi sabilillah bagi membiayai persiapan dan alat kelengkapan perang. Diriwayatkan bahawa dalam peperangan Tabuk, Saidina Uthman menginfaqkan 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar, Abdul Rahman bin Auf menginfaqkan 200 uqiyah perak, Saidina Abu Bakar menginfaqkan seluruh hartanya iaitu 4000 dirham dan Saidina Umar menginfaqkan separuh dari hartanya.  Selain itu juga, ramai dari kalangan para sahabat yang menginfakkan harta benda mereka termasuklah wanita-wanita yang datang kepada Rasulullah SAW membawa barang-barang perhiasan mereka seperti rantai, anting-anting, gelang dan sebagainya untuk diinfaqkan di jalan Allah SWT. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum oleh Sofiyur Rahman al-Mubarakfuri, hlm. 512-513)