اختيار اللغة:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-903: ADAKAH HIBAH MERUPAKAN HELAH UNTUK LARI DARIPADA FARAID?

ADAKAH_HIBAH_MERUPAKAN_HELAH_UNTUK_LARI_DARIPADA_FARAID.jpg

Soalan

Assalamualaikum wbt ustaz, saya ada soalan, adakah hibah merupakan helah untuk lari daripada faraid?

Ringkasan Jawapan

Hibah bukanlah suatu helah selagi mana ia dibuat dengan niat yang betul dan mengikut syarat sah hibah yang ditetapkan oleh syarak, bahkan ia bertindak sebagai pelengkap kepada sistem faraid. Namun, ia boleh menjadi helah sekiranya ia digunakan bertujuan menafikan hak waris secara tidak adil begitu juga mengelak pemberian bahagian faraid kepada individu tertentu.

Huraian Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.

Faraid merupakan suatu sistem pembahagian harta yang ditetapkan oleh syarak selepas berlakunya kematian seseorang. Berdasarkan sistem faraid inilah, setiap ahli waris yang berhak akan menerima bahagian pusaka mereka masing-masing berpandukan kepada garis panduan dan juga kadar yang telah ditentukan melalui firman Allah SWT dan juga sabda Nabi Muhammad SAW.

Pada masa yang sama, Syarak juga membenarkan beberapa instrumen kewangan Islam yang lain seperti sedekah, wasiat dan hibah sebagai alternatif dalam merancang dan mengurus harta seseorang lebih-lebih lagi dalam hal perancangan awal perwarisan harta. Antara mekanisma yang kini dilihat banyak digunakan dalam hal perancangan harta semasa hidup ialah hibah. Hibah menurut istilah fiqh bermaksud pemberian hak milik kepada seseorang tanpa balasan (‘iwadh) sewaktu hidupnya secara sukarela.[1] Hukum Syarak memberikan kebebasan kepada seseorang itu untuk melakukan pemberian hibah tanpa terikat dengan kadar tertentu. Bahkan, dia berhak dan boleh menghibahkan keseluruhan hartanya kepada sesiapa yang dikehendaki.

Dalam konteks Malaysia, penggunaan hibah terutamanya hibah bersyarat dan hibah takaful diguna pakai secara meluas sebagai kaedah perancangan harta Islam. Namun, ada pihak yang mempersoalkan niat di sebalik pemberian hibah ini, terutamanya apabila ia dilihat sebagai usaha untuk menyisihkan waris-waris yang berhak melalui sistem faraid. Sesetengah pihak mendakwa mereka yang mengambil hibah ini seakan-akan berbuat helah dengan harapan sementelahan mereka meninggal dunia, harta peninggalan mereka akan dipindah milik kepada mereka yang dikehendaki dan tidak pula sampai kepada orang lain. Justeru, persoalan pokok yang ingin dikupas dalam artikel ini ialah adakah hibah dianggap sebagai helah untuk mengelak faraid?

Pada dasarnya, hibah banyak memainkan peranan penting terhadap sistem faraid khususnya dalam situasi tertentu seperti contoh memberikan keutamaan kepada ahli keluarga yang kurang berkemampuan, menjaga kebajikan anak angkat ataupun memberikan bahagian kepada individu yang tidak layak menerima pusaka tanpa menyalahi prinsip dan ketentuan faraid.

Sebagaimana maklum, sistem faraid akan mula berkuat kuasa selepas berlakunya kematian dan kebiasaannya proses pengurusan tersebut akan mengambil masa yang agak lama dan melibatkan banyak prosedur. Melalui hibah, pembahagian harta dapat dibuat secara lebih fleksibel dan terancang semasa hidup. Ini membolehkan seseorang itu merancang dan mengagihkan sebahagian hartanya lebih awal, terutama untuk keperluan tertentu seperti pendidikan, perubatan, atau kebajikan waris yang memerlukan bantuan segera.

Bukan itu sahaja, dengan memberi hibah semasa hidup, jumlah harta pusaka yang perlu diagihkan selepas kematian menjadi lebih kecil. Ini boleh mempercepatkan proses pengagihan, mengurangkan kos pentadbiran harta dan mengelakkan harta menjadi beku atau tidak diurus sekaligus mengelakkan berlakunya pertikaian dalam kalangan waris selepas kematian. Selain itu, secara tidak langsung juga, ia dapat membantu mengurangkan jumlah kes harta pusaka yang tertunggak di seluruh negara.

Selain itu, dari satu sudut pandang yang lain, jika dilihat dari kaca mata maqasid imarah, hibah ini secara tidak langsung menolak budaya kebergantungan kepada warisan, sebaliknya menggalakkan anak-anak agar membangunkan ekonomi sendiri dengan kembali kepada asas kehidupan iaitu berusaha dan bekerja mencari pendapatan, bukannya bergantung sepenuhnya kepada harta pusaka sebagai sumber rezeki. Andai semua ahli keluarga mempunyai pendapatan sendiri hasil kerja yang halal dan gigih, nescaya perebutan harta pusaka ini tidak akan menjadi punca perpecahan.

Jelas di sini, hibah secara hakikatnya berfungsi sebagai pelengkap kepada faraid dan bukannya helah untuk lari daripadanya. Akan tetapi, tidak dinafikan bahawa ia boleh berubah menjadi helah bergantung kepada niat si pemberi hibah. Sebagai contoh, seorang bapa menghibahkan keseluruhan harta kepada anak perempuan dan isterinya supaya harta tersebut tidak dibahagikan secara Faraid kepada ahli waris lain yang ada.

Perkara ini sememangnya ditegah dalam Islam sekalipun pada asalnya syarak membenarkan, namun jika pada masa yang sama disertai dengan niat tersembunyi iaitu menafikan hak ahli warisnya yang lain daripada mewarisi harta peninggalannya, maka ia tidak dibenarkan. Imam Badr al-Din al-‘Aini juga ada menyebut:

وَأما الاحتيال لإبطال حق الْمُسلم فإثم وعدوان

Maksudnya:Adapun berhelah untuk membatalkan hak seorang Muslim yang lain, maka ia adalah dosa dan mencetuskan permusuhan.[2]

Bukan itu sahaja, Imam al-Syatibi juga ada menyatakan dalam kitabnya, al-Muwafaqat berkenaan hukum helah ini, beliau berkata[3]:

وَمِنْهَا: قَاعِدَةُ الْحِيَلِ، فَإِنَّ حَقِيقَتَهَا الْمَشْهُورَةَ تَقْدِيمُ عَمَلٍ ظَاهِرِ الْجَوَازِ لِإِبْطَالِ حُكْمٍ شَرْعِيٍّ وَتَحْوِيلِهِ فِي الظَّاهِرِ إِلَى حُكْمٍ آخَرَ، فَمَآلُ الْعَمَلِ فِيهَا خَرْمُ قَوَاعِدِ الشَّرِيعَةِ فِي الْوَاقِعِ، كَالْوَاهِبِ ماله عند رأس الحول فرارًا من الزَّكَاةِ، فَإِنَّ أَصْلَ الْهِبَةِ عَلَى الْجَوَازِ، وَلَوْ مَنَعَ الزَّكَاةَ مِنْ غَيْرِ هِبَةٍ لَكَانَ مَمْنُوعًا، فَإِنَّ كُلَّ وَاحِدٍ مِنْهُمَا ظَاهِرٌ أَمْرُهُ فِي الْمَصْلَحَةِ أَوِ الْمَفْسَدَةِ، فَإِذَا جَمَعَ بَيْنَهُمَا عَلَى هَذَا الْقَصْدِ، صَارَ مَآلُ الْهِبَةِ الْمَنْعَ مِنْ أَدَاءِ الزَّكَاةِ، وَهُوَ مَفْسَدَةٌ، وَلَكِنَّ هَذَا بِشَرْطِ الْقَصْدِ إِلَى إِبْطَالِ الْأَحْكَامِ الشَّرْعِيَّةِ.

Maksudnya: “Antaranya ialah kaedah helah (hiyal). Hakikatnya yang masyhur ialah melakukan sesuatu perbuatan yang secara zahirnya dibolehkan untuk membatalkan satu hukum syarak dan mengubahnya secara zahir kepada hukum yang lain. Akibat daripada perbuatan tersebut secara realitinya telah melanggar prinsip-prinsip syariah. Sebagai contoh, seseorang yang menghadiahkan hartanya ketika hampir cukup tempoh haul setahun bagi mengelak daripada dikenakan membayar zakat. Pada asalnya, pemberian hadiah adalah dibolehkan, tetapi jika dia menghalang zakat tanpa pemberian hadiah, itu adalah dilarang. Setiap satu perbuatan itu, pada zahirnya, mungkin membawa kepada manfaat atau keburukan. Namun, jika kedua-duanya digabungkan dengan niat untuk membatalkan hukum syarak, maka pemberian hadiah tersebut berakhir dengan menghalang pelaksanaan zakat, yang merupakan suatu keburukan. Tetapi ini bergantung kepada niat untuk membatalkan hukum-hukum syarak.”

Sifir mudahnya, ia berbalik kepada soal niat, sebagaimana kaedah Fiqh menyebut:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: “Setiap perkara dan perbuatan itu dinilai berdasarkan niat.”

Secara kesimpulannya, jawapan bagi persoalan berkenaan adakah hibah merupakan suatu helah untuk lari daripada faraid ialah benar dan tidak. Kita katakan tidak yakni hibah bukanlah suatu helah selagi ia dibuat dengan niat yang betul dan mengikut syarat sah hibah yang ditetapkan oleh syarak, bahkan ia bertindak sebagai pelengkap kepada sistem faraid. Dan kita katakan ya benar, hibah menjadi helah sekiranya ia digunakan bertujuan menafikan hak waris secara tidak adil begitu juga untuk mengelak pemberian bahagian faraid kepada individu tertentu.

Sehubungan dengan itu, jika kita membicarakan hal ini dari sudut maqasid imarah, Syarak menolak manipulasi hukum demi kepentingan peribadi. Maka, menggunakan hibah semata-mata untuk melarikan diri daripada faraid secara tidak adil merupakan satu bentuk penyalahgunaan hak, dan ini mencetuskan perpecahan, kerugian dan kelembapan ekonomi keluarga dan kesemua ini adalah bertentangan dengan prinsip imarah.

Wallahu A‘lam.

 

Rujukan: 

[1] Muhammad al-Zuhaili, al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan ke-3, 1432H/2011M), 3/175.

والهبة في الاصطلاح الفقهي: تمليك العين بلا عوض في حال الحياة تطوعا.

[2] Badr al-Din al-‘Aini, ‘Umdah al-Qari, (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.c, t.t), 24/109.

[3] Ibrahim bin Musa al-Syatibi, al-Muwafaqat, Tahkik: Abu ‘Ubaidah Masyhur bin Hasan Āli Salman, (t.tp: Dar Ibn ‘Affan, cetakan pertama, 1417H/1997M), 5/187-188.