Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Boleh meneruskan solat selepas salam akibat terlupa rakaat

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 231 (29 MAC 2016 M / 20 JAMADILAKHIR 1437 H)

 

SOALAN:

Assalamualaikum. nak mintak tunjuk ajar.

Bagaimanakah kalau kita bagi salam sebelum cukup rakaat, kemudian baru perasan atau diberitahu rakaat belum cukup. Betulkah kita perlu bangun dan tambah bilangan rakaat yang tidak cukup, kemudian sujud sahwi dan bagi salam, atau kena solat semula dari awal. Bagaimana pula kalau setelah salam yang awal tadi kita dah bercakap dan bergerak?

Jazakallah atas perhatian syeikh.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Dalam hal ini, sayugia kita merujuk kepada sejarah Islam, dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim dan lain-lain riwayat, bahawa Rasulullah SAW solat fardu Zuhur, dalam satu riwayat solat fardu Asar, sebanyak 2 rakaat lalu Baginda SAW bangkit menuju ke pintu dengan wajahnya yang serius. Lalu seorang sahabat yang dipanggil Dzul Yadain bertanya kepada Rasulullah SAW:

أَقُصِرَتِ الصَّلَاةُ أَمْ نَسِيتَ

Maksudnya: Adakah solat telah dipendekkan (oleh Syarak) atau engkau telah lupa ?

Jawab Rasulullah SAW: Solat tidak dipendekkan dan aku tidak pula lupa. Baginda SAW lalu bertanya kepada para sahabat yang lain: Apakah benar yang dikatakan Dzul Yadain itu?. Mereka membenarkannya. Lalu Baginda SAW bangkit dan menyempurnakan baki solat dua rakaat lagi beserta sujud sahwi.

Hadis riwayat Imam Muslim (573) dalam Sahihnya

Hadis ini menerangkan tunjuk ajar Nabi SAW kepada para sahabatnya, dan umat keseluruhannya, tentang tatacara melengkap solat fardu yang tidak sempurna bilangan rakaatnya, kerana lupa atau sebagainya.

Justeru boleh disambung untuk melengkapkan bilangan rakaat yang belum sempurna jika selepas salam yang tersilap itu tidak diselangi dengan percakapan dan pergerakan yang banyak. Manakala, jika sudah berlalu tempoh yang panjang berserta pergerakan yang banyak (seperti mandi, makan minum) maka perlu ditunaikan semula solat daripada awal. Wallahua`lam.