Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AMALAN CUKUR RAMBUT BAYI DI DALAM ISLAM

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 198 (25 FEBRUARI 2016 M / 16 JAMADILAWAL 1437 H)

SOALAN:

Salam Dato, ada sedikit kemusykilan, betul ke lepas cukur rambut bayi dan rambut tu ditimbang kemudian kita mesti bayar. Atas sebab apa bayar dato? Ada nas tak berkaitan perkara tersebut? Syukran

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Disunnahkan selepas menyembelih akikah untuk mencukur rambut bayi, sama ada lelaki atau perempuan, dan disunnahkan untuk ditimbang rambut yang dicukur itu dengan emas atau perak, kemudian disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Rasulullah SAW mengarahkan kepada anaknya, Saidatina Fatimah R.anha:

زِنِي شَعْرَ الْحُسَيْنِ وَتَصَدَّقِي بِوَزْنِهِ فِضَّةً، وَأَعْطِي الْقَابِلَةَ رِجْلَ الْعَقِيقَةِ

Maksudnya: "Timbanglah rambut Hussein, dan sedekahkanlah dengan kadar timbangan itu dengan perak dan hadiahkan kepada bidan kaki binatang akikah itu.”

Hadis riwayat Hakim dan al-Baihaqi.

Kami juga menasihatkan agar jangan dicukur separuh-separuh kerana hal itu namanya qaza` yang dilarang oleh Syarak. Daripada Abdullah bin Dinar RA

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ القَزَعِ

Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW melarang daripada perbuatan qaza`.

Hadis riwayat al-Bukhari

Dan sunat juga hukumnya untuk dilumuri kepada bayi itu dengan Za`faran, Khaluq (sejenis wangian yang lebih kuat daripada Za`faran) atau wangian lain, kerana mengganti tradisi Jahiliyyah yang melumurkan kepala bayi dengan darah aqiqah. Sabda Rasulullah SAW:

اجْعَلُوا مَكَانَ الدَّمِ خَلُوقًا

Maksudnya: Jadikan (yakni gantikan) tempat lumur darah itu dengan Khaluq.

Hadis riwayat al-Baihaqi dan Ibn Hibban.

Wallahua`lam.

Kredit gambar: http://goo.gl/K9Iyfc