Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #764 : HUKUM LELAKI MENYEMAK BACAAN AL-QURAN WANITA

Soalan :

Assalamualaikum wbt. Bolehkan lelaki menyemak bacaan al-Quran kaum wanita yang mana ianya dihadiri oleh kaum lelaki?. Seperti contoh di dalam pertandingan.

Jawapan :

Waalaikumussalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Suara wanita tidaklah aurat secara mutlak. Ini dapat dilihat melalui soalan-soalan yang dikemukakan sendiri oleh wanita kepada Nabi saw. Antaranya yang diriwayatkan oleh Aisyah. Kata beliau :

سَأَلَتِ امْرَأَةٌ النَّبِىَّ -صلى الله عليه وسلم- كَيْفَ تَغْتَسِلُ مِنْ حَيْضَتِهَا قَالَ فَذَكَرَتْ أَنَّهُ عَلَّمَهَا كَيْفَ تَغْتَسِلُ ثُمَّ تَأْخُذُ فِرْصَةً مِنْ مِسْكٍ فَتَطَهَّرُ بِهَا. قَالَتْ كَيْفَ أَتَطَهَّرُ بِهَا قَالَ تَطَهَّرِى بِهَا. سُبْحَانَ اللَّهِ.

Maksudnya :” Seorang wanita bertanya kepada Nabi saw tentang bagaimana mandi sejurus selepas tamat haid. Aisyah menyatakan bahawa Nabi saw mengajarkannya bagaimana untuk mandi kemudian dia mengambil secepis kapas daripada misk lantas membersihkan diri dengannya. Perempuan itu bertanya kepada Nabi saw : bagaimana aku membersihkan diri?. Nabi saw menjawab : bersihkan diri engkau dengan secepis kapas daripada minyak wangi itu.”

Riwayat Muslim (774)

Dan banyak lagi riwayat yang menyatakan dialog para wanita dengan Nabi saw. Kebanyakan mereka bertanyakan tentang perkara-perkara yang berkait dengan agama. Perkara ini bukan sahaja berlaku pada Nabi, bahkan wanita-wanita juga pernah bertanya kepada para sahabat seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan lain-lain.

Ini menjadi dalil bahawa suara wanita secara zatnya bukanlah aurat. Jikalau suara adalah aurat sudah pasti Nabi saw dan para sahabat yang ditanya akan menegur wanita tersebut. Dan semestinya dialog tidak akan berlaku. Yang dilarang ialah melenggokkan dan melembut-lembutkan suara sehingga boleh menyebabkan hati lelaki menjadi tertarik. Ini berdasarkan firman Allah :

يَـٰنِسَآءَ ٱلنَّبِىِّ لَسْتُنَّ كَأَحَدٍ مِّنَ ٱلنِّسَآءِ ۚ إِنِ ٱتَّقَيْتُنَّ فَلَا تَخْضَعْنَ بِٱلْقَوْلِ فَيَطْمَعَ ٱلَّذِى فِى قَلْبِهِۦ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا

Maksudnya : “Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan yang lain kalau kamu tetap bertaqwa. Oleh itu janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).

(Surah al-Ahzab : 32)

 Kata Sheikh Dr Wahbah al-Zuhaili :

“ Yang dimaksudkan dengan firman Allah tersebut ialah jangan dilembutkan perkataan kamu di hadapan lelaki. Ia akan menjadi penyakit yang menyebabkan kefasikan, dosa dan keraguan (di dalam hati). Maka berkata seperti biasa tanpa dilenggok-lenggokkan”

Rujuk al-Tafsir al-Munir (22/6)

Sheikh Ali al-Sobuni menyatakan :

“Jangan dilembut-lembut dan dilenggokkan suara percakapan ketika bercakap dengan lelaki.”

Rujuk Sofwah al-Tafasir (3/40)

Maka dapat kita fahami, bahawa suara perempuan bukanlah aurat. Yang hanya dilarang adalah melenggokkan suara sehingga boleh menyebabkan fitnah.

Imam al-Ghazali menyatakan :

“Selain daripada nyanyian, suara wanita tidak dianggap sebagai aurat.”

Rujuk Ihya’ Ulum al-Din ( 2/248)

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, Ada pandangan dari kalangan ulama  yang memakruhkan perkara tersebut. Antaranya Sheikh Atiyyah al-Saqar. Namun, ia tiada masalah jika bebas dan jauh daripada fitnah.

Sheikh al-Ramli menyatakan :

Para ulama bermazhab Syafie menyatakan kemakruhan mengangkat suara (bacaan al-Quran) di dalam solat kerana takut berlaku fitnah”

Rujuk Nihayah al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj (3/365)

Dapat kita fahami, bahawa jika tiada kemungkinan berlakunya fitnah maka kemakruhan itu terangkat dan dibenarkan untuk lelaki menyemak bacaan al-Quran wanita.

Kesimpulannya , tiada masalah untuk lelaki menyemak bacaan al-Quran wanita. Apatah lagi ianya dihadiri oleh orang ramai. Ini boleh menjauhkan lelaki dan wanita tersebut dari fitnah. Walau bagaimanapun, amat perlulah untuk mengelak dariada sebarang fitnah yang boleh mendatangkan persepsi yang tidak baik. Kami teringat akan nasihat Hasan al-Basri. Kata beliau :

“Jagalah tiga perkara. Maka syaitan tidak akan masuk akan mampu menguasai kamu. Jauhi berkhalwat dengan wanita. Walaupun kamu kata : Aku mengajarkannya al-Quran.”

Maka nasihat ini boleh dijadikan pengajaran dan pedoman. Wallahu’alam.