Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #920: SIAPAKAH ANAK NABI IBRAHIM AS YANG DISEMBELIH

anak nabi ibrahim.JPG

Soalan

Siapakah yang disebut sebagai anak Nabi Ibrahim AS yang disembelih. Adakah Ismail AS atau Ishaq AS?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dalam menjawab persoalan ini, kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَالَ إِنِّي ذَاهِبٌ إِلَىٰ رَبِّي سَيَهْدِينِ ﴿٩٩﴾ رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ ﴿١٠٠﴾ فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ ﴿١٠١﴾ فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِن شَاءَ اللَّـهُ مِنَ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Dan Nabi Ibrahim pula berkata: "Aku hendak (meninggalkan kamu) pergi kepada Tuhanku, Ia akan memimpinku (ke jalan yang benar). " Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!" Lalu Kami berikan kepadanya berita yang mengembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.

Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar".

(Surah al-Saffat: 99-102)

Ulama’ mempunyai beberapa pendapat berkenaan siapakah Nabi yang disembelih:

 

Pertama: Nabi Ismail AS

Inilah pendapat sebahagian sahabat seperti Abu Hurairah R.A, Ibn Abbas R.Anhuma, Sa’id bin Jubair, al-Sya’bi, Ahmad bin Hanbal, Ibn Taimiyyah, Ibn Kathir dan ramai lagi.

 

Kedua: Nabi Ishaq AS

Ini dihikayatkan daripada Umar Ibn al-Khattab, Ali, Ibn Abbas dalam satu riwayat, Ibn Umar dalam satu riwayat, Jabir dan juga Muqatil, al-Suddi, Atha’, Malik bin Anas, al-Tabari dan lain-lain.

 

Ketiga: Ulama’ Tawaqquf

Para ulama’ tawaqquf dan tidak membahaskan perkara ini.

 

Tarjih

  • Pendapat yang sahih adalah yang pertama. Ini berdasarkan kepada Nas Ilahi ayat 69-71 Surah Hud.[1] Dalil itu menunjukkan bahawa hanya Nabi Ismail AS sahaja ada dan belum lagi adanya Nabi Ishaq AS.
  • Allah sifatkan Ishaq sebagai ghulam ‘alim (yang cerdik), sedangkan bilamana Allah sifatkan Ismail dengan ghulam halim (yang lemah lembut lagi berbakti kepada bapanya).
  • Kisah sembelihan berlaku di Mekah tanpa khilaf (perselisihan) dan tiada sabit menunjukkan Nabi Ishaq AS pergi ke Mekah.
  • Justeru, kami tarjihkan berdasarkan kepada dalil kitab, Sunnah dan yang masyhur dalam kalangan para sahabat, tabi’in dan lainnya bahawa yang kena sembelih ialah Nabi Allah Ismail AS.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.

 

 

Nota Hujung:

[1] Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ جَاءَتْ رُسُلُنَا إِبْرَاهِيمَ بِالْبُشْرَىٰ قَالُوا سَلَامًا ۖ قَالَ سَلَامٌ ۖ فَمَا لَبِثَ أَن جَاءَ بِعِجْلٍ حَنِيذٍ ﴿٦٩﴾ فَلَمَّا رَأَىٰ أَيْدِيَهُمْ لَا تَصِلُ إِلَيْهِ نَكِرَهُمْ وَأَوْجَسَ مِنْهُمْ خِيفَةً ۚ قَالُوا لَا تَخَفْ إِنَّا أُرْسِلْنَا إِلَىٰ قَوْمِ لُوطٍ ﴿٧٠﴾ وَامْرَأَتُهُ قَائِمَةٌ فَضَحِكَتْ فَبَشَّرْنَاهَا بِإِسْحَاقَ وَمِن وَرَاءِ إِسْحَاقَ يَعْقُوبَ

Maksudnya: Dan sesungguhnya telah datang malaikat utusan-utusan kami kepada Nabi Ibrahim, dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata: "Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)". Nabi Ibrahim menjawab: "Salam sejahtera kepada kamu". Maka tidak berapa lama selepas itu, ia membawa jamuan untuk mereka: seekor anak lembu yang dipanggang. Maka apabila ia melihat tangan mereka tidak menyentuh hidangan itu, ia merasa pelik akan hal mereka serta merasa takut dari keadaan mereka. (Melihat kecemasannya) mereka berkata: "Janganlah engkau takut wahai Ibrahim, sebenarnya kami ini diutus kepada kaum Lut (untuk membinasakan mereka)". Dan isterinya pada ketika itu berdiri (mendengar), lalu ia ketawa (kerana hilang perasaan takutnya). Maka Kami pun memberikan berita yang mengembirakan kepadanya (melalui malaikat itu), bahawa ia akan mendapat seorang anak: Ishak, dan sesudah Ishak, (ia pula akan mendapat seorang cucu): Yaakub.

(Surah Hud: 69-71)