Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #92 : ADAKAH ROH ORANG YANG MATI BOLEH MENGANGGU DAN MEMUDARATKAN ORANG YANG MASIH HIDUP?

AL-AFKAR_92.JPG

Soalan :

Assalamualaikum Datuk. Semoga Datuk sihat-sihat hendaknya. Saya ada satu soalan. Adakah roh orang mati yang tidak tenteram akan kembali dan menganggu dan memudaratkan orang yang masih hidup?. Sebab ada segelintir masyarakat kita yang percaya jika seseorang mati dan ada hajatnya yang belum tertunai ketika di dunia, maka dia akan kembali sehinggalah hajatnya tercapai. Mohon penjelasan Datuk.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkara pertama yang ingin kami nyatakan bahawa hakikat roh adalah di bawah pengetahuan Allah SWT.  Apa yang dikhabarkan oleh Allah di dalam Al-Quran dan disabdakan oleh Nabi SAW di dalam hadis-hadis itulah yang menjadi pegangan. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT :

وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا

Maksudnya : “Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: "Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".

(Surah Al-Isra’ : 85)

Imam Fakhruddin Al-Razi menafsirkan ayat tersebut dengan menyatakan  Allah SWT ingin menjelaskan bahawa akal manusia terhad dan tidak mampu untuk mengetahui lebih dalam berkenaan dengan roh. (Rujuk Mafatih Al-Ghaib , 21/31)

Imam Jalaluddin Al-Mahalli dan Imam Al-Suyuti menyebut bahawa ayat ini jelas menyebut bahawa urusan roh adalah di bawah pengetahuan Allah. Adalah lebih baik untuk kita tidak pergi lebih dalam mengkaji berkenaan dengan roh. (Rujuk Tafsir Jalalain,hlm 378)

Perkara ini menunjukkan bahawa pengetahuan kita berkenaan dengan ruh adalah terhad. Oleh kerana itu, apa-apa sahaja perincian berkenaan dengan ruh mestilah bersandarkan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Apa yang dikhabarkan oleh Al-Quran dan Al-Sunnah berkenaan dengan ruh maka itulah pendirian yang sewajarnya diambil oleh setiap muslim tanpa menokok tambah atau berlebih-lebihan.

Berkenaan dengan adakah roh orang yang mati boleh kembali semula ke dunia, persoalan ini perlulah dijawab bersandarkan kepada Al-Quran mahupun sunnah.Persoalan ini berkait rapat dengan perkara ghaib yang memerlukan bukti sandaran dari wahyu. Di dalam Al-Quran ada disebutkan berkenaan dengan isu ini. Firman Allah SWT :

اللّه يَتَوَفَّى ٱلْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَٱلَّتِى لَمْ تَمُتْ فِى مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ ٱلَّتِى قَضَىٰ عَلَيْهَا ٱلْمَوْتَ وَيُرْسِلُ ٱلْأُخْرَىٰٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى

Maksudnya : “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Ia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa dari badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Ia menahan jiwa orang yang Ia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan…”

(Surah Al-Zumar : 42)

Para ulama mempunyai beberapa tafsiran dan pandangan seputara ayat yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam Surah Al-Zumar ini. Secara zahirnya ayat ini menjelaskan bahawa roh orang yang mati akan ditahan dan tidak akan dikembalikan semula. Ini membawa makna bahawa roh orang yang mati tidak akan lagi kembali ke dunia.

Imam Al-Qurtubi menukilkan pandangan Ibnu Abbas. Ibnu Abbas menyebut bahawa roh orang hidup dan mati akan saling bertemu dan saling berkenalan antara satu sama lain dengan izin Allah SWT. Apabila ingin kembali Allah akan menahan roh orang yang mati dan akan mengembalikan roh orang yang hidup ke dalam jasad mereka semula. (Rujuk Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 15/260).

Imam Al-Tabari menyebut bahawa roh akan dicabut ketika seseorang tidur dan kemudiannya roh-roh itu  akan saling bertemu antara satu sama lain dan saling bertanya antara satu sama lain. Kemudian roh orang yang hidup akan dikembalikan semula dan roh orang yang mati ingin kembali namun ditahan oleh Allah SWT. Roh orang yang hidup akan ditarik semula pada hari kematian yang telah ditetapkan untuk mereka. (Rujuk Jami’ Al-Bayan Fi Tafsir Ayyi Al-Quran, 21/299).

Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah menyatakan di dalam ayat tersebut Allah SWT mahu mengkhabarkan bahawa kematian ada dua. Kematian yang besar (وفاة كبرى) dan kematian kecil (وفاة صغرى) iaitu ketika tidur. Begitu juga roh ada dua jenis iaitu roh yang telah sampai ajal matinya. Ia akan ditahan dan tidak dikembalikan semula ke dunia dan roh yang masih belum sampai ajal kematiannya. Ia akan dikembalikan semula ke jasadnya sehinggalah tiba waktu kematiannya. (Rujuk Al-Ruh, hlm 58).

Secara ringkasnya, roh orang yang mati tidak boleh kembali semula ke dunia. Kami pernah mengulas dengan lebih panjang berkenaan dengan isu ini di dalam beberapa ruangan artikel. Antaranya :

  • Al-Afkar siri ke 31 : Adakah roh orang mati boleh pulang[1]
  • Irsyad Al-Fatwa siri ke 112 : Bolehkah roh orang yang telah mati kembali ke dunia.[2]

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan,  oleh kerana roh orang mati tidak boleh kembali ke dunia maka ia juga tidak boleh menganggu dan memudaratkan orang yang masih hidup. Apatahlagi menyebabkan kecederaan dan sebagainya. Apa yang digambarkan oleh masyarakat dan sebahagian filem-filem yang berlegar bahawa orang yang mati akan bangkit dan membalas dendam sebagainya adalah merupakan satu perkara yang mengarut dan tahyul semata-mata. Ianya pada hakikatnya adalah penyerupaan dan jelmaan oleh jin dan syaitan untuk menyesatkan manusia. Bahkan syaitan dan jin tidak mampu untuk memberikan mudarat kepada manusia.

Ini dapat dilihat melalui sabdaan Nabi SAW ketika Baginda SAW menyebut :

لاَ غُولَ

Maksudnya : “Tidak ada Ghul..

Riwayat Abu Daud (3915)

Ghul di sini adalah hantu kepercayaan orang arab yang mana ia boleh memudaratkan dan membinasakan mereka. Sama seperti kepercayaan masyarakat kita yang menyatakan bahawa hantu dan sebagainya boleh memberi mudarat. Inilah yang cuba dinafikan oleh Nabi SAW.

Imam Al-Nawawi menyebut bahawa Ghul itu adalah jelmaan syaitan yang mana ianya dipercayai boleh berubah-berubah dan memberi mudarat. Inilah fahaman yang dibatalkan oleh Nabi. (Rujuk Al-Minhaj Syarh Sohih Muslim, 7/375).

Bahkan jika kita amati ayat-ayat yang ada di dalam Al-Quran, kita akan dapati ayat yang jelas-jelas menyebut adanya pemisah di antara alam dunia dan alam kubur yang disebut sebagai alam barzakh. Firman Allah SWT :

لَعَلِّىٓ أَعْمَلُ صَـٰلِحًا فِيمَا تَرَكْتُ ۚ كَلَّآ ۚ إِنَّهَا كَلِمَةٌ هُوَ قَآئِلُهَا ۖ وَمِن وَرَآئِهِم بَرْزَخٌ إِلَىٰ يَوْمِ يُبْعَثُونَ

Maksudnya : “"Supaya aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat).”

(Surah Al-Mu’minun : 100)

Ibnu Kathir ketika menafsirkan perkataan barzakh yang disebutkan dalam ayat tersebut, beliau menukilkan beberapa pandangan para ulama. Di antaranya, Mujahid menyebut bahawa barzakh adalah dinding antara dunia dengan akhirat. Muhammad Bin Ka’ab menyebut bahawa barzakh adalah alam di antara dunia dan akhirat. Mereka yang mati tidak bersama ahli dunia dan tidak pula seperti keadaan di akhirat di mana akan diberikan ganjaran syurga mahupun neraka. (Rujuk Tafsir Al-Quran Al-‘Azim, 3/311).

Ini menunjukkan bahawa orang yang sudah mati dipagari dan dihalangi untuk kembali semula ke dunia dengan satu alam yang dinamakan sebagai barzakh. Jika roh orang mati boleh kembali ke dunia, maka sudah pasti Allah akan mengembalikan mereka apabila mereka mohon kepada Allah agar dikembalikan semula.

Kesimpulannya, roh orang yang mati tidak akan kembali ke dunia bahkan tidak boleh menganggu dan memudaratkan orang yang masih hidup. Fahaman seperti yang disebutkan adalah satu fahaman yang mengarut dan merupakan kepercayaan yang tahyul serta khurafat.

Semoga Allah menjauhkan kita daripada kesyirikan dan kepercayaan yang karut marut. Wallahu’alam.

[1]Rujuk http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/2866-al-afkar-31-adakah-roh-orang-mati-boleh-pulang?highlight=WyJyb2giXQ==

[2] Rujuk http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1262-irsyad-al-fatwa-ke-112-bolehkah-roh-orang-yang-telah-mati-kembali-ke-dunia?highlight=WyJyb2giXQ==